Hari ini merupakan hari pertama
perjalanan aku ke Tanah Besar China. Pelbagai perasaan datang ketika ini. Aku
ke Beijing atas keperluan kursus Bengkel Teater Tradisional 2. Pelajar yang
mengambil kursus tersebut mempelajari tentang Opera China. Aku ke Beijing
bersama 10 orang rakan kelas, seorang pensyarah dan Ketua Jabatan Drama Pusat
Kebudayaan.
Ramai
antara rakan-rakan yang akan ke Beijing mula mengemas pakaian dan barang-barang
mereka bermula dari malam hari. Aku seperti biasa tidak dapat mula mengemas
kerana aku tiada perancangan untuk membawa baju apa. Aku mula mengemas dari
pukul 10:30 pagi hari ini. Selesai mengemas, aku meminta tolong rakan bilik
untuk menghantar aku ke Dewan Tunku Canselor (DTC).
Kami
mula berkumpul di Dataran DTC dari jam 1 petang. Kami berkumpul di sana kerana
memudahkan staf Pusat Kebudayaan menghnatar kami ke KL Sentral. Seorang dari
kami terus bergerak dari KL Sentral dan seorang dari kami terus ke Lapangan
Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA2). Kami mengalami sedikit kelewatan
bergerak dari Universiti Malaya (UM) atas faktor kelewatan salah seorang dari
kami.
Kami
bergerak dari UM ke KL Sentral hampir jam 3 petang. Dari KL Sentral, kami
mengambil bas untuk ke KLIA2. Harganya RM 10. Sampai saja di KLIA2, kami
menunggu seorang lagi rakan kami dan terus Check-In penerbangan kami.
Selepas itu kami pergi makan sementara menunggu masa berlepas iaitu jam 7
petang. Setelah semuanya selesai, dan masanya telah tiba. Kami mula berangkat
ke dalam kapal terbang. Penerbangan ke Beijing mengalami sedikit kelewatan
kerana terdapat penumpang yang check-in saat akhir.
Setelah
berada di ruangan udara, pramugara dan pramugari mula menghantar makanan yang
dipesan secara online. Selepas itu barulah boleh memesan makan secara
terus. Ketika memesan makanan, kami ada berborak secara kuat. Paling diingat,
ketika kapal terbang sedikit bergoyang kerana melanggar angin yang kuat, kami
memberitahu rakan yang berada di seberang tempat duduk kami bahawa kapal
terbang sedang lalu di jalan yang berlubang. Rakan kami tidak dapat mendengar
secara jelas. Secara tiba-tiba, seorang pramugara tersebut menyebut, “iya,
jalan berlubang”, ketawa kami. Sekali lagi kejadian itu berlaku, kami
memberitahu sekali lagi kepada rakan kami itu, pramugara itu sekali lagi berkata,
“Kapal terbang lalu jalan lama nak elak tol, sebab itu jalan tak elok”, pecah
perut ketawa. Setelah kenyang, mata mulai kuyu. Tidur.
0 analysis:
Catat Ulasan