Sabtu, 20 Disember 2014

[BERITA] Rencah unik Perempuan Politikus Melayu

Sebahagian daripada pelajar Jabatan Drama UM yang membintangi teater PPM semangat untuk pementasan unik tersebut.

Sumber : KOSMO - 20 Disember 2014

JIKA menyebut perkataan teater, pastinya pemikiran dan pemahaman orang ramai menjurus kepada satu persembahan dalam sebuah panggung dan para penonton pula hanya terpaku di tempat duduk masing-masing menyaksikan pementasan di depan mata.

Namun, lain pula yang dibawa oleh teater Perempuan Politikus Melayu (PPM) anjuran Jabatan Drama, Pusat Kebudayaan Universiti Malaya (PKUM) apabila tampil mengetengahkan konsep unik iaitu ‘journey theater’.

Memilih untuk menjalankan pementasan di sebuah banglo bernama Rumah Kediaman Universiti Malaya dan bukannya dalam panggung seperti kebiasaaan, PPM tampil berani menyajikan satu persembahan unik dengan memberi peluang kepada penonton untuk memilih sendiri babak manakah yang mahu mereka tonton.

“Pementasan teater ini mengambil pendekatan konsep journey theater kerana pertamanya, kami tidak melakukan pementasan dalam panggung. Para penonton yang hadir pada malam persembahan, akan dibawa menaiki bas pergi ke lokasi rumah banglo yang terletak di luar pintu pagar utama Universiti Malaya.

“Kedua, teater ini menampilkan 18 babak yang menampilkan kelainan. Antaranya, dalam beberapa babak yang terpilih melibatkan penonton untuk turut sama-sama naik ke pentas. Sekali gus ia memberi tanggapan berbeza kepada penonton yang selama ini selalu disajikan dengan persembahan teater yang biasa.

“Ketiga pula, sepanjang pementasan teater ini berjalan, ia menampilkan keunikan dengan memaparkan tujuh lokasi berbeza dalam ruang rumah banglo tersebut. Namun, setiap babak berkenaan berjalan serentak dan akan mengambil masa selama 10 minit untuk dipersembahkan. Pada ketika itulah penonton diberi peluang memilih untuk menonton babak yang mana mereka mahu.

“Malah pada penghujung persembahan, terdapat satu forum teater yang berkonsepkan babak muzikal. Dalam babak itu, para penonton akan diberi satu petunjuk dan mereka diberi peluang untuk menentukan siapakah pembunuh sebenar kepada Jenny (watak pelacur kelas atasan dalam PPM). Dari situ, segala pendapat dan pandangan daripada audien akan diambil kira bagi menentukan siapa dalang sebenar kepada segala konflik yang tercetus dalam naskhah ini.

“Maka apa yang boleh disimpulkan, teater ini tiada pengarah. Pengarahnya terdiri daripada penonton yang hadir. Merekalah yang menentukan jalan cerita dan mereka jugalah yang memberi peranan kepada perjalanan kisah teater ini. Ini sekali gus merupakan satu cara atau kajian buat kami warga pendidik dan pelajar bagi memanipulasi perkara itu ke dalam persembahan akan datang,” jelas pengarah artistik PPM, Dr. Rosdeen Suboh.

Projek yang melibatkan gabungan pelajar Jabatan Drama Universiti Malaya dengan pelajar kursus Lakon Skrin dari UiTM Shah Alam itu dipentaskan pada tarikh 19, 20 dan 21 Disember ini dari pukul 8.30 hingga 10.30 malam.

Menyingkap dengan lebih luas mengenai keunikan pementasan teater diadaptasi daripada karya idealisitik Faisal Tehrani yang berjudul sama itu, bicara Rosdeen yang juga merupakan Ketua Jabatan Drama PKUM, PPM merupakan teater yang cukup rencah, cukup rasa dengan menyentuh nilai-nilai kemasyarakatan sekeliling.

“Jika dinilai daripada pandangan yang tinggi, sebenarnya keunikan teater ini juga terdapat pada tajuknya. Perempuan, politikus dan Melayu. Terdapat tiga perkataan di situ yang membawa pengertian berbeza untuk dimengertikan," bicaranya lanjut.

Perempuan Politikus Melayu merupakan karya terawal hasil nukilan Faisal Tehrani yang dikeluarkan pada tahun 1994. Ia mengisahkan pelbagai konflik yang berlaku dalam dunia sekeliling antaranya kisah rampasan tanah penduduk kampung oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, tragedi pembunuhan dan konflik keluarga.

Teater tersebut turut mendapat sentuhan daripada tiga individu berpengaruh dalam dunia pementasan teater iaitu pelakon Amar Ashraf, Megat Shahrizal dan Mardiana Ismail.

0 analysis:

Catat Ulasan

Translate This Page