Salam Aidil Fitri

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam yang menyambutnya.

The National Academy of Chinese Theatre Arts(中国戏曲学院)

Pertukaran Belajar mahasiswa Universiti Malaya ke NACTA untuk mempelajari Opera China.

Teater Tuah dan Jebat 2015

Naskah lagenda yang disuntik dengan pemikiran yang baru.

Teater KAWAD

Mengisahkan kehidupan keluarga Mejar Bersara Abdul Kabir.

#PrayForGAZA

Marilah kita bersama-sama berdoa supaya mereka kuat dan tabah menghadapi musuh iaitu Zionis Laknatullah.

Selasa, 23 Disember 2014

[BERITA] Amar bosan dengan watak sama

AMAR (kanan) ketika dalam latihan teater Perempuan Politikus Melayu di Pusat Kebudayaan Universiti Malaya baru-baru ini.

Sumber : KOSMO - 23 Disember 2014

NAMA jejaka ini mula mewarnai industri hiburan tanah air sejak wajahnya menghiasi kaca televisyen menerusi drama romantis Setia Hujung Nyawa sekitar awal tahun lalu.

Lakonannya sebagai seorang lelaki kaya bernama Zain dan mempunyai karisma diri yang tinggi, benar-benar memberi impak kepada nama Amar Asyraf sehingga dikenali ramai dalam masa yang cukup singkat.

Namun, ketika namanya naik sebagai salah seorang pelakon baharu yang berbakat, jejaka berusia 28 tahun itu tidak mementingkan soal populariti sebaliknya memilih untuk meneruskan hidupnya seperti insan biasa.

Fasa popular yang dikecapnya hanya dalam tempoh yang sebentar cuma. Selepas mendirikan rumah tangga bersama insan tersayang, Arna Salleh, 31, pada 7 Jun 2013, namanya tiba-tiba seakan tenggelam daripada radar dunia hiburan tanah air.

Kelibatnya yang tenggelam timbul dalam kaca televisyen menimbulkan persoalan. Ke mana perginya pemilik nama sebenar Amar Asyraf Zailuddin? Berkesempatan bertemu jejaka kelahiran Masjid Tanah, Melaka itu dalam satu sesi temu bual baru-baru ini, Kosmo! berkesempatan menyelidik serba sedikit perkembangan diri Amar.

Kosmo!: Jika dibilang secara kasar, sudah agak lama penangan fenomena drama Setia Hujung Nyawa meledak dalam radar industri hiburan tanah air. Pastinya peminat tidak akan melupakan watak yang dipegang oleh Amar dalam drama itu. Namun, selepas mendirikan rumah tangga, nama Amar semakin suram. Ke mana menghilangnya anda selama ini?

Amar Asyraf: (Senyum). Saya tidak ke mana-mana. Masih ada berdiri di sini dan masih bernafas sebagai seorang anak seni. Saya tidak pernah senyap daripada radar dunia hiburan. Mungkin, kelibat saya sudah jarang dilihat di layar kaca televisyen menerusi mana-mana drama. Namun penglibatan saya kini lebih menjurus ke arah drama atau filem hasil garapan saya sendiri. Maksudnya di sini, saya kurang mengambil tawaran berlakon daripada produksi lain sebaliknya lebih cenderung untuk menghasilkan sendiri karya saya. Itu dinamakan sebagai naskhah indie. Saya melakukan kerja menulis skrip, pengarahan, pemilihan pelakon dan set lokasi penggambaran semuanya saya uruskan sendiri bersama rakan-rakan seperjuangan ketika menuntut dahulu.

Apakah sebab anda memilih untuk bergerak sendiri dan kurang menerima tawaran daripada produksi lain?

Saya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan sesiapa pun pihak dalam industri ini. Setakat ini Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja. Cuma, buat masa sekarang saya lebih selesa memilih untuk bergerak sendiri. Saya kurang untuk menerima tawaran drama daripada pihak lain disebabkan watak yang diberikan kepada saya semuanya sama sahaja. Lelaki kaya, kaki perempuan, lelaki berkarisma dan macam-macam lagi watak yang sudah banyak kali saya pegang dalam drama sebelum ini. Jujur saya katakan, saya sudah bosan dengan semua watak itu. Tiada kelainan.

Saya menceburkan diri dalam dunia hiburan untuk mencari kepuasan. Kalau semua watak saya sama sahaja, jadi di mana kepuasan saya sebagai seorang pelakon? Namun itu bukan bermaksud saya memilih atau sudah pandai demand. Sebaliknya, apa sahaja tawaran yang datang kepada saya, saya tidak kisah tetapi saya nilai melalui watak yang diberi kepada saya.

Boleh ceritakan sedikit apakah hasil buah tangan anda yang terkini?

Walaupun sudah jarang muncul di layar perak, tetapi susunan jadual saya tidak pernah kosong dengan aktiviti lakonan. Saya kini sedang sibuk menjalani penggambaran projek filem sendiri. Penulis skripnya adalah junior saya ketika di Aswara, manakala pengarahnya pula adalah rakan baik saya sendiri, Alif Ihsan yang juga merupakan senior saya. Malah, pada tahun hadapan saya bakal muncul dengan sebuah teater musikal bertajuk Arghh!. Teater ini tidaklah sebesar mana tetapi sekurang-kurangnya saya lakukan perkara yang saya suka.

Adakah itu bermakna anda kini tidak berminat lagi untuk berlakon dengan mana-mana produksi selepas ini?

Bukan begitu. Saya cuma perlahankan sedikit rentak perjalanan lakonan saya menerusi drama, itu sahaja. Bukan bererti saya ingin terus meninggalkan dunia lakonan drama. Sehingga kini pun, saya masih menerima banyak tawaran lakonan. Untuk filem pun saya ada terima tawaran. Cuma, masanya tidak bersesuaian malah banyak lagi perkara lain yang mengekang saya untuk terlibat dengan mana-mana filem setakat ini.

Jikalau mahu kata saya sudah tidak mahu berlakon, itu tidak betul. Buktinya, sekarang pun saya sedang sibuk menjalani penggambaran bagi sebuah drama baharu berjudul Pergilah Airmata. Dalam drama sebanyak 26 episod itu sekali lagi saya akan bergandingan dengan pelakon Nelydia Senrose. Ia bakal disiarkan di stesen TV1.

Beralih kepada kisah peribadi. Bagaimana kehidupan berumah tangga anda sekarang? Ahamdulillah, kehidupan saya seperti biasa. Bahagia bersama isteri dan anak yang kini sudah pun berusia enam bulan. Hidup saya sama seperti orang lain. Walaupun sibuk dengan kerja, tetapi keluarga tetap nombor satu bagi saya. Kehidupan berumah tangga benar-benar buat saya rasa bahagia. Apa yang tambah membahagiakan, sekarang anak saya sudah kenal siapa bapanya (senyum). Selain sibuk dengan kerja produksi, saya dan isteri juga merancang untuk menjalankan perniagaan rekaan lampu tidur bayi dalam masa yang terdekat.

Sabtu, 20 Disember 2014

[BERITA] Rencah unik Perempuan Politikus Melayu

Sebahagian daripada pelajar Jabatan Drama UM yang membintangi teater PPM semangat untuk pementasan unik tersebut.

Sumber : KOSMO - 20 Disember 2014

JIKA menyebut perkataan teater, pastinya pemikiran dan pemahaman orang ramai menjurus kepada satu persembahan dalam sebuah panggung dan para penonton pula hanya terpaku di tempat duduk masing-masing menyaksikan pementasan di depan mata.

Namun, lain pula yang dibawa oleh teater Perempuan Politikus Melayu (PPM) anjuran Jabatan Drama, Pusat Kebudayaan Universiti Malaya (PKUM) apabila tampil mengetengahkan konsep unik iaitu ‘journey theater’.

Memilih untuk menjalankan pementasan di sebuah banglo bernama Rumah Kediaman Universiti Malaya dan bukannya dalam panggung seperti kebiasaaan, PPM tampil berani menyajikan satu persembahan unik dengan memberi peluang kepada penonton untuk memilih sendiri babak manakah yang mahu mereka tonton.

“Pementasan teater ini mengambil pendekatan konsep journey theater kerana pertamanya, kami tidak melakukan pementasan dalam panggung. Para penonton yang hadir pada malam persembahan, akan dibawa menaiki bas pergi ke lokasi rumah banglo yang terletak di luar pintu pagar utama Universiti Malaya.

“Kedua, teater ini menampilkan 18 babak yang menampilkan kelainan. Antaranya, dalam beberapa babak yang terpilih melibatkan penonton untuk turut sama-sama naik ke pentas. Sekali gus ia memberi tanggapan berbeza kepada penonton yang selama ini selalu disajikan dengan persembahan teater yang biasa.

“Ketiga pula, sepanjang pementasan teater ini berjalan, ia menampilkan keunikan dengan memaparkan tujuh lokasi berbeza dalam ruang rumah banglo tersebut. Namun, setiap babak berkenaan berjalan serentak dan akan mengambil masa selama 10 minit untuk dipersembahkan. Pada ketika itulah penonton diberi peluang memilih untuk menonton babak yang mana mereka mahu.

“Malah pada penghujung persembahan, terdapat satu forum teater yang berkonsepkan babak muzikal. Dalam babak itu, para penonton akan diberi satu petunjuk dan mereka diberi peluang untuk menentukan siapakah pembunuh sebenar kepada Jenny (watak pelacur kelas atasan dalam PPM). Dari situ, segala pendapat dan pandangan daripada audien akan diambil kira bagi menentukan siapa dalang sebenar kepada segala konflik yang tercetus dalam naskhah ini.

“Maka apa yang boleh disimpulkan, teater ini tiada pengarah. Pengarahnya terdiri daripada penonton yang hadir. Merekalah yang menentukan jalan cerita dan mereka jugalah yang memberi peranan kepada perjalanan kisah teater ini. Ini sekali gus merupakan satu cara atau kajian buat kami warga pendidik dan pelajar bagi memanipulasi perkara itu ke dalam persembahan akan datang,” jelas pengarah artistik PPM, Dr. Rosdeen Suboh.

Projek yang melibatkan gabungan pelajar Jabatan Drama Universiti Malaya dengan pelajar kursus Lakon Skrin dari UiTM Shah Alam itu dipentaskan pada tarikh 19, 20 dan 21 Disember ini dari pukul 8.30 hingga 10.30 malam.

Menyingkap dengan lebih luas mengenai keunikan pementasan teater diadaptasi daripada karya idealisitik Faisal Tehrani yang berjudul sama itu, bicara Rosdeen yang juga merupakan Ketua Jabatan Drama PKUM, PPM merupakan teater yang cukup rencah, cukup rasa dengan menyentuh nilai-nilai kemasyarakatan sekeliling.

“Jika dinilai daripada pandangan yang tinggi, sebenarnya keunikan teater ini juga terdapat pada tajuknya. Perempuan, politikus dan Melayu. Terdapat tiga perkataan di situ yang membawa pengertian berbeza untuk dimengertikan," bicaranya lanjut.

Perempuan Politikus Melayu merupakan karya terawal hasil nukilan Faisal Tehrani yang dikeluarkan pada tahun 1994. Ia mengisahkan pelbagai konflik yang berlaku dalam dunia sekeliling antaranya kisah rampasan tanah penduduk kampung oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, tragedi pembunuhan dan konflik keluarga.

Teater tersebut turut mendapat sentuhan daripada tiga individu berpengaruh dalam dunia pementasan teater iaitu pelakon Amar Ashraf, Megat Shahrizal dan Mardiana Ismail.

Jumaat, 19 Disember 2014

[BERITA] Jadi penyiasat 'halimunan' dalam 'Perempuan Politikus Melayu'

Kisah Datuk Zuri dalam teater Perempuan Politikus Melayu menjadi tarikan dalam jalan cerita. - Foto Astro AWANI/HAMZAH HAMID

Sumber : ASTRO AWANI - 19 Disember 2014

KUALA LUMPUR: Sebaik sahaja anda melangkah melepasi pekarangan banglo yang menjadi lokasi pementasan teater Perempuan Politikus Melayu (PPM), tinggalkan identiti anda di luar perimeter.

Putuskan hubungan anda dengan dunia realiti dan bersedialah untuk menjadi sebahagian daripada helaian skrip dan plot cerita ini.

Dalam durasi pementasan lebih kurang dua jam, kisah yang diangkat daripada novel Faisal Tehrani dengan judul sama itu tidak sama sekali memberikan anda peluang untuk sekadar menonton secara pasif atau terlalu relaks.

Sebanyak 18 adegan berlaku serentak di lapan buah lokasi – dari pintu pagar ke sudut halaman, dari sebuah warung ke kawasan pentas acara, dan dari kamar ke kamar yang lainnya di dalam banglo.

Terlebih dahulu, fahamkan bahawa setiap lokasi berkenaan merupakan terjemahan suasana di tempat-tempat tertentu berdasarkan jalan cerita - seperti hotel, pejabat, makmal bedah, bilik bukti, kedai kopi dan persekitaran kampung.

Di setiap lokasi itu, perca-perca drama dilakonkan berulang kali mengikut sela masa tertentu dan penonton secara bebas boleh mengikuti seberapa banyak adegan tanpa mengikut turutan.
Lakonan di ruang terbuka: Bantulah watak Irfan (tengah) yang berusaha membuka helaian cerita dalam misi pembongkarannya. - Foto Astro AWANI/HAMZAH HAMID
Dengan sesiapa sahaja yang anda temui di sekitar banglo itu, jangan cepat membuat andaian bahawa mereka ialah penonton yang sama-sama datang menyaksikan teater seperti anda.

Mungkin individu atau kumpulan yang duduk atau berdiri di sebelah anda nanti, sebenarnya sedang dalam sifat watak tertentu. Barangkali tanpa anda sedari, mereka tiba-tiba beraksi atau mengatakan sesuatu yang 'menyuapkan' pembayang atau klu ke dalam fikiran anda.

Anda hanya perlu diam, amati dan dengar, kecuali sekiranya anda secara tidak langsung ‘ditarik’ ke dalam sesebuah adegan oleh watak-watak tertentu yang meminta anda berinteraksi bersama.

Jika anda rasa tertanya-tanya dan keliru pada awalnya, tidak mengapa, kerana itu sebenarnya penting untuk mencetus semangat ingin tahu. Cetusan semangat itulah yang mahu dibentuk oleh pengarah teater ini demi mencantumkan rentetan peristiwa.
Warung Pak Ajis dan Mak Kiah menjadi magnet penduduk Kampung Jentayu berkumpul untuk mendengar gosip. - Foto Astro AWANI/HAMZAH HAMID
DARI LOKASI KE LOKASI

Ini merupakan sebuah journey theatre yang memerlukan para penonton bergerak sendiri dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Idea luar kotak ini dicetuskan pengarah artistiknya iaitu Dr Rosdeen Suboh dan dibantu oleh tiga pengarah persembahan iaitu Amar Asyraf, Mardiana Ismail dan Megat Shahrizal.

Dijayakan barisan pelajar berbakat dari jurusan teater Pusat Kebudayaan Universiti Malaya (UM), setiap adegan menjadi ‘hidup’ di segenap sudut kawasan banglo tersebut dari luar hingga ke bilik-bilik kecil di dalamnya.
Salah satu adegan penting melibatkan watak Jenny yang berlangsung dalam sebuah kamar di tingkat dua banglo. - Foto Astro AWANI/HAMZAH HAMID
Jalan cerita teater ini bergerak berlatarkan kelompok masyarakat Kampung Jentayu yang berdepan dengan permasalahan yang muncul bersama kedatangan seorang tokoh politik.

Penonton juga dibawa berkenalan dengan Irfan iaitu seorang wartawan yang mahu membongkar skandal ahli-ahli politik yang korup dari segi kuasa dan pengaruh memanipulasi manusia.

Maka, anda sebagai penonton, selain terikat dengan plot-plot dalam lingkungan watak-watak utama, akan turut hanyut dalam keriuhan masyarakat kampung yang kuat bergosip dalam cemas dan berekspresi dalam tekanan.

Dari situ semakin dekatlah penonton dengan watak Datuk Zuri dan segala skandal yang terpalit kepadanya seperti isu rampasan tanah, konflik keluarga dan juga pembunuhan.

Selain Irfan dan Datuk Zuri, dekati juga permainan emosi yang disampaikan oleh watak-watak teras seperti Chai Yin, Datin Engku Malini, Haji Chenon dan juga si pelacur kelas atasan bernama Jenny.

Seumpama permainan papan 'Cluedo' yang meminta para pemainnya meleraikan misteri pembunuhan, begitulah juga fungsi penonton teater PPM ini.

Keterujaan tercetus apabila kes pembunuhan dibiarkan berlaku dalam motif yang kabur, maka di situlah peranan penonton teater untuk membantu merungkai segalanya pada akhir pementasan.

Penonton sebenarnya bertindak sebagai penyiasat 'halimunan' dalam teater PPM. Pementasan diakhiri dengan pihak produksi teater PPM mempelawa penonton menyertai forum bagi mengumpulkan pendapat dan pandangan terhadap kemungkinan kesudahan jalan cerita.

Penonton yang mampu ‘menangkap’ seberapa banyak pembayang dalam setiap adegan teater ini, mungkin boleh meneka siapa pembunuh misteri tersebut. Adakah anda bersedia?
Dedikasi dan kesungguhan para pelakon serta tenaga produksi teater Perempuan Politikus Melayu ternyata diuji dari pelbagai aspek. - Foto Astro AWANI/HAMZAH HAMID
TIP MENONTON:

1) Memandangkan durasi pementasan selama dua jam, seseorang penonton tidak akan dapat menyaksikan kesemua 18 adegan. Maka, jika datang bersama teman-teman, elakkan bergerak bersama-sama sebaliknya bertindak bijak dengan berpecah dan membahagikan lokasi adegan. Kemudian, berkongsilah pengalaman sesama sendiri pada penghujung pementasan.

2) Padam atau senyapkan telefon bimbit anda! Ingat, apabila pementasan dimulakan sekitar jam 8.30 malam, gangguan yang tidak sepatutnya daripada deringan telefon bimbit anda sangat merosakkan suasana. Hormati tumpuan orang lain yang mahu memahami jalan cerita.

3) Banyak adegan menarik berlaku di warung Pak Ajis dan Mak Kiah. Selain dapat berinteraksi dengan watak-watak tertentu, anda juga berkemungkinan diajak bergosip dan menikmati hidangan!

4) Walaupun pada kebanyakan masa anda menyaksikan adegan dengan senyap, jadilah penonton yang 'sporting' terutamanya apabila watak-watak tertentu mengajak anda berinteraksi bersama mereka. Ada ketikany,a anda mungkin menjadi pelakon tambahan sebagai penduduk Kampung Jentayu!

***Teater Perempuan Politikus Melayu membuka tirainya malam ini dan akan dipentaskan sehingga 21 Disember 2014. Tiket masuk sudah habis dijual.

Isnin, 15 Disember 2014

[BERITA] Teater Perempuan Politikus Melayu tampil konsep unik


Sumber : KOSMO - 15 Disember 2014

KUALA LUMPUR - Projek pementasan teater yang bertajuk Perempuan Politikus Melayu (PPM) bakal memberi kepuasan berganda buat penonton yang hadir kerana ia bakal dipersembahkan dengan konsep 'journey theater'.

Pementasan anjuran Jabatan Drama, Pusat Kebudayaan Universiti Malaya (PKUM) itu merupakan adaptasi dari novel karya Faisal Tehrani berkisahkan konflik yang terdapat dalam dunia politik.

Pengarah Artistik PPM, Dr. Rosdeen Suboh berkata, konsep berkenaan digunakan kerana pementasan itu menampilkan 18 adegan yang mempunyai keunikan tersendiri.

"Penonton yang hadir diberi peluang untuk membuat pilihan kerana setiap adegan dipentaskan selama 10 minit di tujuh lokasi berbeza," katanya ketika dihubungi Kosmo! Online di sini, hari ini.

Teater PPM yang merupakan projek pelajar jurusan teater di PKUM itu menggunakan lebih 100 tenaga kerja selain turut mengundang tiga pengarah persembahan hebat iaitu Amar Asyraf Zailuddin, Mardiana Ismail dan Megat Shahrizal.

"Saya mengharapkan ramai penonton yang hadir pada pementasan PPM kerana ia menonjolkan simbol dan mesej yang tersendiri selain konflik politik universal," katanya.

Teater selama dua jam itu akan dipentaskan pada 19 hingga 21 Disember ini di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaya.

Harga tiket PPM ialah RM5 untuk pelajar dan RM10 untuk orang awam.

Sabtu, 13 Disember 2014

[BERITA] Teater unik Perempuan Politikus Melayu libatkan penonton dalam adegan

Barisan pelakon yang menjayakan teater Perempuan Politikus Melayu sedang giat menjalani latihan.

Sumber : ASTRO AWANI - 13 Disember 2014

KUALA LUMPUR: Bayangkan anda meletakkan diri sebagai penonton teater, tetapi anda mempunyai kelebihan untuk memilih sendiri adegan yang mahu ditonton mengikut waktu dan tempat berbeza di lokasi pementasan.

Itulah kelainan yang mahu ditonjolkan dalam pementasan teater “Perempuan Politikus Melayu” anjuran Jabatan Drama, Pusat Kebudayaan Universiti Malaya (UM).

Projek yang dijayakan barisan pelajar jurusan teater di Pusat Kebudayaan UM dengan konsep journey theater itu mahu membawa penonton lebih dekat dengan jalan cerita, malah terdapat adegan yang memerlukan penonton untuk turut serta dalam sesebuah adegan.

Idea kreatif dan menarik berkenaan dicetuskan oleh pengarah artistik iaitu Dr Rosdeen Suboh dibantu oleh tiga orang pengarah persembahan iaitu Amar Asyraf, Mardiana Ismail dan Megat Shahrizal.

"Penonton akan memilih untuk menyaksikan 18 adegan yang berlaku serentak di tujuh lokasi berbeza. Dengan mengambil latar pementasan di sebuah kediaman banglo, adegan-adegan tersebut akan berlangsung di beberapa lokasi seperti di dalam bilik di rumah berkenaan, halaman, pintu pagar mahupun di sebuah warung berdekatan," kata Rosdeen.

Menurutnya, setiap adegan berlangsung selama 10 minit dan akan dilakonkan secara berulang-ulang mengikut sela masa tertentu.
Para pelakon bersama pengarah giat menjalani latihan untuk menjayakan teater Perempuan Politikus Melayu yang bakal dipentaskan pada 19-21 Disember ini.
Teater “Perempuan Politikus Melayu” merupakan adaptasi daripada novel karya Faisal Tehrani dengan tajuk yang sama.

Ia mengisahkan permasalahan yang berlaku sekitar dunia politik seperti isu rampasan tanah, konflik keluarga, pembunuhan dan beberapa insiden lain yang menambah rencah pada jalan cerita.

Penonton bakal mengenali watak Irfan iaitu seorang wartawan akhbar yang mahu menulis sebuah buku yang menyentuh tentang ahli-ahli politik yang korup dari segi kuasa dan tindakan mereka yang memanipulasi manusia.

Untuk merealisasikan hasratnya itu, Irfan meminta bantuan sahabat baiknya, Chai Yin, untuk memujuk Jenny, seorang pelacur kelas atasan para politikus untuk menjadi model dan ilham kepada karyanya.

Pada masa yang sama di sebuah kampung, kekacauan tercetus apabila hak milik tanah penduduk kampung dirampas secara paksa dan diberi pampasan yang tidak setimpal oleh syarikat milik Datuk Zuri, seorang ahli politik yang berpengaruh.

Konflik tercetus selepas sebuah kes pembunuhan terjadi di tengah-tengah kesulitan pembongkaran isu tersebut dan persoalan demi persoalan yang timbul nanti membuatkan penonton teater ini terdesak untuk mengetahui jawapannya di pengakhiran cerita.

"Pada penghujung pementasan, penonton akan dibawa ke satu acara penutup untuk memberi idea dan pendapat mereka tentang siapa yang mereka percaya telah melakukan pembunuhan tersebut," ujar Rosdeen yang menambah, adegan terakhir berdasarkan kata putus penonton itu akan dipentaskan sebagai penutup kisah.

Tambahnya, jika diikutkan tempoh pementasan dari jam 8.30 malam hingga 10.30 malam, penonton hanya akan dapat menyaksikan sebanyak 10 adegan. Baki lapan adegan pula jika penonton mahu menyaksikannya juga, perlu datang kembali pada hari pementasan berikutnya.

"Kami memulangkan hak tontonan, tafsiran dan penentuan adegan penutup kepada penonton. Itulah cara kami mmbawa kelainan dan mendekatkan penonton ke dalam keseluruhan pementasan teater ini," ujar Rosdeen.
Rumah banglo ini bakal menjadi lokasi pementasan teater Perempuan Politikus Melayu.
Teater “Perempuan Politikus Melayu” akan dipentaskan pada 19, 20 dan 21 Disember ini pada jam 7.30 hingga 11 malam di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaya.

Harga tiket untuk menyaksikan teater tersebut ialah RM5 (pelajar) dan RM10 (orang awam).

Isnin, 27 Oktober 2014

[PUISI] Tak Perlu

Tak Perlu

Pincang suasana
Susah menyusahkan
Selamat tidak kelihatan
Lebih buruk melihat keadaan
Pusing geliga menjana memikiran
Fikir alasan sebenarnya akibat
Susun acara juga aktiviti
Musnah juga hancur kerana itu
Akibatnya tempias ke semua
Hanya fikir tekak sendiri
Lupa atau sengaja mencari bahana
Banding dibuat dengan tak sekufu
Marah dan hilang sabar
Sengaja mencabar
Melawan tanpa rujuk dasar
Seronok pulang awal sangkut sesak
Tiba destinasi seperti biasa
Bukan mengeluh bukan menyalahkan
Kesal tak patut dilakukan
Kerja lain tidak selesai
Mencari kerja yang tidak relevan
Keluh kesah
Keluhan rasa
Langgar sana langgar sini
Buka jalan mencari salah
Bermula dari api perjuangan peribadi
Akhirnya memakan diri

Adli Shinichi
5:15 petang, 27 Oktober 2014
Owl & Pussycat Cafe, Kompleks Perdanasiswa, Universiti Malaya.

[PUISI] Perancangan

Perancangan

Rancang
Rencana
Semua perlu teliti
Dalam menjalani hari
Menuju sebuah destinasi

Hidup
Terus mencari
Untuk mengenal erti
Yang tidak pasti

Ilmu
Mencari dalam perlu
Memberi dalam mencari

Tanpanya hanyut
Tersasar

Penting juga perlu dalam kehidupan

Adli Shinichi
2 petang, 27 Oktober 2014
BK1, Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya.

Jumaat, 24 Oktober 2014

Maal Hijrah 1436 H : Perpaduan Nadi Transformasi Negara


ULASAN TEMA

“PERPADUAN NADI TRANSFORMASI NEGARA”

SAMBUTAN MAAL HIJRAH PERINGKAT KEBANGSAAN 1436H / 2014M



Perpaduan

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Hendaklah kamu bersama jamaah dan janganlah kamu berpecah (keluar daripada jamaah)”
(Riwayat at-Tirmizi)

Kejayaan Rasulullah SAW mengukuhkan dua sisi perpaduan iaitu dimensi sesama umat Islam dan pelbagai kabilah, merupakan model perpaduan terbaik dalam kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara. Bahkan menerusi peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah telah membawa kepada satu transisi  peradaban  yang  memacu  transformasi  kegemilangan tamadun manusia. Terasnya adalah kejayaan mempromosi dan melaksana prinsip penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial sehingga berupaya menyusun serta mengatur landskap kehidupan masyarakat yang pelbagai dan mewujudkan konsep Unity in Diversity – perpaduan dalam kepelbagaian.

Prinsip Perpaduan - Penerimaan

Fitrah alam dicipta dalam pelbagai bentuk dan ragam. Namun dalam menjamin kelestarian dan keharmonian hidup, Islam yang tegas dengan prinsipnya turut meraikan kepelbagaian tersebut kerana ia adalah anugerah dari Maha Pencipta. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu berta’aruf  dan berkenal-kenalan  (dan beramah  mesra  antara satu dengan yang lain)…”
(Surah al-Hujurat 49:13)

‘Bersatu   teguh,   bercerai   roboh’ - begitulah pepatah   yang   sinonim   dengan perpaduan. Menerusi  firman   Allah   SWT  di   atas   jelas   bahawa   Islam   amat menekankan persefahaman dan perpaduan antara kaum dan agama demi kepentingan bersama. Konsep ta’aruf dalam kemajmukan iaitu sentiasa mengikis prasangka dan salah faham serta saling menerima mampu mencerna masyarakat bernegara yang bersatu padu. Di samping itu, rakyat mestilah berusaha mencari persamaan dan mengecilkan perbezaan. Sekiranya sensitiviti itu berjaya diurus dengan pertimbangan toleransi, persefahaman dan penerimaan sepenuhnya, maka ia mampu memperkukuhkan perpaduan sedia ada sehingga mampu digembleng menjadi kekuatan dan nadi kepada transformasi sebuah Negara.

Prinsip Perpaduan - Kenegaraan

Piagam Madinah merupakan dokumen pertama yang menjadi asas kepada urus tadbir sebuah negara. Kejayaan Rasulullah SAW ini telah menghasilkan suasana kehidupan  rakyat  yang  menitikberatkan hal  persaudaraan  dan  bersatu  padu menjaga negara. Dalam konteks sebuah negara berdaulat yang memiliki komuniti majmuk dan berlatarbelakang rakyat pelbagai, Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan merupakan punca kuasa dan rujukan terpenting dalam usaha menjamin hak-hak kepelbagaian tersebut. Selain itu, kestabilan politik dalam urus tadbir negara turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh kuasa tenaga penyatuan berteraskan persefahaman, kerjasama, perundingan dan persetujuan. Pendekatan eksklusif dan inklusif yang dijadikan mekanisme dalam meraikan kepelbagaian, telah berjaya menghasilkan suasana perpaduan, saling menghormati dan bertoleransi yang menghiasi kehidupan bermasyarakat seterusnya menjadi nadi kepada perubahan yang lebih baik. Natijahnya, kesejahteraan hidup  terpelihara, semangat patriotisme rakyat meningkat serta imej keselamatan dan keamanan negara dapat diperkasakan.

Prinsip Perpaduan - Keadilan Sosial

Islam adalah agama keadilan dan kesaksamaan. Peristiwa peletakkan ‘hajarul al- aswad’ membuktikan bahawa Islam membawa mesej keadilan yang menjamin kesejahteraan hidup. Pelaksanaannya juga merangkumi segenap aspek kehidupan yang meliputi ekonomi, politik, sosial dan pelbagai lagi serta merentasi segenap lapisan masyarakat tanpa diskriminasi. Di samping itu, kebertanggungjawaban, penzahiran dan ketelusan serta imbangan merupakan asas nilai dan etikanya. Dalam hal ini, komitmen individu dan pemerintah sangat penting sebagai penentu kejayaan dalam usaha  merealisasikan misi  tersebut. Sesungguhnya masyarakat yang mengerti mahalnya harga perpaduan tidak akan membuat tuntutan yang melampau sehingga mencetuskan riak-riak permusuhan. Sebaliknya, masyarakat yang cintakan perpaduan dan keamanan adalah masyarakat yang akan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan kelompok dan kepartian. Natijahnya, nilai integriti jadi budaya, kejayaan yang dikecapi dapat dinikmati secara bersama dan kemakmuran dapat dikongsi dengan lebih meluas.

Perpaduan Nadi Transformasi Negara

Hakikatnya, keunikan negara Malaysia adalah kerana kemajmukannya. Kontrak sosial, latar belakang sejarah dan perlembagaan negara perlu menjadi kerangka perpaduan dalam membina 1Ummah yang hebat dan mampu memacu tranformasi negara. Dalam mendepani cabaran global, usaha untuk melaksanakan ketiga-tiga prinsip tersebut dalam menghasilkan kestabilan politik, kemantapan ekonomi dan pembangunan modal insan, seharusnya dijadikan agenda transformasi utama dan indikator kepada dimensi sebuah negara maju yang seimbang. Ia selari dengan kehendak maqasid al-syariah yang bersifat sejagat berteraskan maslahah, keadilan dan berhikmah serta mempunyai tujuan yang amat jelas.

Sesungguhnya kesejahteraan negara menuntut integrasi, keikhlasan dan komitmen semua pihak dalam memastikan semangat perpaduan dan kesefahaman terus segar. Bahkan ia dibina di atas landasan kesederhanaan, kesantunan dan kesatuan dengan satu matlamat ke arah kemajuan dan pembangunan seimbang yang menatijahkan ‘Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur’.


Wakil PMUM dituduh cemar imej universiti



KUALA LUMPUR - Universiti Malaya (UM) semalam, mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Fahmi Zainol yang mendakwa mewakili Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) atas cubaan mencemarkan imej universiti.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM tetap berdegil meneruskan program 'Anwar Ibrahim : 40 tahun, dari UM ke penjara' walaupun dilarang berbuat demikian, diberi tempoh sehingga hari ini untuk menjawab surat berkenaan.

Bergerak secara haram
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UM, Prof Datuk Dr Rohana Yusof, berkata penganjur mendakwa program itu adalah anjuran PMUM yang tidak pernah berdaftar dengan pihak universiti, sekali gus menunjukkan persatuan itu bergerak secara haram.

Katanya, tidak ada mana-mana pihak, termasuk PMUM atau MPP memohon kebenaran untuk menganjurkan program berkenaan.

"Kami tidak pernah membenarkan program seumpama itu dijalankan di UM. Sekiranya, Fahmi ingkar, dia boleh digantung pengajian selama satu hingga dua semester selain didenda RM200.

Mahasiswa yang menyertai program berkenaan juga berdepan dengan tindakan tatatertib," katanya ketika dihubungi, semalam.

PMUM akan menganjurkan program bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan pada 9 malam di Dataran Dewan Tunku Canselor UM, sehari sebelum rayuan akhir kes liwat didengar di Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober ini.

Pihak universiti kecewa
Rohana berkata, pihak universiti kecewa kerana Fahmi ingkar untuk membatalkan program walaupun pernah bersetuju untuk berbuat demikian selepas dipanggil oleh pihaknya.

"UM tidak akan sesekali membenarkan atau menyokong program seumpama itu kerana ia bertentangan dengan peraturan universiti. Ia bukan saja boleh merosakkan imej, malah menyebabkan universiti dipandang serong," katanya. 

Sumber :-

Ahad, 19 Oktober 2014

[BERITA] Bengkel Teater MAKUM 2014


Bengkel Festival Teater Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2014 telah diadakan pada 11 hingga 15 Ogos 2014 yang lalu. Bengkel ini dianjurkan oleh Seksyen Kesenian & Kreatif Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) Universiti Malaya dengan kerjasama MAKUM. Bengkel ini diadakan di sekitar Dewan Perdana 1, Gazebo dan sekitar Kompleks Perdanasiswa Universiti Malaya.

Sebanyak 13 IPTA telah menghantar penyertaan. Jumlah keseluruhan peserta seramai 36 orang yang terdiri dari UiTM, UUM, USIM, UPNM, UMK, UTHM, UMT, UPSI, UKM, UMP, UNISZA dan UM. Semasa bengkel ini, peserta didedahkan dengan Teknik Asas Lakon, Pemilihan Skrip, Olah Tubuh, Latihan Vokal, Watak & Perwatakan, Psikologi Watak dan pelbagai lagi ilmu yang berkaitan teater.

Tenaga pengajar yang diundang khas ialah Encik Ismail Kassan dan Encik Lokman Ghani selain dibantu oleh Encik Mohd Rashid. Selain itu, bengkel ini turut diuruskan oleh empat orang sekretariat pelajar yang terdiri daripada tiga orang pelajar Universiti Malaya dan seorang pelajar praktikal dari UTHM.

Bengkel Festival Teater MAKUM ini ditutup dengan Majlis Penutup yang dirasmikan oleh TBhg Prof Datuk Dr Rohana Yusof, Timbalan Naib Canselor HEPA Universiti Malaya. Dalam ucapan perasmiannya, beliau berharap bengkel ini dapat disemarakkan sebagai satu aktiviti  warga kampus agar dapat melahirkan mahasiswa/i yang celik seni kerana minat dan kecenderungan terhadap kesenian adalah sesuatu yang naluriah. Sambung beliau lagi, dengan adanya bengkel seperti ini, semua warga IPT khususnya para peserta dan pihak MAKUM mempunyai kefahaman, tanggapan dan memberi sambutan positif terhadap kegiatan teater dan drama sebagai satu kegiatan ilmu dan riadah yang melahirkan budaya dan perdaban bangsa yang bertamadun, berilmu dan berdaulat.

Disediakan oleh : Muhammad Adli Bin Badrudin

Selasa, 7 Oktober 2014

[PUISI] Ku Akur

Ku Akur

Hidup itu satu perjalanan
Ditempuh berbeza haluan
Berliku jalan perlu ditahan
Untuk mendapat redha Tuhan

Perjalanan yang kulalui
Peristiwa lama menghantui
Pedoman baru kini ku cari
Peneman duka dikamar hati
Pengubat rindu agar tidak mati
Pengisi sunyi lagi sepi

Kini aku akur dengan ketentuan
Hidup bukan satu mainan
Banyak rintangan juga cabaran
Buatku kembali kepada pegangan

Cabaran dugaan ku tempuhi jua
Ilmu berguna penguat jiwa

Aku akur aku pelakon di pentas dunia

Adli Shinichi
5:06 pm, 7 Oktober 2014
BK2, Pusat Kebudayaan, Universiti Malaya.

Rabu, 3 September 2014

10 Masjid Tercantik Di Dunia


Tadi masa admin sedang meneroka beberapa laman sosial, Admin terbaca satu artikel ni. 10 Masjid Tercantik Di Dunia. Yang paling Admin bangga ialah Masjid Zahir, Kedah, Malaysia. Sebabnya Admin orang #AnakKedah la. Hehe.. Jom baca sedikit artikel pasal masjid ni..
1) Masjidil Haram, Makkah, Arab Saudi.

Masjidil Haram, Makkah, Arab Saudi adalah masjid terbesar di dunia terletak di kota suci Makkah dan berada di sekitar Kaabah. Masjid ini merupakan tempat paling suci bagi umat Islam dan sebagai penunjuk arah kiblat. Ketika ini, luas Masjidil Haram ialah 39.6 hektar termasuk ruang solat luar dan dalam. Ketika musim Haji, ia mampu menampung sehingga 4 juta Jemaah.

2) Masjid Nabawi.

Masjid kedua terbesar di dunia selepas Masjidil Haram dan kedua paling suci bagi umat Islam. Salah satu tempat paling penting pada masjid ini adalah Kubah Hijau di mana ia menempatkan makam Nabi Muhammad SAW.

3) Masjid Al-Aqsa, Baitulmaqdis, Palestin 
(Sebenarnya ini adalah Masjid Dome Of The Rock. Masjid Al-Aqssa kubahnya berwarna hijau. Media sedang mengelirukan umat Islam)

Majid Al-Aqsa bermaksud masjid paling jauh, dan ia merupakan tempat suci bagi kota lama Baitulmaqdis. Bagi umat Islam, masjid ini adalah masjid ketiga paling suci selepas Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.

4) Masjid Zahir, Kedah, Malaysia

Dibina pada 1912 dan dibiayai Tunku Mahmud iaitu anak Sultan Tajuddin Mukarram Shah. Di sini juga terletaknya makam pahlawan Kedah yang maut ketika mempertahankan negeri itu dari Siam pada 1981. Seni binanya diilhamkan dari Masjid Azizi di Langkat, utara Sumatera di Indonesia. Terdapat lima kubah melambangkan rukun Islam.

5) Masjid Sultan Omar Ali Saifudin, Brunei

Masjid Sultan Omar Ali Saifudin, Brunei adalah masjid diraja Kesultanan Brunei terletak di Bandar Seri Begawan. Masjid ini diklasifikasikan sebagai masjid paling hebat di rantau Asia Pasifik dan menjadi antara tarikan utama pelancong. Bagi masyarakat tempatan, masjid ini adalah mercu tanda negara mereka.

6) Masjid Taj’ul, Bhopal, India

Terletak di Bhopal, India, masjid ini adalah salah satu masjid terbesar di Asia. Pada sebelah petang, ia digunakan sebagai sekolah agama.

7) Masjid Baiturrahman, Banda Aceh, Indonesia

Dahulu, masjid ini adalah masjid Kesultanan Aceh. Apabila Belanda menyerang Banda Aceh pada 1873, masjid ini dibakar dan Belanda membina sebuah masjid baharu sebagai pengganti. Kubah pertama masjid disiapkan pada 27 Disember 1883, dan tiga lagi kubah ditambah pada 1935. Kini, ia dikembangkan kepada lima kubah pada 1959 hingga 1968.

8) Masjid Sultan, Singapura

Terletak di Muscat Street dan North Bridge Road di Kampung Glam Rochor. Sejak ia dibina, masjid ini tidak banyak berubah. Hanya penambahbaikan kecil sahaja dilakukan di ruang utama pada 1960 dan ruang tambahan dibina pada 1993. Pada 14 Mac 1975, ia diiktiraf sebagai monumen kebangsaan.

9) Masjid Faisal, Islamabad, Pakistan

Ia masjid terbesar di selatan timur dan selatan Asia serta keempat terbesar di dunia. Pada 1986 hingga 1993, ia merupakan masjid terbesar di dunia sebelum selesainya pembinaan Masjid Hassan II di Casablanca, Maghribi dan pembesaran Masjidil Haram serta Masjid Nabawi pada 1990-an.

10) Masjid Qol Shariff, Rusia

Ia adalah salah satu masjid terkenal di Rusia. Nama masjid ini diambil sempena nama Imam Qol Shariff pada abad keenam.

p/s : Bangga sebagai #AnakKedah . Tahniah juga buat pasukan Hijau Kuning sebab menang 2 - 0 lawan Perak tadi. #PulunKedahPulun #YakinkanlahDiriSendiri

Ahad, 31 Ogos 2014

[PUISI] #31Ogos2014 - Erti

Erti
(Sempena Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-57)

Lahirmu lebih awal daripadaku
Hidupmu lebih lama daripadaku
Jasamu lebih banyak berbandingku
Pengorbananmu menandingiku

Ramai yang mengingati tarikh lahirmu
Ramai juga yang hanya meningati tarikh
Ramai yang mampu mengerti
Ramai juga yang tidak kenal dirimu

Perjuangan demi kamu terlalu perit
Pengorbanan yang dibuat terlalu jerih
Penantian demi penantian
Peperangan demi peperangan

Kebebasan
Kegembiraan
Kedamaian
Lalui dengan penuh penghayatan
Terokai dengan penuh mengertian
Kerana
Di sini lahirnya sebuah cinta

Adli Shinichi
10:30 pagi, 31 Ogos 2014
Blok Sri Bakawali Kolej Kediaman Tun Syed Zahiruddin, Universiti Malaya

Selasa, 26 Ogos 2014

#BetulKeBohong - 27 Ogos 2014 Fenomena Bulan Jadi Dua?


Sejak beberapa hari yang lalu, kita sering mendapat berita atau pesanan tentang bulan menjadi dua. Pesanan atau mesej ini dihantar secara meluar melalui laman sosial dan seumpamanya seperti Whatsapp dan Facebook. 

Antara pesanan yang disebarkan :
Pada 27 Ogos 2014 akan ada dua bulan. Seluruh dunia sedang menunggu untuk itu. Pada hari ini Marikh akan menjadi sangat terang seperti bulan dan semua orang boleh melihatnya dengan mata kasar. Hari ini ia akan menjadi 34.65 M Miles dari bumi. 

Pada hari ini jangan lupa untuk melihat ini pada jam 12.30 malam. Kerana anda akan melihat dua bulan di langit. Peristiwa ini akan berlaku lagi pada tahun 2287. 

Sila berkongsi ini dengan semua. Oleh kerana orang-orang yang hidup sekarang tidak boleh melihatnya kali kedua pada tahun 2287.
Namun sedarkah kita daripada datangnya maklumat tersebut? Adakah kita membuat penyelidikan tentang maklumat tersebut? 

Kita ambil penyelesaian yang mudah, Hari ini malam 27 Ogos 2014. 
26 Ogos 2014 bersamaan 30 Syawal 1435
27 Ogos 2014 bersamaan 1 Zulkaedah 1435
Hari terakhir bulan Syawal. Dan esok hari pertama Zulkaedah. Jadi ketika ini bulan adalah 'anak bulan'. Mana nak datangnya bulan purnama atau bulan penuh di langit. 

Jangan hanya ambil tahu bulan-bulan Islam sewaktu bulan Ramadan sebab dan puasa dan bulan Syawal sebab nak raya sahaja. Macam mana nak tengok kononnya pada jam 12:30 malam? Fikir-fikirkan~

Ini merupakan penafian daripada ANGKASA
KUALA LUMPUR - Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) hari ini menafikan dakwaan kononnya planet Marikh akan membesar seperti bulan dan kemunculan bulan berkembar pada Rabu depan (27 Ogos), seperti yang tersebar di laman sosial dan khidmat pesanan ringkas.
Menurut kenyataan ANGKASA, jarak planet Marikh adalah stabil pada orbitnya pada malam berkenaan iaitu 201.69 juta kilometer atau 125.28 juta batu dari bumi, dan bukannya 34.65 juta batu seperti yang telah disebarkan itu.
Pada jarak itu, planet Marikh hanya akan kelihatan seperti sebuah bintang merah di langit malam dan ia akan terbenam sekitar jam 12 tengah malam, dan oleh yang demikian ia tidak lagi kelihatan selepas daripada waktu itu.
Bulan pada malam itu berada pada fasa anak bulan dan bukannya bulan penuh.
Bulan juga akan terbenam awal pada hari tersebut iaitu sekitar 8.30 malam dan ia tidak lagi kelihatan pada 12 malam seperti yang digembar-gemburkan. - BERNAMA
SIARAN MEDIA
PENAFIAN BERKENAAN MARIKH MENJADI SEBESAR BULAN DAN BULAN BERKEMBAR  
Pihak Agensi Angkasa Negara (ANGKASA), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan ini menafikan mesej-mesej di laman sosial dan juga pesanan ringkas yang mula tersebar berkenaan dengan kemunculan Bulan Berkembar dan juga Planet Marikh akan membesar seperti Bulan pada 27 Ogos 2014 ini. 
Ia merupakan mesej lama yang telah tersebar sejak tahun 2003 lagi. Adalah dimaklumkan bahawa jarak planet Marikh adalah stabil pada orbitnya pada malam berkenaan adalah 201.69 juta kilometer atau 125.28 juta batu dari Bumi, dan bukannya 34.65 juta batu seperti yang dikhabarkan. Pada jarak ini, Marikh hanya akan kelihatan seperti sebuah bintang merah di langit malam. Marikh juga akan terbenam sekitar jam 12 tengah malam dan oleh yang demikian ia tidak lagi kelihatan selepas daripada waktu itu. 
Manakala bagi keterangan berkenaan dengan Bulan berkembar dan juga gambar yang diolah semula itu, adalah jauh dari kebenaran. Seperti yang kita sedia maklum, Bumi hanya mempunyai sebuah satelit semulajadi iaitu Bulan yang sentiasa dapat kita lihat. Untuk makluman juga, Bulan pada malam tersebut berada pada fasa bulan pada hari berkenaan, 27 Ogos 2014 adalah pada fasa anak Bulan dan bukannya Bulan penuh seperti yang dinyatakan dalam mesej-mesej tersebut. Bulan juga akan terbenam awal pada hari tersebut iaitu sekitar 8:30 malam dan ianya tidak lagi kelihatan pada jam 12 tengah malam seperti yang ditulis dalam rantaian mesej berkenaan. Fasa bulan penuh yang terdekat adalah pada 11 Ogos 2014 dan 9 September 2014.  
Menambah kepada dua fenomena yang palsu ini adalah yang mana ia hanya akan berlaku lagi pada tahun 2287. Fenomena ini adalah tidak benar sama sekali dan tidak akan berlaku, jauh sekali untuk berulang pada masa akan datang. Kelemahan helah ini adalah kepada ketiadaan sumber penulis dan rujukan dari hasil penulisannya. Dan masyarakat Malaysia harus lebih bijak dalam menyampaikan berita dan juga mencari kesahihannya sebelum memanjang-manjangkan berita palsu seperti ini. 
Di sini admin pautkan juga informasi yang boleh kita baca dan berfikir. 
AL-HUJURAAT: Ayat : 6


Isnin, 25 Ogos 2014

Whatsapp+ PLUS + MOD Hide Online Status


WhatsApp PLUS adalah aplikasi mudah yang membolehkan pengguna menyesuaikan lebih aspek WhatsApp, salah satu aplikasi mesej segera yang paling popular di dunia. 

Terima kasih kepada WhatsApp PLUS, pengguna boleh memilih banyak palet warna yang berbeza dan latar belakang untuk menghiasi perbualan WhatsApp mereka. 

Untuk mengakses semua kandungan baru ini anda hanya perlu membuka pilihan anda di WhatsApp dan pilih 'PLUS'. Apabila di dalam versi yang lebih baik ini, anda akan dapat untuk menukar tetapan anda seperti yang dikehendaki dan juga menyesuaikan perbualan dengan setiap kenalan anda. 

WhatsApp PLUS adalah alternatif yang sangat menarik kepada WhatsApp tradisional, dan membolehkan anda memberikan sentuhan peribadi dan unik untuk perbualan anda.

Siapa yang nak cuba Whatsapp PLUS + MOD Hide Online Status
  1. Muat turun dulu sini Whatsapp+MOD (sehingga selesai)
  2. Pergi ke setting Whatsapp yang lama, cari Chat setting ambil tekan backup 2 hingga 3 kali.
  3. Selepas itu, uninstall Whatsapp lama. 
  4. Pergi ke Whatsapp yang dimuat turun tadi dan install .apk tersebut.
  5. Ikut arahan selepas install.
  6. Whatsapp anda akan bertukar menjadi Whatsapp+ berwarna biru daripada warna hijau. 
Kelebihan :-
  1. Banyak emoticon baru.
  2. Boleh hantar muzik.
  3. Boleh tukar layout WhatsApp (unique) berbanding WhatsApp biasa.
  4. Hantar fail saiz lebih besar sehingga 50MB.
  5. Chat lama boleh restore balik, jadi tak ada isu kata rekod chat lama hilang.
Tema : GreenYellow --> Download




----------------------------------------------------

WhatsApp PLUS is a simple app that lets users customize even more aspects of WhatsApp, one of the most popular instant messaging apps in the world.

Thanks to WhatsApp PLUS, users can select from loads of different color palettes and backgrounds to decorate their WhatsApp conversations.

To access all this new content you just have to open your options in WhatsApp and select ‘PLUS’. Once inside this improved version, you’ll be able to change your settings as desired and even customize conversations with each of your contacts.

WhatsApp PLUS is a very interesting alternative to the traditional WhatsApp, and lets you give a personal and unique touch to your conversations.

HOW TO INSTALL WHATSAPP PLUS
  1. Go to Option Settings > Chat Settings > Backup conversations 
  2. Remove any WhatsApp on your Phone
  3. Download and install the New Version WhatsApp Plus with emphasis on activating the restore option during the installation process
Advantages: - 
  1. Many new emoticons. 
  2. Can send music. 
  3. Can change the layout of WhatsApp (unique) than normal WhatsApp. 
  4. Send larger files sizes up to 50MB.
  5. Can restore old chat back, so there is no issue of said old chat record gone.

Isnin, 4 Ogos 2014

[PUISI] #4Ogos - Angka Bermaksud

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih dikurniakan umur yang panjang. Semoga melangkah ke usia ini membuat aku menjadi lebih matang dari segi mental, emosi dan minda. Biarlah fizikal nampak tidak matang, tetapi yang lainnya matang. Aamiin~

Oleh itu, ku karang sebuah sajak buat tatapan semua sempena hari ulangtahun kelahiranku yang ke-22. Sengaja aku sembunyikan tarikh ini daripada khalayak ramai kerana aku ingin lihat siapa yang ingat. Hehehe~

Angka Bermaksud
(Sempena Ulangtahun Kelahiranku yang ke-22 pada 4 Ogos)

Dia amat rapat dengan kita
Dia sentiasa ada bersama kita
Dia bergerak seiring dengan kita
Dia hidup sejak lahirnya kita

Dahulu kita sering melupakannya
Kita tidak pernah peduli tentangnya
Biarpun terlalu rapat kita tidak mengendahkannya
Kita mudah alpa tanpa mengingatinya

Selalu menjadi ingatan
Kerap kali lahir rasa gembira
Jarang sekali terlupa jika bermakna
Kadang kala mengukir duka lara

Begitu...
Pentingnya dia kepada kita
Berharganya dia kepada kita
Gunalah dia sebaiknya
Kerana dialah Sang Usia

Adli Shinichi
2:46 petang, 4 Ogos 2014 bersamaan 8 Syawal 1435
Pusat Budaya dan Seni, Universiti Utara Malaysia

Jumaat, 18 Julai 2014

[BREAKING NEWS] Malaysian Passenger Plane Crashed In Ukraine

Salam 1 Dunia..

إِنَّا لِلّهِ وَإِنَّـا إِلَيْهِ رَاجِعونَ
Beberapa minit yang lalu, kita mendapat berita bahawa satu pesawat Malaysia Airlines (MAS) yang membawa 295 penumpang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas di Ukraine dekat sempadan Russia malam ini. 

Sementara itu, dalam Twitter Malaysia Airlines (MAS), melaporkan pihaknya terputus hubungan dengan pesawat MH17 dari Amsterdam. 
Kedudukan terakhir pesawat ialah di ruang udara Ukraine. - Agensi . 
Pesawat tersebut ialah MH17(Boeing 777). Pesawat berkenaan ditembak dengan peluru berpandu dari darat ke udara. 
Berikut merupakan berita daripada Reuters.
Ukraine says rebels shoot down Malaysian airliner, 295 dead : agency
(Reuters) - A Malaysian airliner was shot down over eastern Ukraine by militants on Thursday, killing all 295 people aboard, a Ukrainian interior ministry official was quoted as saying by Interfax-Ukraine news agency.
The aircraft, which other sources said was a Boeing 777 flying from Amsterdam to Kuala Lumpur, came down near the city of Donetsk, stronghold of pro-Russian rebels, Anton Gerashchenko said, adding that it was hit by a ground-to-air missile.
There was no further confirmation of the report, although Ukrainian officials said local residents had found wreckage.
Malaysia Airlines said on its Twitter feed it had lost contact with its flight MH-17 from Amsterdam. "The last known position was over Ukrainian airspace," it said.
Gerashchenko was quoted as saying: "A civilian airliner travelling from Amsterdam to Kuala Lumpur has just been shot down by a Buk anti-aircraft system ... 280 passengers and 15 crew have been killed."
Interfax-Ukraine quoted another Ukrainian official as saying the plane disappeared from radar when it was flying at 10,000 metres (33,000 feet), a typical cruising altitude for airliners.
It came down at Torez, near Shakhtersk, some 40 km (25 miles) from the Russia border. The area has been the scene of fighting between Ukrainian troops and pro-Russian rebels.
Ukraine has accused Russia of taking an active role in the four-month-old conflict in recent days and accused it earlier on Thursday of shooting down a Ukrainian fighter jet - an accusation that Moscow denied.
(Reporting by Richard Balmforth and Alastair Macdonald; Editing by Peter Millership)
Ini daripada Berita Harian.
Pesawat Malaysia ditembak jatuh - Penasihat Menteri Dalam Negeri Ukraine
Pesawat Malaysia ditembak jatuh - Penasihat Menteri Dalam Negeri Ukraine 
Agensi berita Reuters melaporkan pesawat #MAS #MH17 membawa 295 penumpang
KIEV: Seramai 280 penumpang, 15 kru maut selepas pesawat ditembak jatuh di Ukraine, kata Penasihat Menteri Dalam Negeri Ukraine yang dipetik Interfax, agensi berita negara itu.
Menurut sumber lain, pesawat itu ialah jenis Boeing 777 yang terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur terhempas dekat bandar Donetsk, kubu kuat pemisah pro Russia, Anton Gerashchenko. 
Pesawat berkenaan ditembak dengan peluru berpandu dari darat ke udara. 
Setakat ini, tiada pengesahan lanjut mengenai laporan berkenaan walaupun pegawai Russia berkata, penduduk tempatan menjumpai bangkai pesawat.
Gerashchenko dipetik sebagai berkata: "Sebuah pesawat awam yang terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur ditembak jatuh oleh sistem anti-pesawat Buk....280 penumpang dan 15 kru terbunuh." - Reuters
Marilah kita mendoakan mangsa yang terkorban. Al Fatihah. Janganlah kita bergaduh dan membuat apa-apa spekulasi yang boleh menimbulkan FITNAH.
Dugaan demi dugaan. Sabar dan tabah menjadi taruhan. Semoga Allah permudahkan segala urusan. Aamiin...
‪#‎pray4Malaysia‬
‪#‎pray4Palestin‬ 
‪#‎pray4Gaza‬
‪#‎pray4mh370‬
‪#‎pray4mh17‬
‪#‎Allahuakbar

Translate This Page