Salam Aidil Fitri

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam yang menyambutnya.

The National Academy of Chinese Theatre Arts(中国戏曲学院)

Pertukaran Belajar mahasiswa Universiti Malaya ke NACTA untuk mempelajari Opera China.

Teater Tuah dan Jebat 2015

Naskah lagenda yang disuntik dengan pemikiran yang baru.

Teater KAWAD

Mengisahkan kehidupan keluarga Mejar Bersara Abdul Kabir.

#PrayForGAZA

Marilah kita bersama-sama berdoa supaya mereka kuat dan tabah menghadapi musuh iaitu Zionis Laknatullah.

Khamis, 29 Mac 2012

7 Petala Cinta




 

7 Petala Cinta yang merupakan sebuah filem cinta berbentuk Islamik yang digarap oleh Azahari Zain dan diterbitkan oleh Metrowealth Pictures mengisahkan kehidupan anak remaja yang mendapat pendidikan dalam institusi keislaman. Pelbagai insiden dan suka duka yang berlaku selain berdepan dengan kemelut yang akhirnya mengundang perspektif berbeza.7 Petala Cinta tidak hanya menyingkap kisah suka duka dunia remaja yang terperangkap dengan nafsu dan nilai budiman dalam jiwa namun turut memaparkan pengorbanan, erti persahabatan serta kisah cinta agung.
Sinopsis
Hamka seorang graduan syariah dari Universiti Al-Azhar ditunangkan dengan anak kepada guru di madrasah Qalbun Salim, tempatnya menuntut ilmu, Saidatul Nafisah (Shima Anuar) dan kemudiannya berhijrah ke Yemen untuk menuntut ilmu. Dalam pada masa yang sama, Hilma Aqila (Diana Amir) adik kepada Hamka turut menuntut di Madrasah yang sama. Namun sebaliknya, Hamka gigih menulis al-Quran dengan tulisan tangannya sendiri bagi dijadikan hantaran perkahwinannya kelak.

Entah mana punca, berita mengenai Hamka terbunuh di Yemen tersebar selepas negara itu dilanda perang saudara dan konflik politik. Tunangnya, Nafisah menanti dengan setia dan muncul pula watak Attar (Aeril) seorang yang jahil sehinggalah bertemu dengan Abi Ikhwan (Ustaz Dini) yang mengajar di Madrasah Qalbun Salim.yang sudah lama memendam perasaan kepada Nafisah. Di situlah wujudnya nilai kesetiaan seorang wanita yang mengagungkan seorang lelaki yang dicintai walaupun apa saja yang melanda.
Membariskan pelakon muda seperti Fizo, Shima Anuar, Aeril Zafril, Diana Amir, Putri Mardiana. Turut dibantu oleh Epy Raja Lawak dan Zalif Sidek. Gandingan ini diperkuatkan lagi dengan bantuan pelakon lain iaitu Ustaz Dini Juri, Ummi Rosiah, Zul Suphian, Wak Di dan Alex Yanz.
Download di sini [Mediafire, MKV, 700Mb]-> |Part 1|Part 2|Part 3|Part 4|

Definisi '7 Petala Cinta', kata penulis skripnya 'tujuh lapisan cinta'. Cinta yang berlapis antara langit dan bumi menjadi intipati '7 Petala Cinta', sebuah filem Azhari Zain. Filem berunsur islamik, hasil karya Shariman Wahap merupakan naskhah yang menghuraikan tentang 'cinta, kasih sayang, dan persahabatan antara tiga karektor utama 'Hamka, Attar dan Saidatul Nafisah'. Filem yang diterajui Aeril Zafrel, Fizo Omar, Diana Amir dan ramai lagi ini, merupakan karya terbitan MiG yang hanya berselindung disebalik 'imej purdah, dialog dan tutur kata serta gambaran pesantren (sekolah pondok) seolah-olah mengambil pendekatan filem-filem dakwah dari Indonesia seperti 'Ayat-Ayat Cinta, Ketika Cinta Bertasbih, Di bawah Lindungan Kaabah dan sebagainya'.

Konsep '7 Petala Cinta', menarik perhatian saya kerana ia berunsurkan sebuah filem islam. Filem islam bukannya terletak pada lagu tema, skor muzik, imej purdah, dialog dan skrip tetapi isi dan isu yang cuba diperkatakan. '7 Petala Cinta', bagi saya agak kabur tentang isu utama dan apa yang cuba dihuraikan dalam filem ini. Cuma, filem ini banyak memaparkan tentang hubungan rasa, cinta, suka dan perebutan antara hak dan keinginan antara Attar, Saidatul Nafisah dan Hamka. Filem yang bagus dari sudut sebagai sebuah sinema islam ialah filem-filem dari Iran dan adakalanya dari Indonesia. Jika anda mengatakan '7 Petala Cinta' sebuah karya yang hebat, mungkin kerana ada ketika satu scene barangkali 'tersentuh hati anda', namun anda perlu melihat pada keseluruhan jalan ceritanya. 7 Petala Cinta, gah dari segi namanya, bukan pada isi kandungan filem ini.

Tutur kata, dialog, bahasa dan skrip dalam 7 Petala Cinta sangat indah, ada ketika agak janggal dan juga seolah-olah cuba ingin menjadi sebuah filem Indonesia. Bayangkan semua dialog dalam filem ini seperti berlagu, bermadah dan berkias (bukankah pesantren atau sekolah pondok) secara azalinya banyak menggunakan perantara bahasa Arab!. Filem ini akan menjadi indah jika keseluruhan 7 Petala Cinta menggunakan bahasa Arab.. Mungkin agak keterlaluan saya mengatakan begitu, tetapi memang 'ya' secara hakikatnya dan apakah keseluruhan yang digambarkan itu (dialog) adalah realiti percakapan dalam latar masa dan tempatnya - bermadah dan berlagu?. Barangkali penulis skripnya, mahu memancing penonton yang rata-ratanya menggemari jenis dan teknik sebegitu!.

Latar masa dan tempat dalam 7 Petala Cinta tidak dihuraikan secara terperinci!. Apakah cerita ini berlaku pada masa sekarang atau zaman dahulu?. Tetapi, jika dilihat pada keseluruhan watak dan perwatakkannya, saya cuma tertanya-tanya 'apakah hijab (tudung) yang dipakai watak Hilma (Diana Amir) itu merupakan cara berpakaian seorang wanita muslim di pesantren yang kuat agamanya?. Bukankah haram memakai tudung sebegitu?. (sanggul dinaikkan). Jika saya yang salah beranggapan sebegitu, maafkan saya.

Kecelaruan dari sudut plot dan ceritanya menjadikan 7 Petala Cinta sebuah cerita biasa, simple tapi menarik. Kematian Hamka di Yaman membuatkan Attar jatuh cinta pada Saidatul Nafisah begitu juga Hilma yang menaruh minat secara diam pada Attar. Konflik sebegitu menarik tetapi ia akan menjadi bertambah konflik sekiranya Attar mengetahui yang Hilma-lah gadis yang selama ini mengutus surat dan menghantar makanan di tepi pintu asrama Attar dan rakan-rakannya. (ini tidak ; sampai habis cerita Attar tidak tahupun) .Tetapi, dalam 7 Petala Cinta, ia tidak berlaku sebegitu. Barangkali, Shariman Wahap mahu menyambung filem ini ke part-2, mungkin!. Saya lebih suka sekiranya 7 Petala Cinta menjadi seperti ini - 'Attar keliru setelah mengetahui Hilma meminatinya dan cinta Nafisah tetap utuh pada Hamka walaupun Hamka telah pulang ke Pesantren. Attar keliru mahu memilih yang mana ( Nafisah atau Hilma). Dan filem ini berakhir sebegitu ( menimbulkan tanda tanya). Tetapi tidak!.

Plot bertambah keliru apabila Hamka pulang ke Pesantren setelah ia dikhabarkan meninggal akibat kecelakaan di Yaman. Mungkin menarik kata sesetengah penonton, tetapi tidak bagi saya. Sepatutnya, berita di kaca tv itu mengumumkan yang Hamka hilang dan mayatnya tidak dijumpai - baru bertambah kronik ceritanya. Kemunculan pelacur bernama Nida (lakonan Putri Mardiana) agak 'OK', tetapi wataknya hilang selepas terbongkar 'permainan dan kejahatan Nida' membuatkan Attar dihalau dari Pesantren dan pulang semula setelah diberitakan ia hanya fitnah semata-mata. Dalam perkara ini, Azhari jangan cepat mematikan atau menghilangkan watak Nida begitu saja - Mungkin ada part-2 kot.

Hubungan cinta, suka, dan kasih sayang itu sangat utuh sepertimana tajuk '7 petala cinta'. Filem ini seolah-olah kabur tentang erti cinta sebenarnya. Apakah Hamka pulang dan mengetahui Nafisah milik Attar dan Hamka menerima seadanya?. Mungkin Shariman ada jawapannya kenapa menghalalkan Hamka menerima jodoh Attar dengan Nafisah, walaupun Hamka menyayangi Nafisah - barangkali Hamka memilih cinta teragung pada maha esa, mungkin!. Filem yang bagus apabila setiap shot, visual, sinematografi dan lakonan dalam sesebuah filem itu 'berkata-kata'. Jika 7 Petala Cinta dibikin secara teliti, barangkali ia akan menjadi sebuah filem sehebat sinema Iran atau Indonesia. Jika ia dihasilkan terburu-buru mengejar keinginan penerbit tanpa tahu hala tuju dan isi serta hukum dalam dunia sinema, 'industri dan filem kita' tak kan mampu pergi jauh dan menjelajah ke pelusuk dunia dan ke serata festival filem seperti yang dibuktikan filem 'A Separation dari Iran dan Bunohan dari Malaysia.

7 Petala Cinta menampilkan lakonan matang Aeril Zafrel sebagai Attar (berbeza dengan lakonan dalam Cinta Kura-Kura) . Cuma saya agak terganggu dengan kemunculan Zaliff Sidek dan seorang lagi rakannya itu. Tanpa mereka, 7 Petala Cinta tetap bergerak sebagai sebuah cerita penuh dramatik. Ditayangkan mulai 15 Mac 2012 di seluruh pawagam tempatan, 7 Petala Cinta sebuah karya Shariman Wahap yang menarik dan sesuai ditonton seisi keluarga di bulan Ramadhan atau malam menjelang hari raya.
 

Rabu, 28 Mac 2012

Hukum dan Kos PTPTN




 

Oleh
Zaharuddin Abd Rahman


Terlalu ramai yang bertanya kepada saya tentang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN). Saya cuba mengelak dari membuat sebarang ulasan di dalam web saya kerana mendapat info bahawa mereka sedang dalam proses islamisasi produk mereka. Bagaimanapun demi, bersikap adil kepada hukum dan ilmu, saya tiada pilihan kecuali perlu mengurakannya demi menjawab persoalan orang yang-orang yang bertanya dengan adil.
Jawapan mudah saya,  apa yang dilakukan dengan 3 % sebagai kos perkhidmatan adalah riba. Bagaimanapun saya mendapat tahu bahawa,pihak PTPTN sedang berusaha untuk mengubah kepada sistem Islam cuma masih gagal mengimplementasikannya disebabkan oleh masalah sistem pengkomputeran sedia ada dan lain-lain masalaha yang tidak diketahui.

Saya difahamkan beberapa pakar Shariah dan bank Islam di Malaysia telah membentangkan beberapa cadangan struktur pembiayaan pelajaran baru berlandas aqad Ijarah, Bai' dan lain-lain lagi. Bagaimanapun, banyak yang menemui jalan buntu dan sebahagiannya masih dalam proses penyemakan dan penilaian.

Dari sudut Shariah, 3 % yang diletakkan sebagai kos perkhidmatan itu adalah dianggap sebagai Riba. Tidak dinafikan bahawa para ulama sedunia telah meluluskan bahawa halal bagi sesuatu pinjaman yang dibuat atas asas Qardhul Hasan mengenakan sejumlah kos perkhidmatan kepada peminjam, bagaimanapun cara yang digunakan oleh PTPTN adalah tidak menepati fatwa tersebut. 

Apa itu Qard
‘Qard' dari sudut definisinya bermaksud pertukaran atau perpindahan hak milik sesuatu aset atau wang dari pemilik asal kepada pihak lain dengan syarat, pihak lain itu berkewajiban memulangkan aset atau wang yang dipinjam tersebut atau yang sama nilainya pada kemudian hari.

Dalam kata lainnya, ia adalah satu jenis pemberian hutang dalam bentuk sejumlah wang atau pinjaman barangan seperti meminjamkan kereta atau telefon bimbit kepada orang lain dengan syarat ianya dipulangkan semula pada kemudian hari.

Pinjaman atau ‘Qard' dalam Islam adalah merupakan satu kontrak yang di asaskan atas dasar bantu membantu, sukarela (tabarru') dan belas kasihan kepada individu yang memerlukan (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/353). Atas sebab itu, Islam menyanjung tinggi amalan ini sehinggakan Nabi SAW bersabda : "Barangsiapa yang melepaskan satu kesukaran saudaranya, maka Allah akan melepaskan pelbagai kesukarannya di akhirat.." (Riwayat Muslim)

Sebuah lagi hadith menyebutkan kelebihan pinjaman tanpa faedah sebagaimana hadith berikut : Dari Anas ra berkata: " berkata Rasulullah SAW, aku telah nampak pada malam aku diperjalankan (pada malam isra' mikraj), tertulis di pintu syurga : satu sedeqah dipergandakan pahalanya sebanyak sepuluh kali, manakala ‘qard' atau pinjaman tanpa faedah digandakan sebanyak lapan belas kali ganda..." (Riwayat Ibn Majah, 2/812)

Qard ( Pinjaman ) Tidak Boleh diJadikan Asas Perniagaan

Berdasarkan asas tersebut, kontrak pinjaman ini tidak sesekali boleh dijadikan sebagai alat untuk perniagaan atau meraih keuntungan di dalam Islam. Bagi memastikan objektif kebajikan dan bantuan dalam ‘Qard' tercapai, Islam meletakkan kewajiban , bagi setiap pinjaman wang (cth : RM 5000) mestilah dipulangkan pada kemudian hari dengan jumlah yang sama tanpa sebarang tambahan dan manfaat lain yang dipaksakan atau diipersetujui. Sekiranya terdapat sebarang tambahan (cth 3 % dari jumlah RM 5000 sebagai bunga atau manfaat lain), sepakat seluruh ulama menyebut ianya termasuk dalam kategori Riba an-Nasiah yang disepakati haramnya. (Al-Jami' fi Usul al-Riba, hlm 217).

Isu kos perkhidmatan dalam pinjaman

Sungguh ramai yang mengajukan pertanyaan kepada saya berkenaan hukum kos perkhidmatan dan pengurusan yang dikenakan bagi pinjaman yang diberikan. Terdapat beberapa pihak yang cuba mengenalkan produk pinjaman yang bersifat Islam serta diberi nama "Qardhul Hasan". Istilah ‘Qardhul Hasan' merujuk kepada pinjaman tanpa sebarang faedah, ertinya peminjam hanya perlu membayar wang modal yang dipinjamnya sahaja tanpa sebarang penambahan. Ia dikira sebagai salah satu bentuk ibadat yang amat digalakkan kerana sifatnya yang membantu melepaskan orang lain dari kesukaran dan keperluan mendesak tanpa mengambil sebarang peluang atas kesusahan orang lain dengan mengenakan ‘bunga', faedah atau riba.

Walau bagaimanapun, implementasi ‘Qardul Hasan' ini kerap kali tersasar dari tujuan dan konsep asal pinjaman bersifat kebajikan hingga menjadi dwi tujuan, iaitu untuk bantuan dan meraih keuntungan disebalik nama kos perkhidmatan dan pengurusan agar ia menjadi ‘Halal' kononnya.

Sebelum membincangkan soal kos perkhidmatan ini, terlebih dahulu saya ingin membawakan keputusan Persidangan ulama antarabangsa di bawah AAOIFI (http://www.aaoifi.com) menyatakan bahawa semua faedah atau lebihan (dari jumlah yang diberi pinjam) yang telah dipersetujui atau disyaratkan di dalam kontrak atau ‘aqad' pinjaman dibuat di awal kontrak atau dikenakan ketika kelewatan pembayaran balik pinjaman sama ada dalam bentuk wang, barangan dan apa-apa manfaat adalah di larang sama sekali dan ia adalah Riba. (Shariah Standard, AAOIFI, hlm 336)

Adapun dalam hal kos perkhidmatan, Majlis Shariah AAOIFI dan hasil Keputusan Kesatuan Fiqh Islam Sedunia (dalam sidangnya yang ketiga pada 1986 M) berpendapat DIBENARKAN untuk mengenakan kos perkhidmatan dengan syarat ianya ADALAH KOS SEBENAR. Resolusi mereka juga menyebut, adalah HARAM untuk mengenakan kos yang lebih dari kos sebenar, justeru para Ulama dari persidangan tadi mewasiatkan agar cara untuk mengira dibuat setepat dan sebaiknya. Selain itu, keputusan mereka juga menyebut bahawa kos-kos tidak lansung seperti gaji pekerja, sewaan tempat dan tanggungan lain-lain sesebuah institusi itu tidak boleh dimasukkan di dalam kos pengurusan sebenar bagi sesebuah pinjaman. (Shariah Standard, AAOIFI, no 9/1, hlm 337)

Hasilnya, perlu kita fahami bahawa sebarang kos perkhidmatan dan pengurusan yang diletakkan seperti 2 %, 3 % atau 4 % dari jumlah pinjaman dengan hujjah bahawa ianya adalah kos pengurusan adalah tidak boleh diterima sama sekali. Ini adalah bentuk yang dilakukan oleh PTPTN dan lain-lain institusi yang melakukannya.

Majlis Penasihat Shariah Dunia di AAOIFI menyebut " It is not permitted to link the charge to the amount withdrawn (given)" ( Shariah Standard, no 10/3/2, hlm 338). Ini adalah kerana peratusan yang dikaitkan dengan jumlah pinjaman ini menyebabkan jumlah kos pengurusan yang pada asalnya adalah sama (kerana menggunakan alatan dan system yang sama), menjadi berubah mengikut jumlah pinjaman yang diberi.
Inilah Riba yang berselindung di balik nama kos pengurusan dan ‘Qardul Hasan' namanya. Bayangkan, jumlah kos sebenar bagi sesuatu pinjaman yang diberikan kemungkinan hanya (sebagai contoh) sebanyak RM 500 bagi setiap transaksi komputer, peguam, cukai stamp dan lain-lain kos sebenar urusan pinjaman atas asas ‘Qardul Hasan'. Dalam keadaaan ini, sepatutnya sesiapa sahaja yang meminjam, tanpa mengira berapa pun jumlah pinjaman mereka maka akan dikenakan satu jumlah kos sebenar pengurusan yang tetap dan tepat iaitu RM 500.
Bagaimanapun, apabila diletakkan satu jumlah peratusan seperti 2 % dan lainnya. Jumlah kos pengurusan tadi sudah pasti akan berubah mengikut jumlah pinjaman yang diberi, tatkala itu kos pengurusan tidak lagi menjadi kos pengurusan tetapi menjadi kos faedah dan riba yang dikenakan bagi setiap sen duit atau wang yang dipinjamkan.

Akhirnya, mesej yang ingin saya sampaikan dari tulisan kali ini tidak lain adalah untuk memastikan nama ‘Qardul Hasan' dan fatwa oleh ulama sedunia berkenaan keharusan kos pengurusan atas pinjaman tidak di salahkan gunakan atau di salah fahami. 
Yang Sudah Berlalu & Alternatif
Bagi yang sudah terlepas. Wallahu ‘alam, mungkin anda boleh di anggap dalam situasi 'hajiat' ( keperluan yang agak mendesak bagi mencapai fardhu ‘ain dan Kifayah iaitu belajar) jika sememangnya tiada bantuan kewangan lain yang boleh diperolehi di ketika anda memohon. Wallahu a'lam.

Allah SWT telah menyebut dgn jelas ertinya : " Allah tidak membebankan seseorang perkara yang tidak tidak dimampuinya"

Bilamana seseorang tiada jalan lain lagi yang boleh di perolehi untuk mendapatkan bantuan kewangan pelajarannya, cuma PTPTN saja yang layak (pinjaman PTPTN pula pula dibuat secara Riba), atau bagi sesiapa yang telah terlanjur terlibat dengan Riba ini, tidak banyak yang boleh saya nasihatkan kecuali bertawbat kepada Allah atas ketidakmampuan mengelak itu dan berdoa agar anda tidak di bebankan dengan dosa ini dengan hati yang tidak redha. 
Mungkin ia boleh diqiyaskan kepada kisah sahabat yang mengucapkan kalimah kufur kerana terpaksa tetapi hatinya sentiasa beriman kepada Allah dan tidak redha dengan kalimah yang terpaksa di ucapkan itu. Bagaimanapun sahabat nabi tadi diancam dengan bunuh, manakala peminjam PTPTN diancam dengan tertutup peluang belajar ?. Adakah sama ?. Tidak juga, kerana belajar ilmu boleh didapati dalam pelbagai cara termasuk yang percuma seperti di web saya ini. Ringkasnya, memang sukar sebenarnya untuk mangangkat tangan mengatakan "saya dharurat ustaz" atau 'saya amat terdesak'  sehingga terlibat. Lebih membimbangkan ada ura-ura untuk mewajibkan ibu bapa menjadi penjamin kepada pinjaman PTPTN  si anak. Ini bermakna ibu bapa juga akan termasuk dalam kumpulan yang terlibat dengan riba dengan jaminannya. 
Apapun, jika terlibat juga ia bukanlah dosa 100 % terhasil dari diri anda, tetapi pengurusan berwajib yang lebih besar tanggungannya di sisi Allah SWT.

Bagaimanapun, inisiatif pengurusan PTPTN untuk mengubah cara pemberian bantuan yang selari dengan kehendak Islam dan bertepatan dengan agenda kerajaan "ISLAM HADARI" , boleh di puji, ia pasti dilihat oleh ALLAH swt sebagai satu azam kepada kebaikan. Cuma kita mengharapkan ia lebih dari azam lalu menjadi realiti. wallahu alam.
Saya amat memahami bahawa biasiswa dan zakat pula mungkin amat sukar untuk diperolehi. Apapun, sepatutnya di usahakan terlebih bantuan lain dahulu sebelum mengangkat tangan 'mengalah' dan mengambil yang riba. Bagi saya, adalah lebih baik bagi pelajar yang belajar di dalam Malaysia untuk membuat pinjaman tanpa faedah dengan ibu bapa atau adik beradiknya ( jika mereka orang mampu) dari membuat pinjaman PTPTN yang mengenakan % tertentu sebagaia 'kos perkhidmatan' kecuali jika anda belajar di luar negara yang kosnya terlalu tinggi.
Selain itu, ada beberapa buah bank Islam ada menawarkan pembiayaan pendidikan yang distruktur secara bai Inah. Adalah lebih baik untuk mendapatkan perkhidmatan ini dari terjebak dalam RIba walaupun mungkin kosnya lebih tinggi.
Saya juga ingin mencadangkan agar anda membuat surat memohon agar dihapuskan pembayaran 3 % itu kepada pihak PTPTN, sekiranya mereka luluskan. Alhamadulillah, sekiranya mereka tidak meluluskan, maka tanggung jawab yang sudah terlepas menggunakannya telah dikira terlepas.
Bagaimanapun, jika anda gagal mendapatkan rebate dari PTPTN, maka hutang tersebut masih wajib dibayar penuh menurut undang-undang Malaysia. Saya hanya mampu mencadangkan agar rayuan pelepasan dibuat sahaja. Lebih elok jika rayuan dibuat sambil menampilkan prestasi cemerlang di universiti, mungkin ada peluang untuk mendapat pelepasan sebagaimana jenis 'pinjaman boleh ubah', yang mana kos tamabahan itu boleh dihapuskan apabila pelajar mendapat skor tinggi. 
Jika benar PTPTN ada menyediakan ruang bagi mereka yang skor untuk dihapuskan kso perkhidmatan riba itu. maka menajdi WAJIB bagi pelajar untuk meraih skor itu, tidak bersungguh bagi mendapatkannya akan dikira sebagai berdosa. Kerana ada peluang untuk elak , tetapi bermalasan untuk mencapainya. Selamat belajar dalam berkat Allah......

Sekian
UZAR

Isnin, 26 Mac 2012

Bayangan Kita Hilang?




 

Hari ini [26 Mac 2012], seandainya kita berada di kawasan lapang, akan didapati bayang-bayang kita hilang dalam tempoh 2 hingga 5 minit, maka janganlah terkejut. Fenomena ini dinamakan Fenomena Ekuinoks atau boleh dikatakan sebagai keadaan dimana matahari di atas kepala tanpa bayang dilaporkan akan berlaku di Malaysia esok. Berdiri di bawah matahari tanpa bayang-bayang. Subhanallah… besar sungguh kekuasaan Allah SWT.
.
Ekuinoks apabila Matahari melintasi tepat garisan Khatulistiwa ketika ia bergerak dari Hemisfera Selatan ke Hemisfera Utara Bumi. Kejadian ini berlaku setiap Mac dan matahari juga akan melintasi Khatulistiwa dari Hemisfera Utara ke Hemisfera Selatan Bumi setiap September pula.
Sumber : 25 Mac 2012
Bayang lesap: Kejadian matahari atas kepala tanpa bayang landa Malaysia esok, cetus situasi pelik namun bukan dianggap fenomena astronomi

AWAL bulan lalu, fenomena dunia tanpa bayang dilaporkan berlaku di Bogor dan Jakarta, Indonesia. Dalam kejadian itu, tepat jam 12 tengah hari bagi tempoh dua hingga lima minit, orang ramai tidak dapat melihat bayang-bayang sendiri di bawah sinar matahari kerana ia berada tepat atas kepala.

Fenomena itu mendapat liputan kebanyakan akhbar di republik berkenaan dan beberapa negara Asia termasuk Malaysia. Banyak persoalan ditimbulkan hasil liputan berkenaan dan ramai yang ingin mengetahui mengenai fenomena yang jarang didengari itu.
RONA minggu ini mendapatkan penjelasan daripada Agensi Angkasa Negara (ANGKASA) mengenai fenomena dunia tanpa bayang bagi merungkai kejadian itu dari pandangan astronomi.
Ketua Unit Strategik dan Hal Ehwal Antarabangsa ANGKASA, Mohd Zamri Shah Mastor berkata, fenomena tanpa bayang sebenarnya berlaku setiap hari sepanjang tahun dan ia bukannya satu kejadian yang luar biasa atau pelik.

Mohd Zamri berkata, kejadian itu tidak dianggap sebagai fenomena astronomi, namun ia fenomena yang disukai dan sangat dekat dengan orang ramai.

“Fenomena hari tanpa bayang dianggap menarik apabila ia berlaku ketika matahari melintasi garisan khatulistiwa seperti yang berlaku di Bogor Jawa Barat, Indonesia baru-baru ini. Selain itu, fenomena ini juga turut dianggap istimewa ketika matahari melintasi garisan Sartan di Hemisfera Utara dan garisan Jadi di Hemisfera Selatan bumi,” katanya.

Menjelas lanjut, Mohd Zamri berkata, kejadian itu adalah fenomena yang biasa berlaku iaitu sebanyak dua kali setiap tahun pada suatu garis lintang tertentu di antara garisan Sartan dan garisan Jadi. Ini kerana pada ketika itu, matahari berada tepat di atas garisan lintang berkenaan.
“Malaysia akan turut mengalami fenomena hari tanpa bayang tepat waktu tengahari di beberapa tempat mengikut kedudukan garisan-garisan lintang tertentu yang melintasi negara bermula esok hingga Khamis ini. Ia akan berulang berlaku semula pada 28 September hingga 2 Oktober depan,” katanya.

Mohd Zamri menjelaskan fenomena itu juga dikenali sebagai peristiwa Ekuinoks apabila Matahari melintasi tepat garisan Khatulistiwa ketika ia bergerak dari Hemisfera Selatan ke Hemisfera Utara Bumi. Kejadian ini berlaku setiap Mac dan matahari juga akan melintasi Khatulistiwa dari Hemisfera Utara ke Hemisfera Selatan Bumi setiap September pula.

"Tiada yang istimewa pada hari berkenaan selain matahari berada tepat di atas kepala pada waktu tengahari. Ini menyebabkan kita tidak nampak bayang-bayang kita jika berdiri di tengah panas." katanya.

Fenomena berkenaan juga berlaku setiap hari tetapi di lokasi berbeza mengikut garis lintang kedudukan pergerakan matahari. Ini bermakna setiap negara yang berada di antara garisan Sartan dan Jadi, termasuk Khatulistiwa, akan merasai fenomena berkenaan.

Fenomena berkenaan juga berlaku dalam tempoh yang singkat iaitu dua hingga lima minit serta tidak memberi kesan langsung kepada penduduk bumi seperti kejadian gerhana bulan dan matahari.

Ahli falak Islam yang masyhur, Imam al-Khawarizmi dan ahli sains Isaac Newton berpendapat, setiap dua jisim yang berdekatan mewujudkan kesan tarik menarik antara satu sama lain, sama ada kuat atau lemah tarikan itu. Disebabkan ketika berlakunya gerhana matahari, bulan berada hampir dengan bumi, pastinya akan berlaku tarikan kuat dari bulan terhadap bumi yang mengakibatkan berlakunya perubahan paras air laut dan mungkin angin yang memberi kesan kepada cuaca.

Gerhana bulan dan matahari juga boleh membawa perubahan kepada tumbuh-tumbuhan, tanam-tanaman dan benda hidup di dunia ini. Contohnya, jika berlaku gerhana matahari di mana waktu siang tiba-tiba bertukar menjadi gelap seperti malam, mungkin haiwan seperti burung akan keliru dan menyebabkan ia terbang pulang ke sarang atau tidak berhaluan.

Berbeza dengan kedua-dua gerhana berkenaan, fenomena tanpa bayang hanya kejadian tiada bayang kelihatan pada tepat waktu tengahari di sesuatu tempat ketika matahari melintasi garisan lintang kawasan berkenaan. Selepas daripada tarikh itu, bayangan mereka akan kelihatan semula jika dilihat di atas tanah pada tepat waktu tengahari kerana kedudukan matahari yang semakin beralih ke garis lintang sama ada arah utara atau pun mungkin arah selatan.

Semua bandar di dunia yang berada di antara garisan lintang 23.5 darjah Utara (garisan Sartan) dan garisan lintang 23.5 darjah Selatan (garisan Jadi) akan mengalami keadaan itu dan dalam tempoh setahun, hemisfera selatan terlebih dulu mengalaminya seperti di Australia pada bulan Disember hingga Januari.

Sebelum ini, tempat popular yang menjadi tumpuan ialah bandar Pontianak, Kalimantan Barat, kerana kedudukannya betul-betul di garisan Khatulistiwa. Bandar itu akan mengalami fenomena itu dua kali setiap tahun iaitu pada setiap 21 Mac dan 23 September.

Fenomena sama yang berlaku di Makkah pada 28 Mei dan 15 Julai setiap tahun, dimanfaatkan oleh umat Islam di seluruh dunia untuk membetulkan arah kiblat masing-masing berdasarkan kepada unjuran arah bayang matahari di kawasan setempat masing-masing pada waktu itu akan menghala Makkah.

Translate This Page