Apakah perasaan anda sebagai penonton apabila membaca berita ini?
PUTRAJAYA 21 Dis. - Berkuatkuasa tahun hadapan, 
Lembaga Penapis Filem (LPF) tidak lagi menapis sesebuah filem sebelum 
ditayangkan, sebaliknya peranan tersebut akan diserahkan kepada pengarah
 dan penerbit filem itu sendiri.
Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Tan Sri Mahmood Adam 
berkata, langkah terbaru itu diambil selepas mengambil kira pandangan 
daripada semua pihak yang menjayakan industri perfileman negara.
Bagaimanapun katanya, jika terdapat masalah berbangkit mengenai 
sesebuah filem yang ditayangkan, maka penerbit dan pengarah filem 
berkenaan perlu bertanggungjawab.
"Dengan kelulusan cadangan tersebut, saya harap semua pihak mengambil
 iktibar dan tidak mengunakan kelonggaran tersebut sebagai batu loncatan
 untuk memasukkan adegan-adegan yang melampau dalam sesebuah filem demi 
untuk mengaut keuntungan semata-mata.
"Suka saya tegaskan, mereka perlu bertanggungjawab dengan segala 
masalah yang timbul ekoran penerbitan filem mereka. Oleh itu mereka 
sendiri perlu menilai cita rasa penonton di negara ini," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Seminar 
Hala Tuju Kawalan dan Penapisan Filem di Malaysia anjuran Bahagian 
Kawalan Penapisan Filem dan Penguatkuasaan Kementerian Dalam Negeri di 
sini, hari ini.
Terdahulu Mahmood turut menyampaikan Anugerah Penggiat Filem kepada 
Penerbit Skop Production, Datuk Yusof Haslam, Penerbit Metrowealth 
(MIG), David Teo dan seorang penggiat filem dan penulis, Dr. Asiah Sarji
Menurut Mahmood, kementerian juga akan memainkan peranan untuk 
memberikan penerangan kepada penonton terhadap sesebuah filem mengikut 
genre masing-masing.
"Antara langkah yang akan diambil kementerian ialah meletakkan 
keterangan mengenai sesebuah filem di skrin pawagam sebelum ia 
ditayangkan.
"Langkah ini juga diambil demi memenuhi kehendak rakyat yang mahukan 
kebebasan dalam industri perfileman, tetapi rakyat jangan lupa jika ada 
filem barat yang ditayangkan mengandungi unsur-unsur bertentangan dengan
 akidah atau agama mereka perlu menilai sendiri untuk menonton atau 
tidak," katanya.
Sementara itu katanya, mana-mana filem yang telah menjalani proses 
penapisan LPF sebelum ini boleh memohon semula untuk mendapatkan 
kelulusan bagi ditayangkan tanpa sebarang tapisan.
"Ini bagi memastikan keadilan kepada semua pihak termasuk penerbit 
filem terdahulu yang terpaksa menjalani proses tapisan filem ketat 
sebelum ia dibenarkan untuk tayangan," katanya.
Dalam pada itu katanya, jika terdapat masalah berbangkit mengenai 
sesebuah filem luar negara yang dibawa untuk ditayangkan di negara ini, 
kementerian akan memanggil syarikat yang bertanggungjawab membawa masuk 
filem terbabit untuk mendapat penjelasan.
Sumber : Tiada tapisan filem 2012
p/s : Ini satu kemajuan, lepas ni makin laku la filem tempatan sebab tiada jalan cerita yang dipotong. Penonton boleh la faham keseluruhan cerita. 







0 analysis:
Catat Ulasan