Jumaat, 29 Julai 2016
[LIRIK] Dia Milik Orang - Harry Khalifah
Selasa, 26 Julai 2016
[PUISI] Ikatan Lutsinar
Ikatan Lutsinar
Letih meneroka membebani tubuh
Mencari secebis not not bercorak berwarna
Dahulunya dipuja membuat diri bahagia
Namun hanya tinggal igauan pemusnah mimpi
Not not pelbagai wajah hilang nilainya
Buat penyelesaian yang tak sudah
Janji manis not not berbentuk serupa
Ibarat hidup menanti maut menjelma
Not not hanya benda semata
Buat hamba yang putih mata
Hamba dunia yang makin tua meniti usia
Usai menerka tubuh mula tidak bermaya
Rebah terpejam melayari nikmat tidak terhingga
Ada yang menghempas empuk
Ramai juga beralas kepingan berwarna coklat
Tidak kurang pula berlapik perihal dunia
Dunia mula berubah tika hanyut dibelai
Menikmati keindahan yang penuh khayal
Jasad ibarat tiada lagi di tempat asalnya
Menerjah alam yang penuh tanda tanya
Sepertinya benar berlaku diri merasa
Terus berlayar meneruskan agenda khayalan minda
Terlupa berfikir ianya petanda atau bohong semata
Burung mula berkicau membuka sayapnya
Ayam juga berkokok memberi tanda
Sang mentari mencurahi cahaya membuka rezeki
Bayu segar menampar suasana sepi
Namun punya tubuh yang masih bermimpi
Indah igauan tidak melepaskan empunya tubuh
Takut mimpi indah tinggal mimpi
Terus pejam sang jasad yang sudah diracun
Racun berbisa memberati hamba
Hamba yang telah diselimuti sang penggoda durjana
Tidak memberi ruang untuk kita bersemuka Yang Maha Esa
Adli Shinichi
12:29 am, 26 Julai 2016
Kuala Lumpur
Ahad, 24 Julai 2016
[PUISI] Bukan Mainan
Bukan Mainan
Dia mampu berubah
Boleh juga merubah
Dia kadang kala indah
Kadang kala ngeri
Semua tindakannya boleh mempengaruhi
Dia tidak bermain
Dia datang tidak diundang mahupun dijemput
Dikala keletihan dia menghantui mungkin
Dikala kekenyangan dia menjelma membelai
Dia wujud tanpa dirangka
Dia datang ketika rindu
Tika duka mahupun suka
Kestabilan kimia dalam otak adalah puncanya
Kadang susah diingat saat mata dibuka
Kadang melekat menghantui memori
Dia bukan mainan
Dialah Sang Mimpi
Adli Shinichi
9:44 am, 24 Julai 2016
Damansara Perdana
Khamis, 21 Julai 2016
[PUISI] Sakit Kepenatan
Sakit Kepenatan
Cairan jernih mengalir lagi
Penat dengan diri
Sakit disimpan berduri
Tiada tahu dek pemerhati
Pedih ini memilukan
Luka itu tiada sesalan
Terus mencari dimana jalan
Cuba berdiri biar tertekan
Rajuk diri memantul kembali
Putus asa dan usaha bertarik tali
Susuk calar berdarah menjadi lali
Teriak binasa sudah berkali
Sebak hati memendam rasa
Tiada guna berbadan sasa
Rintangan tidak terduga masa
Tunduk sujud mencari Yang Esa
Adli Shinichi
12:45 am, 21 Julai 2016
Bangsar Selatan, Kuala Lumpur
Selasa, 19 Julai 2016
[PUISI] Maaf Khilafku
Maaf Khilafku
Langkahku mengingatkanmu
Jejakku melupakan siapa aku
Aku terus ke hadapan
Terus menyakiti
Terus disakiti
Maafku pohon
Khilafku alpa
Nikmatku lupa
Hidup teruskan juga
Pandangan tidak ke hadapan cuma
Lampau juga mendidik aku
Silam aku juga punya hitam
Itu semua rencah
Air mata tawa pilu
Marahku tanam sakitku abai
Kerana aku juga manusia
Belum lagi layak digelar insan
Adli Shinichi
11:15 am, 15 Julai 2016
Nexus International School, Putrajaya
Ahad, 17 Julai 2016
[PUISI] Hiduplah Sebelum Pulang
Hiduplah Sebelum Pulang
Tulang temulang pulang
Terik mentari rembang
Tanpa cahaya hilang
Tiada lelah tiada menang
Hijau bumi tenang
Hanya kicauan berkumandang
Hidup bahagia bukan sekadar dipandang
Hadapi rintangan biarpun ditendang
Biar jasa dikenang
Badan berbudi mencari senang
Bingkai kehidupan diendah jangan sebarang
Bodoh disimpan bijak dikembang
Amati dunia irama keasyikan berdendang
Api amarah hapus sifatnya orang
Akuilah kebaikan keluarga tiada diconteng arang
Agar dipermudah tika di tanah dalam berlubang
Adli Shinichi
3:28 pm, 17 Julai 2016
Nirvana Memorial Garden, Semenyih
Isnin, 4 Julai 2016
[PUISI] Saat Aku Mula Mengasihimu
Saat Aku Mula Mengasihimu
Tiba masa kau menjelma
Tanpa sedar kau bermakna
Tapi mengapa kau seketika
Tiada ragu kau berharga
Hadirnya dirimu tanpa jemu
Kenapa aku masih tidak ambil tahu
Berulang kali aku dipujukmu
Agar aku jatuh cinta padamu
Dahulu kedatanganmu ku anggap biasa
Kini dirimu begitu terasa
Tidak tertahan sebak di dada
Mengapa baru kini banjir dimata
Saat aku mula mengasihimu
Kau pula ingin berlalu
Begitu pantas masa bersamamu
Mungkinkah kita kembali bertemu
Akan aku kenang kau sentiasa
Yang membuat aku bahagia
Kenangan indah kau titipkan kepadaku
Kau pasti aku rindu
Adli Shinichi
6:55 am, 4 Julai 2016
Bukit Kerinchi, KL