Ahad, 25 Oktober 2015

[BERITA] GUGURNYA KOPIAH PUTIH – TEATER ALTERNATIF DAN PEMBAWAAN TEMA BESAR


Sumber : Daily Seni
by ANAK DAGANG
OCTOBER 24, 2015


Teater yang diberi nama Gugurnya Kopiah Putih bakal dipersembahkan pada 30hb Oktober akan datang di Panggung Eksperimen yang terletak di Universiti Malaya. Teater ini merupakan hasil pemahaman sang pengarah, Syahrul Fithri Musa mengenai apa itu teater alternatif.

Alternatif tidak akan terhasil tanpa kewujudan suatu keadaan atau definisi yang telah diterima pakai oleh kebanyakan orang. Jadi kesinambungan pergelutan di antara keadaan arus perdana dan alternatif itu bakal berlangsung dan terus terhasil tanpa henti. Di waktu ini, teater Gugurnya Kopiah Putih ini adalah sabda para penggiat teater yang membawa citra alternatif.

Jadi apa yang sebenarnya membezakan teater yang dipanggil alternatif ini jika dibandingkan dengan kewujudan teater selama ini? Pertama, dari segi penggunaan prop dan juga para pelakon yang minimal.

Kedua, dari segi penggunaan ruang yang terbatas. Kebanyakan teater alternatif yang telah berlangsung (sebelum ini selalunya diadakan di Stor DBP sebelum tutup untuk di baik pulih) berjaya menggunakan ruang yang terbatas ini dengan sebaik mungkin. Ada sahaja yang tetap menggunakan landasan teater alternatif atas nama prinsip, menjaga kreativiti dan keaslian tema tanpa dicabuli oleh mana-mana pihak yang ingin menggunakannya demi kebaikan yang jarang dipersetujui oleh penggiat teater itu sendiri.

Ketiga, cabaran dan kebebasan untuk membawa tema yang besar. Menariknya di sini adalah bagaimana dengan kurangnya penggunaan prop dan para pelakon, sesuatu tema atau falsafah di sebalik persembahan itu mampu menjangkaui batas-batas yang ada.

Gugurnya Kopiah Putih melibatkan empat pelakon, Anas Ridzuan, Fathi Shafie, Qawiem Hamizan, Aliah Hisamudin, Fazira Malik dan turut juga menampilkan Fazleena & The Lasykar. Persembahan ini mengisahkan tentang Hamas, watak utama yang bergelut dengan emosi baru yang mulai membuak, sebagai anak muda yang membesar di sekolah agama dan berhadapan dengan masalah pertembungan watak-watak yang tidak disenangi olehnya. Dan dari situ juga yang turut jelas terlihat adalah pergelutan moral yang sedikit sebanyak dipengaruhi oleh keadaan beragama.

Hamas

Menurut pendapat saya, salah satu persoalan yang bakal timbul adalah tentang moral dualistik yang wujud pada watak-watak yang ada, apakah keadaan beragama yang wujud pada zaman ini masih boleh menyelamatkan seseorang individu itu daripada tumbangnya pertimbangan moralnya? Adakah agama itu sendiri, pada era moden ini terasing daripada pergelutan moral kita?

Masih wujudkah ruang agama sebagai agama yang menyeluruh, mampu mengelakkan kita daripada terjunam ke lembah ekstremisme yang jelas sekali mulai berkembang sekarang? Apakah pendekatan-pendekatan yang mampu membimbing anak muda, yang berada dalam konfrontasi dengan isu-isu struktural seperti kes buli; tentang konsep kehormatan secara vertikal yang telah memupuk budaya penindasan dan bagaimana ianya memberi ruang kepada bentuk-bentuk eskapisme yang selalunya tidak ke arah positif.

Mungkin ini bukanlah persoalan utama yang bakal dinyatakan, tetapi tetap tidak dapat kita nafikan bahawa persoalan beragama itu sendiri merupakan persoalan yang utama, walaupun di mana pun posisi kita mengenainya.

Teater alternatif ini membawa persoalan yang jarang dipertanyakan oleh kita semua. Ataupun ianya sendiri sudah jelas, tetapi secara sengajanya kita semua mengalihkan sendiri persoalan-persoalan seperti ini. Dengan harapan yang besar, perkembangan teater alternatif, yang bermain dengan kemudahan yang terbatas mampu pada akhirnya mengungkapkan persoalan yang besar. Berani mempersoalkan segala isu yang membelenggu kewujudan kita selama ini.

Segala info mengenai teater ini boleh didapati menerusi laman web Facebooknya.

Event : http://www.facebook.com/events/964314243631026/

Page : http://www.facebook.com/gugurnyakopiahputih2015

0 analysis:

Catat Ulasan

Translate This Page