Salam Aidil Fitri

Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh umat Islam yang menyambutnya.

The National Academy of Chinese Theatre Arts(中国戏曲学院)

Pertukaran Belajar mahasiswa Universiti Malaya ke NACTA untuk mempelajari Opera China.

Teater Tuah dan Jebat 2015

Naskah lagenda yang disuntik dengan pemikiran yang baru.

Teater KAWAD

Mengisahkan kehidupan keluarga Mejar Bersara Abdul Kabir.

#PrayForGAZA

Marilah kita bersama-sama berdoa supaya mereka kuat dan tabah menghadapi musuh iaitu Zionis Laknatullah.

Ahad, 25 Oktober 2015

[BERITA] GUGURNYA KOPIAH PUTIH – TEATER ALTERNATIF DAN PEMBAWAAN TEMA BESAR


Sumber : Daily Seni
by ANAK DAGANG
OCTOBER 24, 2015


Teater yang diberi nama Gugurnya Kopiah Putih bakal dipersembahkan pada 30hb Oktober akan datang di Panggung Eksperimen yang terletak di Universiti Malaya. Teater ini merupakan hasil pemahaman sang pengarah, Syahrul Fithri Musa mengenai apa itu teater alternatif.

Alternatif tidak akan terhasil tanpa kewujudan suatu keadaan atau definisi yang telah diterima pakai oleh kebanyakan orang. Jadi kesinambungan pergelutan di antara keadaan arus perdana dan alternatif itu bakal berlangsung dan terus terhasil tanpa henti. Di waktu ini, teater Gugurnya Kopiah Putih ini adalah sabda para penggiat teater yang membawa citra alternatif.

Jadi apa yang sebenarnya membezakan teater yang dipanggil alternatif ini jika dibandingkan dengan kewujudan teater selama ini? Pertama, dari segi penggunaan prop dan juga para pelakon yang minimal.

Kedua, dari segi penggunaan ruang yang terbatas. Kebanyakan teater alternatif yang telah berlangsung (sebelum ini selalunya diadakan di Stor DBP sebelum tutup untuk di baik pulih) berjaya menggunakan ruang yang terbatas ini dengan sebaik mungkin. Ada sahaja yang tetap menggunakan landasan teater alternatif atas nama prinsip, menjaga kreativiti dan keaslian tema tanpa dicabuli oleh mana-mana pihak yang ingin menggunakannya demi kebaikan yang jarang dipersetujui oleh penggiat teater itu sendiri.

Ketiga, cabaran dan kebebasan untuk membawa tema yang besar. Menariknya di sini adalah bagaimana dengan kurangnya penggunaan prop dan para pelakon, sesuatu tema atau falsafah di sebalik persembahan itu mampu menjangkaui batas-batas yang ada.

Gugurnya Kopiah Putih melibatkan empat pelakon, Anas Ridzuan, Fathi Shafie, Qawiem Hamizan, Aliah Hisamudin, Fazira Malik dan turut juga menampilkan Fazleena & The Lasykar. Persembahan ini mengisahkan tentang Hamas, watak utama yang bergelut dengan emosi baru yang mulai membuak, sebagai anak muda yang membesar di sekolah agama dan berhadapan dengan masalah pertembungan watak-watak yang tidak disenangi olehnya. Dan dari situ juga yang turut jelas terlihat adalah pergelutan moral yang sedikit sebanyak dipengaruhi oleh keadaan beragama.

Hamas

Menurut pendapat saya, salah satu persoalan yang bakal timbul adalah tentang moral dualistik yang wujud pada watak-watak yang ada, apakah keadaan beragama yang wujud pada zaman ini masih boleh menyelamatkan seseorang individu itu daripada tumbangnya pertimbangan moralnya? Adakah agama itu sendiri, pada era moden ini terasing daripada pergelutan moral kita?

Masih wujudkah ruang agama sebagai agama yang menyeluruh, mampu mengelakkan kita daripada terjunam ke lembah ekstremisme yang jelas sekali mulai berkembang sekarang? Apakah pendekatan-pendekatan yang mampu membimbing anak muda, yang berada dalam konfrontasi dengan isu-isu struktural seperti kes buli; tentang konsep kehormatan secara vertikal yang telah memupuk budaya penindasan dan bagaimana ianya memberi ruang kepada bentuk-bentuk eskapisme yang selalunya tidak ke arah positif.

Mungkin ini bukanlah persoalan utama yang bakal dinyatakan, tetapi tetap tidak dapat kita nafikan bahawa persoalan beragama itu sendiri merupakan persoalan yang utama, walaupun di mana pun posisi kita mengenainya.

Teater alternatif ini membawa persoalan yang jarang dipertanyakan oleh kita semua. Ataupun ianya sendiri sudah jelas, tetapi secara sengajanya kita semua mengalihkan sendiri persoalan-persoalan seperti ini. Dengan harapan yang besar, perkembangan teater alternatif, yang bermain dengan kemudahan yang terbatas mampu pada akhirnya mengungkapkan persoalan yang besar. Berani mempersoalkan segala isu yang membelenggu kewujudan kita selama ini.

Segala info mengenai teater ini boleh didapati menerusi laman web Facebooknya.

Event : http://www.facebook.com/events/964314243631026/

Page : http://www.facebook.com/gugurnyakopiahputih2015

Rabu, 21 Oktober 2015

Hari Konvokesyen Adli Shinichi

Hari ini (21 Oktober 2015) merupakan tarikh yang telah diletakkan dalam filem Back To The Future. 

Hari ini juga merupakan hari bersejarah buat aku kerana hari ini merupakan hari ini aku akan bergraduasi. Sejak semalam aku rasa gelisah. Gelisah kerana tak tahu nak rasa apa. Gembira atau sedih. Pagi-pagi lepas bangun terus aku ambik kereta yang ingin dipinjam dari seorang kawan. Lepas itu aku strika baju yang nak pakai. Istiadat konvokesyen aku siding petang. Jadi, pagi ini dalam pukul 10 pagi aku dan kawan aku pergi ambik jubah dari kedai. Hantar kedai untuk strika jubah tu.

Selesai ambik jubah, kami pergi ke sekitar Dewan Tunku Canselor dalam pukul 12 tengah hari. Kelam kabut juga sebab aku nak kena pergi ambik mak abah kat Sentul pula. Iya la, takut sesak. Pergi DTC tu sebab nak ucap tahniah dekat kawan-kawan yang graduasi pagi ini. Selesai ucap dan bergambar aku terus bersiap dan menuju ke Sentul ambik mak abah aku.

Sampai saja di Universiti Malaya, kami selesaikan dulu kewajipan. Lepas tu dapat tahu yang aku dah lewat. Lagi sekali aku berlarian. Dengan jubah tak pakai lagi. Aku terus pergi ke DTC untuk masuk dalam. Penjaga tu suruh siap dulu sebelum masuk. Apa lagi kelam kabut aku seorang diri siap. Dengan nak pinkan jubah, dan cape dia lagi. Terkial kial aku seorang diri di situ. Dengan pas masuk yang dia beri masa ambil jubah hari tu pun aku tertinggal dengan mak abah aku yang dah masuk dalam DTC.
 
Dengan rahmat Illahi datang seseorang lalu tempat aku bersiap tu. Dia nampak aku terkial-kial dan terus datang tolong kemaskan jubah aku dan pinkan cape aku tu. Bukan dia seorang tapi ayah dia pun tolong. Usai saja aku disiapkan, kami pon bergambar. Terima kasih. Syukur sangat waktu tu. 
Masuk saja dalam DTC, aku telefon abah aku untuk aku ambil pas tersebut. Alhamdulillah selesai hal itu. Kini aku hanya menunggu untuk nama dipanggil. Seperti tahun-tahun yang lepas, Pusat Kebudayaan akan dipanggil paling akhir. Dalam fikiran aku, aku sentiasa ingat supaya aku tak tunduk semasa mengambil skrol. Hasilnya gambar akan tegak berdiri.
Keluar saja dari DTC, kami disambut oleh pensyarah, alumni dan pelajar Pusat Kebudayaan. Dengan flashmobnya, dengan keknya. Terima kasih kalian. Beberapa orang kawan juga datang mengucapkan tahniah dan memberi hadiah. Terima kasih. Terlalu banyak yang ingin diceritakan. Biarlah ianya terus berada dalam ingatan.
~~~~~~~~~~~~
Setelah lama berfikir. Baru aku sedar bahawa kejadian yang berlaku sebelum masuk DTC itu sebenarnya telah digambarkan dalam mimpi aku yang sebelum ini. Walaupun apa yang berlaku tidak sama 100% seperti mimpi tersebut, tetapi kejadiannya begitu hampir. Dalam mimpi tersebut, aku keseorangan berlari dari tempat yang jauh menuju ke dewan istiadat konvokesyen. Dewan dalam mimpi bukanlah DTC tetapi satu dewan yang lebih besar. Dan ketika itu ada sekumpulan penari yang sedang buat flashmob sebelum istiadat bermula. Setibanya aku dalam dewan tersebut, seseorang yang yang sedang mengejar aku dari belakang bersama seorang yang kukira itu adalah lelaki yang jauh lebih tua dari aku. Aku kira umurnya dalam 50 tahun. Wajahnya tidak begitu jelas. Aku tiba di dewan dan masuk pelalui pintu satu pintu dan mereka berdua masuk melalui pintu yang seblah lagi. Kami terserempak di dalam dewan tersebut. Wajahnya memang aku kenal sangat. Cuma lelaki itu aku tak dapat kenali. Dia memanggil namaku dan datang ke arah aku. Ketika itu aku dapat rasakan yang air mata aku mengalir. Bila dia dan lelaki itu berada betul-betul hampir dengan aku, aku tersedar dari tidur.
~~~~~~~~~~~~
Dia yang ada dalam mimpi tersebut adalah orang yang sama tolong aku bersiap memakai jubah. Ini bukan cerita rekaan ini adalah cerita benar.
~~~~~~~~~~~~
Terima kasih setinggi² langit dan sebanyak² bintang yang bertaburan kepada dua insan mulia ini kerana hasil perkongsian hidup mereka, aku dilahirkan dan aku berada di tahap ini. Jasa mereka memang tak dapat aku balas.
Aku tahu, bidang yang aku ceburi tidak memenangi hati mereka namun ibu bapa mana yang tak mahu melihat anaknya memakai jubah konvokesyen dan naik pentas menerima skrol graduasi.
Jerih perih keringat tenaga masa wang ringgit yang telah mereka labur ke atas diri aku sangatlah banyak dan tidak terkira. Buat masa ini, aku hanya mampu berhenti meminta.
~~~~~~~~~~~~~
Album Gambar di sini

Terima kasih setinggi-tinggi langit dan sebanyak-banyak bintang kepada mereka yang pernah terlibat dalam kehidupan saya.

Translate This Page