Selasa, 26 Julai 2016

[PUISI] Ikatan Lutsinar

Ikatan Lutsinar

Letih meneroka membebani tubuh
Mencari secebis not not bercorak berwarna
Dahulunya dipuja membuat diri bahagia
Namun hanya tinggal igauan pemusnah mimpi
Not not pelbagai wajah hilang nilainya
Buat penyelesaian yang tak sudah
Janji manis not not berbentuk serupa
Ibarat hidup menanti maut menjelma

Not not hanya benda semata
Buat hamba yang putih mata
Hamba dunia yang makin tua meniti usia
Usai menerka tubuh mula tidak bermaya
Rebah terpejam melayari nikmat tidak terhingga
Ada yang menghempas empuk
Ramai juga beralas kepingan berwarna coklat
Tidak kurang pula berlapik perihal dunia

Dunia mula berubah tika hanyut dibelai
Menikmati keindahan yang penuh khayal
Jasad ibarat tiada lagi di tempat asalnya
Menerjah alam yang penuh tanda tanya
Sepertinya benar berlaku diri merasa
Terus berlayar meneruskan agenda khayalan minda
Terlupa berfikir ianya petanda atau bohong semata

Burung mula berkicau membuka sayapnya
Ayam juga berkokok memberi tanda
Sang mentari mencurahi cahaya membuka rezeki
Bayu segar menampar suasana sepi
Namun punya tubuh yang masih bermimpi
Indah igauan tidak melepaskan empunya tubuh
Takut mimpi indah tinggal mimpi
Terus pejam sang jasad yang sudah diracun
Racun berbisa memberati hamba
Hamba yang telah diselimuti sang penggoda durjana
Tidak memberi ruang untuk kita bersemuka Yang Maha Esa

Adli Shinichi
12:29 am, 26 Julai 2016
Kuala Lumpur

0 analysis:

Catat Ulasan

Translate This Page