Jumaat, 24 Oktober 2014

Wakil PMUM dituduh cemar imej universiti



KUALA LUMPUR - Universiti Malaya (UM) semalam, mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Fahmi Zainol yang mendakwa mewakili Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya (PMUM) atas cubaan mencemarkan imej universiti.

Beliau yang juga Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM tetap berdegil meneruskan program 'Anwar Ibrahim : 40 tahun, dari UM ke penjara' walaupun dilarang berbuat demikian, diberi tempoh sehingga hari ini untuk menjawab surat berkenaan.

Bergerak secara haram
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) UM, Prof Datuk Dr Rohana Yusof, berkata penganjur mendakwa program itu adalah anjuran PMUM yang tidak pernah berdaftar dengan pihak universiti, sekali gus menunjukkan persatuan itu bergerak secara haram.

Katanya, tidak ada mana-mana pihak, termasuk PMUM atau MPP memohon kebenaran untuk menganjurkan program berkenaan.

"Kami tidak pernah membenarkan program seumpama itu dijalankan di UM. Sekiranya, Fahmi ingkar, dia boleh digantung pengajian selama satu hingga dua semester selain didenda RM200.

Mahasiswa yang menyertai program berkenaan juga berdepan dengan tindakan tatatertib," katanya ketika dihubungi, semalam.

PMUM akan menganjurkan program bersama Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dijadualkan pada 9 malam di Dataran Dewan Tunku Canselor UM, sehari sebelum rayuan akhir kes liwat didengar di Mahkamah Persekutuan pada 28 dan 29 Oktober ini.

Pihak universiti kecewa
Rohana berkata, pihak universiti kecewa kerana Fahmi ingkar untuk membatalkan program walaupun pernah bersetuju untuk berbuat demikian selepas dipanggil oleh pihaknya.

"UM tidak akan sesekali membenarkan atau menyokong program seumpama itu kerana ia bertentangan dengan peraturan universiti. Ia bukan saja boleh merosakkan imej, malah menyebabkan universiti dipandang serong," katanya. 

Sumber :-

Translate This Page