Selasa, 6 Mac 2018

KL SPECIAL FORCE Memacu Lagi Industri Malaysia

  
5 Mac, Petaling Jaya - Setelah  menempa kejayaan paling membanggakan dengan kutipan filem tertinggi pada tahun 2017,  Abang Long Fadil 2 yang meraih kutipan sebanyak RM18 juta, Syafiq Yusof terus mengorak langkah dalam penghasilan filem aksi drama ; KL Special Force. Sebuah naskah kepolisan yang bakal menemui penonton pada 8 Mac ini di seluruh pawagam. Filem KL Special Force telah menjalani penggambaran pada tahun 2016, telah menelan belanja sebanyak RM 4 juta terbitan SKop Productions Sdn Bhd, Damofa Productions dan Viper Studios. Manakala Astro Shaw telah dilantik memasarkan filem ini.

Antara pelakon yang membintangi adalah Dato’ Rosyam Nor, Syamsul Yusof, Fattah Amin, Tania Hudson, Sabrina Ali, Putri Balqis, Mahmud Ali Basyah, Shaharuddin Tambi, Esma Denial, Liza Abdulah, Ramona Zamzam, Rafiq Salimin, Mustaqim Bahadon, Josiah Hogan, Siraj Alzakap dan Ruzzlan Abdullah Shah.

Umum mengetahui empayar milik ayahnya sendiri Datuk Yusof Haslam telah sebati dengan genre yang menjurus kepada cerita polis, berawal dengan siri Remang-Remang Kotaraya (1985), Roda-Roda Kotaraya, Gerak Khas sehinggalah ke drama bersiri My Darling, Inspektor Daniel, perihal suka-duka anggota polis di Malaysia sering menjadi topik penceritaan mereka. Menurut pengarah muda yang pernah memenangi Pengarah Harapan Festival Filem Malaysia ke-25 (FFM25) melalui filem SAM ini, tujuan filem ini dibuat adalah untuk variasikan jenis filem yang dihasilkan oleh Skop Productions sendiri. Filem Gerak Khas, KL Gangster, KL Drift, Mat Moto, Munafik mempunyai pengikut yang tersendiri, dan kini kembali kepada semula kepada kisah kepolisan. “Idea ini terhasil apabila, saya hendak buat cerita polis yang lebih serius, tiada elemen komedi dan membariskan pelakon yang boleh membawa watak yang mencabar. Dari itu lahirnya idea untuk menghasilkan filem KL Special Force.

Apabila berbicara tentang pemilihan senarai pelakon, menurutnya lagi pemilihan dibuat dari mula skrip dibuat agar sesuai dengan karektor yang diberikan, “sebagai contoh dalam filem ini ada watak polis junior dan senior. Pemilihan Fattah dibuat kerana ini adalah filem pertama dan saya tahu dia mampu membawa watak serius. Tidak boleh di pertikaikan lagi pemilihan Dato’ Rosyam Nor, kredibiliti lakonan dan pengalaman beliau dalam filem aksi sebegini. Filem ini telah mengambil masa lebih 70 hari proses penggambaran.  Untuk rekod filem arahan Syafiq sebelum ini adalah SAM, Syafiq pernah menghasilkan filem Desolasi, Abang Long Fadil, Abang Long Fadil 2, Villa Nabila dan Mat Moto (pengarah bersama dengan Pekin Ibrahim).

Filem-filem Skop Productions sering meraih kutipan pecah panggung, namun begitu buat Syafiq apabila berbicara mengenai kutipan filem, “saya berserah kepada rezeki setelah segala usaha untuk menghasilkan filem KL Special Force, kami tenaga produksi telah melakukan yang terbaik dan berharap ia diterima ramai”.

Menarik tentang filem KL Special Force ini juga, hampir keseluruhan babak lagak ngeri dilakukan oleh para pelakon sendiri tanpa menggunakan pelakon stunt. Kita akan dapat lihat penampilan pertama Fattah Amin di layar perak melakonkan babak aksi, lari dari watak romantik yang pernah dibawakan dalam drama. Dato’ Rosyam Nor sendiri sebagai teraju utama tidak dapat disangkal lagi, faktor usia bukanlah penghalang untuknya beraksi malah tenaga yang dibawa melebihi pelakon-pelakon muda yang lain. Gandingan pertama kali trio Rosyam, Syamsul dan Fattah ini dijangka mampu mencetuskan evolusi baharu dalam filem aksi di Malaysia.

Bagi Datuk Yusof Haslam, harapannya tetap satu, mahu filem ini dapat diterima ramai seperti filem-filem terbitan Skop Productions yang lain. Begitu juga buat Syafiq mengharapkan peminat filem melayu dapat  menyokong filem tempatan dengan membawa keluarga dan rakan-rakan mononton di 137 pawagam di Malaysia, Singapura dan Brunei.
  
SELAMAT TINGGAL MASA merupakan tajuk OST lagu bagi filem KL Special Force, menampilkan Syamsul Yusof dan Black Hanifah sebagai penyanyi utama. Syamsul juga bertindak sebagai komposer dan menulis lirik bersama Dr. Anwar Fazal.

Sinopsis:

Filem ini mengisahkan tentang sekumpulan unit khas PDRM diketuai oleh Roslan yang berusaha untuk menjatuhkan sekumpulan perompak yang diketuai oleh Asyraff. Kumpulan perompak yang dikenali sebagai "Geng Anarkis" melaksanakan pelan rompakan dengan begitu licik dan pelbagai taktik untuk mengelirukan pihak polis. Seorang anggota polis muda bernama Zul yang berjiwa besar diserapkan dalam unit khas PDRM untuk membantu Roslan menyelesaikan kes berkenaan, tetapi situasi menjadi bertambah rumit apabila ketua perompak iaitu Asyraff mula memanipulasi perasaan, minda dan syakwasangka di antara Roslan dan Zul. Taktik Asyraff menimbulkan stigma dan pergolakan diantara anggota di dalam unit khas tersebut. Dalam pada masa yang sama, Roslan mengalami masalah keseimbangan masa untuk kerja dan keluarga dan sering bertengkar dengan isterinya yang bernama Diana. Zul juga mempunyai masalah yang sama dengan tunangnya Mia yang merupakan anak kepada Pengerusi Bank Damofa iaitu Dato’ Mior. Sebuah rahsia bakal terbongkar apabila Geng Anarkis hanya merompak bank kepunyaan Dato’ Mior. Apakah rahsia tersebut? Bagaimanakah pihak polis mahu menumpaskan Geng Anarkis? Segalanya bakal terjawab dalam filem penuh aksi "KL SPECIAL FORCE".

Nota Produksi

Tajuk : KL Special Force
Genre : Aksi Drama
Pengarah : Syafiq Yusof
Terbitan : Skop Productions, Damofa Productions & Viper Studios
Bahasa : Bahasa Malaysia
Klasifikasi : P13
Durasi : 104 minit

Barisan Pelakon

Rosyam Nor : Lan
Fattah Amin : Zul
Syamsul Yusof : Asraff
Sabrina Ali : Diana
Puteri Balqis : Amira
Tania Hudson : Mia
Mahmud Ali Basha : Dato’ Meor
Shaharuddin Tambi : Supt Azmi
Esma Daniel : Insp Zamri
Roslan Abdullah : Kelvin
Muhammad Siraj Alzakap : Raj
Josiah Hogan : Bakar
Ramona Zamzam : Ned
Mohd Razib Salimin : Azman
Mustaqim Bahadon : Rizal
Liza Abdullah : Ibu

Tunggak Utama

Penerbit : Datuk Yusof Haslam
Penerbit Bersama : Datuk Wira Fadino, Syafiq Yusof
Pengarah : Syafiq Yusof
Skrip : Syafiq Yusof
Penolong Pengarah : Sheikh Muhamed Rafi Sheikh Abdul Kader
Pengurus Produksi : Isma Riza Muhammad Fuad
Pengarah Fotografi : Azami Alias
Penyunting Filem : Akash
Penata Seni : Mukhsal Mina Ismail
Kesan Khas Visual : Viper Studios
Penata Busana : Noraini Ahmad
Penata Rias : Noraini Ahmad
Skor Muzik : Imaginex Studios

#KLSF #KLSpecialForce #ConfirmLIT

0 analysis:

Catat Ulasan

Translate This Page