Ahad, 19 Oktober 2014

[BERITA] Bengkel Teater MAKUM 2014


Bengkel Festival Teater Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) 2014 telah diadakan pada 11 hingga 15 Ogos 2014 yang lalu. Bengkel ini dianjurkan oleh Seksyen Kesenian & Kreatif Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) Universiti Malaya dengan kerjasama MAKUM. Bengkel ini diadakan di sekitar Dewan Perdana 1, Gazebo dan sekitar Kompleks Perdanasiswa Universiti Malaya.

Sebanyak 13 IPTA telah menghantar penyertaan. Jumlah keseluruhan peserta seramai 36 orang yang terdiri dari UiTM, UUM, USIM, UPNM, UMK, UTHM, UMT, UPSI, UKM, UMP, UNISZA dan UM. Semasa bengkel ini, peserta didedahkan dengan Teknik Asas Lakon, Pemilihan Skrip, Olah Tubuh, Latihan Vokal, Watak & Perwatakan, Psikologi Watak dan pelbagai lagi ilmu yang berkaitan teater.

Tenaga pengajar yang diundang khas ialah Encik Ismail Kassan dan Encik Lokman Ghani selain dibantu oleh Encik Mohd Rashid. Selain itu, bengkel ini turut diuruskan oleh empat orang sekretariat pelajar yang terdiri daripada tiga orang pelajar Universiti Malaya dan seorang pelajar praktikal dari UTHM.

Bengkel Festival Teater MAKUM ini ditutup dengan Majlis Penutup yang dirasmikan oleh TBhg Prof Datuk Dr Rohana Yusof, Timbalan Naib Canselor HEPA Universiti Malaya. Dalam ucapan perasmiannya, beliau berharap bengkel ini dapat disemarakkan sebagai satu aktiviti  warga kampus agar dapat melahirkan mahasiswa/i yang celik seni kerana minat dan kecenderungan terhadap kesenian adalah sesuatu yang naluriah. Sambung beliau lagi, dengan adanya bengkel seperti ini, semua warga IPT khususnya para peserta dan pihak MAKUM mempunyai kefahaman, tanggapan dan memberi sambutan positif terhadap kegiatan teater dan drama sebagai satu kegiatan ilmu dan riadah yang melahirkan budaya dan perdaban bangsa yang bertamadun, berilmu dan berdaulat.

Disediakan oleh : Muhammad Adli Bin Badrudin

Translate This Page