Sabtu, 13 Disember 2014

[BERITA] Teater unik Perempuan Politikus Melayu libatkan penonton dalam adegan

Barisan pelakon yang menjayakan teater Perempuan Politikus Melayu sedang giat menjalani latihan.

Sumber : ASTRO AWANI - 13 Disember 2014

KUALA LUMPUR: Bayangkan anda meletakkan diri sebagai penonton teater, tetapi anda mempunyai kelebihan untuk memilih sendiri adegan yang mahu ditonton mengikut waktu dan tempat berbeza di lokasi pementasan.

Itulah kelainan yang mahu ditonjolkan dalam pementasan teater “Perempuan Politikus Melayu” anjuran Jabatan Drama, Pusat Kebudayaan Universiti Malaya (UM).

Projek yang dijayakan barisan pelajar jurusan teater di Pusat Kebudayaan UM dengan konsep journey theater itu mahu membawa penonton lebih dekat dengan jalan cerita, malah terdapat adegan yang memerlukan penonton untuk turut serta dalam sesebuah adegan.

Idea kreatif dan menarik berkenaan dicetuskan oleh pengarah artistik iaitu Dr Rosdeen Suboh dibantu oleh tiga orang pengarah persembahan iaitu Amar Asyraf, Mardiana Ismail dan Megat Shahrizal.

"Penonton akan memilih untuk menyaksikan 18 adegan yang berlaku serentak di tujuh lokasi berbeza. Dengan mengambil latar pementasan di sebuah kediaman banglo, adegan-adegan tersebut akan berlangsung di beberapa lokasi seperti di dalam bilik di rumah berkenaan, halaman, pintu pagar mahupun di sebuah warung berdekatan," kata Rosdeen.

Menurutnya, setiap adegan berlangsung selama 10 minit dan akan dilakonkan secara berulang-ulang mengikut sela masa tertentu.
Para pelakon bersama pengarah giat menjalani latihan untuk menjayakan teater Perempuan Politikus Melayu yang bakal dipentaskan pada 19-21 Disember ini.
Teater “Perempuan Politikus Melayu” merupakan adaptasi daripada novel karya Faisal Tehrani dengan tajuk yang sama.

Ia mengisahkan permasalahan yang berlaku sekitar dunia politik seperti isu rampasan tanah, konflik keluarga, pembunuhan dan beberapa insiden lain yang menambah rencah pada jalan cerita.

Penonton bakal mengenali watak Irfan iaitu seorang wartawan akhbar yang mahu menulis sebuah buku yang menyentuh tentang ahli-ahli politik yang korup dari segi kuasa dan tindakan mereka yang memanipulasi manusia.

Untuk merealisasikan hasratnya itu, Irfan meminta bantuan sahabat baiknya, Chai Yin, untuk memujuk Jenny, seorang pelacur kelas atasan para politikus untuk menjadi model dan ilham kepada karyanya.

Pada masa yang sama di sebuah kampung, kekacauan tercetus apabila hak milik tanah penduduk kampung dirampas secara paksa dan diberi pampasan yang tidak setimpal oleh syarikat milik Datuk Zuri, seorang ahli politik yang berpengaruh.

Konflik tercetus selepas sebuah kes pembunuhan terjadi di tengah-tengah kesulitan pembongkaran isu tersebut dan persoalan demi persoalan yang timbul nanti membuatkan penonton teater ini terdesak untuk mengetahui jawapannya di pengakhiran cerita.

"Pada penghujung pementasan, penonton akan dibawa ke satu acara penutup untuk memberi idea dan pendapat mereka tentang siapa yang mereka percaya telah melakukan pembunuhan tersebut," ujar Rosdeen yang menambah, adegan terakhir berdasarkan kata putus penonton itu akan dipentaskan sebagai penutup kisah.

Tambahnya, jika diikutkan tempoh pementasan dari jam 8.30 malam hingga 10.30 malam, penonton hanya akan dapat menyaksikan sebanyak 10 adegan. Baki lapan adegan pula jika penonton mahu menyaksikannya juga, perlu datang kembali pada hari pementasan berikutnya.

"Kami memulangkan hak tontonan, tafsiran dan penentuan adegan penutup kepada penonton. Itulah cara kami mmbawa kelainan dan mendekatkan penonton ke dalam keseluruhan pementasan teater ini," ujar Rosdeen.
Rumah banglo ini bakal menjadi lokasi pementasan teater Perempuan Politikus Melayu.
Teater “Perempuan Politikus Melayu” akan dipentaskan pada 19, 20 dan 21 Disember ini pada jam 7.30 hingga 11 malam di Dewan Tuanku Canselor Universiti Malaya.

Harga tiket untuk menyaksikan teater tersebut ialah RM5 (pelajar) dan RM10 (orang awam).

0 analysis:

Catat Ulasan

Translate This Page