Rabu, 6 Februari 2013

Baucar Buku 1 Malaysia (BB1M) Tahun 2013

 

Seperti yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan semasa Pembentangan Belanjawan 2013 pada 28 September 2012 di Parlimen, Kerajaan mencadangkan peruntukan sebanyak RM325 juta diberi bagi melaksanakan inisiatif pemberian baucar buku berjumlah RM250 setiap pelajar. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 1.3 juta orang pelajar di seluruh Negara dalam membantu meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian di samping memupuk minat membaca di kalangan rakyat Malaysia.
GARIS PANDUAN PEMBERIAN BAUCAR BUKU 1MALAYSIA (BB1M) TAHUN 2013

1. PENGENALAN
Tujuan garis panduan ini adalah untuk menerangkan tentang proses pencetakan, penerimaan dan pembayaran baucar buku RM250 seperti yang telah diumumkan oleh Y.A.B. Perdana Menteri Malaysia merangkap Menteri Kewangan semasa Pembentangan Belanjawan 2013 pada 28 September 2012 di Parlimen. Kerajaan mencadangkan peruntukan sebanyak RM325 juta diberi bagi melaksanakan inisiatif pemberian baucar buku berjumlah RM250 setiap pelajar. Inisiatif ini dijangka memberi manfaat kepada 1.3 juta orang pelajar di seluruh negara.

2. OBJEKTIF
Inisiatif ini dirangka untuk meringankan beban perbelanjaan pembelian buku pengajian. Selain daripada itu, inisiatif ini dijangka dapat memupuk minat membaca di kalangan rakyat Malaysia.

3. KRITERIA KELAYAKAN
Pelajar yang layak menerima bantuan Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) adalah terdiri daripada:
3.1 warganegara Malaysia;
3.2 berada di Malaysia dalam tempoh pelaksanaan BB1M;
3.3 sedang melanjutkan pengajian dan berstatus aktif di pusat matrikulasi/ tingkatan 6/ Politeknik/ Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta tempatan dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2013;
3.4 menuntut di institusi pengajian di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi atau institusi pengajian yang telah berdaftar di bawah akta-akta yang berkuatkuasa;
3.5 sedang melanjutkan pengajian secara sepenuh masa atau separa masa;
3.6 sedang melanjutkan pengajian dalam matrikulasi / pengajian asas (foundation) / tingkatan 6 / A-Level / diploma / diploma lanjutan / sarjana muda / sarjana / doktor falsafah / kursus professional dengan kelayakan bertaraf diploma ke atas yang diiktiraf oleh Kerajaan atau badan-badan profesional di Malaysia; dan
3.7 sedang mengikuti pengajian di bawah program kerjasama dan mendaftar di bawah anak syarikat IPT berkenaan.

4. TEMPOH PELAKSANAAN
Inisiatif ini adalah secara one-off bagi sesi 2013 sahaja. Baucar buku ini sah diguna pakai selama 5 bulan sahaja iaitu mulai 1 Januari sehingga 31 Mei 2013.

5. KADAR BAUCAR BUKU
Sebanyak 5 keping baucar buku (RM50 sekeping) yang berjumlah RM250 boleh dituntut di agensi/ institusi oleh pelajar sendiri. Waris atau wakil adalah tidak dibenarkan untuk membuat tuntutan bagi pihak pelajar yang layak.

6. TATACARA PENGGUNAAN BAUCAR BUKU
6.1 Baucar akan dicetak oleh Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) dan seterusnya mengedarkan kepada semua agensi/ institusi.
6.2 Baucar ini adalah untuk pembelian buku-buku akademik, jurnal, dan majalah ilmiah berdasarkan keperluan agensi/ institusi masing-masing.
6.3 Pelajar perlulah mengisi nama (seperti dalam kad pengenalan) dan nombor kad pengenalan dengan jelas pada baucar tersebut semasa baucar dituntut di kaunter pelaksana agensi/ institusi masing-masing.
6.4 Pelajar boleh menggunakan baucar ini dengan mengemukakan kad pengenalan di mana-mana kedai buku yang menyertai pelaksanaan inisiatif ini. Sekiranya amaun pembelian buku-buku ada berbaki sedikit, pelajar adalah dibenarkan membeli peralatan pembelajaran seperti buku catatan dan alat tulis. Baki baucar yang tidak habis digunakan adalah dianggap luput dan tidak boleh dituntut.
6.5 Jika amaun yang dibeli melebihi RM250, pelajar perlu membayar sendiri dan tidak boleh membuat tuntutan tambahan kepada Kerajaan.
6.6 Tempoh sah laku baucar adalah selama 5 bulan sahaja.
6.7 Tuntutan bayaran balik baucar dibuat oleh kedai buku melalui Bank Simpanan Nasional (BSN). Tuntutan hanya boleh dilakukan sehingga 30 Jun 2013.

7. PENYALAHGUNAAN BAUCAR BUKU
7.1 Baucar buku yang diterima tidak boleh dipindah milik, ditukarkan dalam bentuk wang tunai atau dijualkan kepada pihak ketiga.
7.2 Mana-mana pihak yang didapati bersubahat dalam penyalahgunaan baucar ini boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang.
7.3 Adalah menjadi tanggungjawab pihak pelaksana di agensi/ institusi dan kedai-kedai buku untuk mematuhi tatacara dan prosedur dalam pelaksanaan pemberian baucar ini bagi mengelakkan sebarang penyelewengan dan penyalahgunaan.
7.4 Agensi/ institusi berkuasa untuk mengambil tindakan tatatertib terhadap pihak-pihak yang didapati bersalah dalam kes penyalahgunaan baucar ini.

8. PENUTUP
8.1 Pihak pelaksana haruslah memastikan dokumen berkaitan pemberian baucar ini perlu dikemas kini dan disimpan secara teratur dan kemas bagi tujuan pemantauan dan pengauditan.
8.2 Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berhubung pelaksanaan inisiatif ini boleh menghubungi Kementerian Pengajian Tinggi dan pihak pelaksana di agensi/ institusi masing-masing.




GARIS PANDUAN PEMBERIAN BAUCAR BUKU 1MALAYSIA (BB1M) TAHUN 2013 KEPADA PENJUAL BUKU

1. PENGENALAN
Tujuan garis panduan ini adalah untuk menerangkan tentang proses tuntutan bayaran balik baucar oleh kedai-kedai buku daripada Bank Simpanan Nasional (BSN).

2. OBJEKTIF
Penyertaan adalah terbuka kepada semua kedai buku yang berdaftar.

3. TEMPOH SAH LAKU BAUCAR
Baucar ini sah diguna pakai selama 5 bulan sahaja iaitu 1 Januari sehingga 31 Mei 2013.

4. KADAR BB1M
Setiap pelajar layak menerima sebanyak 5 keping baucar buku (RM50 sekeping) yang berjumlah RM250. Kuasa bagi percetakan baucar hanya diberikan kepada Percetakan Nasional Malaysia Berhad (PNMB) sahaja.

5. TATACARA PENGGUNAAN BAUCAR
5.1 Penjual buku perlu memaparkan notis penerimaan baucar buku 1Malaysia di premis jualan.
5.2 Baucar ini adalah untuk pembelian buku-buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah berdasarkan keperluan IPT masing-masing.
5.3 Pelajar boleh menggunakan baucar ini di mana-mana kedai buku yang menyertai pelaksanaan inisiatif ini. Pelajar perlu mengemukakan baucar buku yang lengkap dengan nama pelajar, nombor kad pengenalan dan cop rasmi IPT/sekolah serta menunjukkan kad pengenalan yang asal semasa pembelian.
5.4 Pihak kedai buku berhak menolak penerimaan baucar yang tidak lengkap dengan maklumat pelajar dan cop agensi/ institusi yang jelas dan melaporkan sebarang penyalahgunaan kepada pihak berkuasa untuk siasatan lanjut.
5.5 Sekiranya amaun pembelian buku-buku ada berbaki sedikit daripada RM250, pelajar adalah dibenarkan membeli peralatan pembelajaran seperti buku catatan dan alat tulis. Baki baucar yang tidak habis digunakan adalah dianggap luput dan tidak boleh dituntut.
5.6 Jika amaun yang dibeli melebihi RM250, pelajar perlu membayar sendiri dan tidak boleh membuat tuntutan tambahan kepada Kerajaan.

6. TUNTUTAN BAYARAN BALIK BAUCAR
6.1 Tuntutan bayaran balik baucar akan dibuat oleh kedai buku terus kepada BSN. Tuntutan hanya boleh dilakukan sehingga 30 Jun 2013.
6.2 Semasa menuntut bayaran balik daripada BSN, pihak kedai buku perlu memastikan:
i. akaun korporat telah dibuka di BSN;
ii. baucar-baucar yang diterima telah dicop rasmi kedai buku (dicop sekali sahaja);
iii. resit pembelian buku dikepilkan pada setiap baucar; dan
iv. melengkapkan senarai di Lampiran A.
6.3 Resit pembelian yang dikepilkan perlu menunjukkan item buku yang dibeli oleh pelajar. Pihak BSN berhak menolak penunaian baucar yang gagal mengemukakan resit yang jelas atau pembelian selain buku rujukan/ majalah ilmiah yang sesuai untuk tujuan pengajian. Pembelian peralatan pembelajaran hanya dibenarkan sekiranya masih terdapat baki sedikit daripada amaun baucar buku yang tidak dapat dibelanjakan.
6.4 Pihak kedai buku perlu mendepositkan RM500 untuk tujuan pembukaan akaun korporat BSN. Deposit tersebut akan dikembalikan kepada pihak syarikat semasa penunaian baucar.
6.5 Pihak kedai buku digalakkan untuk membuat penunaian secara berperingkat (bergantung kepada bilangan baucar yang diterima) untuk mengelakkan kelewatan dalam proses penunaian di BSN.

7. PEMBUKAAN AKAUN KORPORAT BANK SIMPANAN NASIONAL
7.1 Pihak kedai buku perlu mendapatkan borang permohonan untuk membuka akaun korporat daripada mana-mana cawangan BSN yang terdekat dan menyatakan tujuan akaun korporat dibuka iaitu untuk menyertai program Baucar Buku 1Malaysia.
7.2 Pihak kedai buku perlu mengemukakan nama penuh, nombor kad pengenalan, salinan fotostat kad pengenalan dan contoh tandatangan pengelola akaun kepada BSN.
7.3 Pihak kedai buku perlu mengemukakan borang pendaftaran syarikat (borang 24/49) semasa pembukaan akaun korporat di BSN bagi Syarikat Sendirian Berhad, bagi syarikat enterprise perlu mengemukakan Sijil Pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) manakala bagi syarikat koperasi perlu mengemukakan sijil pendaftaran koperasi.
7.4 Pihak kedai buku perlu mengemukakan surat arahan pindahan ke akaun bank lain (sekiranya ada) semasa membuat tuntutan bayaran balik baucar yang ditandatangani oleh pengelola akaun yang sama semasa pembukaan akaun korporat tersebut.

8. PENYALAHGUNAAN BAUCAR BUKU
8.1 Baucar buku yang diterima tidak boleh ditukarkan dalam bentuk wang tunai atau dijualkan kepada pihak ketiga.
8.2 Pihak yang didapati bersubahat dalam penyalahgunaan baucar akan dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang.
8.3 Adalah menjadi tanggungjawab pihak pelaksana di IPT dan kedai-kedai buku untuk mematuhi tatacara dan prosedur dalam pelaksanaan pemberian baucar ini bagi mengelakkan sebarang penyelewengan dan penyalahgunaan.

9. PENUTUP
9.1 Dokumen berkaitan pemberian baucar ini perlulah dikemas kini dan disimpan secara teratur dan kemas bagi tujuan pemantauan dan pengauditan.
9.2 Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan berhubung penunaian Baucar Buku 1Malaysia boleh menghubungi En.Zulkarnain bin Ismail di talian 019-215 2673 atau mana-mana cawangan BSN yang berhampiran.
 

TATACARA PENGAGIHAN BAUCAR BUKU 1MALAYSIA (BB1M) TAHUN 2013 DI INSTITUSI 

1. Pihak institusi hanya boleh mengagihkan baucar buku kepada pelajar yang layak sahaja berdasarkan syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia.
2. Pelajar dari luar negara yang menuntut di institusi tempatan adalah tidak layak untuk menerima baucar buku.
3. Senarai nama pelajar perlu disediakan di setiap kaunter pengagihan baucar buku untuk rujukan pihak institusi.
4. Nama-nama pelajar baru berdaftar perlulah didaftarkan dengan Kementerian Pengajian Tinggi terlebih dahulu sebelum baucar buku diserahkan.
5. Pihak institusi perlu menyerahkan sebanyak 5 keping baucar buku (RM50 sekeping) berjumlah RM250 beserta 1 sampul surat BB1M kepada setiap pelajar.
6. Pastikan pelajar membawa bersama kad matriks pelajar dan kad pengenalan bagi tujuan pengesahan nama.
7. Pastikan pelajar mengisi nama penuh dan nombor kad pengenalan pada setiap keping baucar buku dengan lengkap dan jelas.
8. Pihak institusi perlu memastikan nama pelajar adalah sama seperti di dalam kad pengenalan.
9. Setelah semakan dibuat, setiap keping baucar buku yang lengkap diisi perlu dicop oleh pihak institusi masing-masing dengan cop institusi yang mempunyai maklumat perhubungan.
10. Sebarang pembetulan atas baucar buku perlu disahkan oleh pihak institusi dengan cop institusi sebelum dapat diterimapakai di kedai-kedai buku.
11. Jika berlaku kehilangan atau kerosakan pada baucar buku, pihak institusi perlu melaporkan kepada pihak Kementerian Pengajian Tinggi beserta bukti-bukti berkaitan untuk tindakan selanjutnya.
12. Waris atau wakil adalah tidak dibenarkan untuk mengambil baucar buku bagi pihak pelajar yang layak.
13. Baucar buku perlu disimpan di tempat yang selamat sepanjang masa. Pihak institusi boleh mengenakan tindakan tatatertib ke atas kecuaian pegawai dalam mengendalikan baucar buku.

Soalan Lazim (untuk pelajar)
1. Siapa yang layak menerima Baucar Buku 1Malaysia? i. warganegara Malaysia;
ii. berada di Malaysia dalam tempoh pelaksanaan BB1M;
iii. sedang melanjutkan pengajian dan berstatus aktif di pusat matrikulasi/ tingkatan 6/ Politeknik/ Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta tempatan dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Mac 2013;
iv. menuntut di institusi pengajian di bawah seliaan Kementerian Pengajian Tinggi atau institusi pengajian yang telah berdaftar di bawah akta-akta yang berkuatkuasa;
v. sedang melanjutkan pengajian secara sepenuh masa atau separa masa;
vi. sedang melanjutkan pengajian dalam matrikulasi / pengajian asas (foundation) / tingkatan 6 / A-Level / diploma / diploma lanjutan / sarjana muda / sarjana / doktor falsafah / kursus professional dengan kelayakan bertaraf diploma ke atas yang diiktiraf oleh Kerajaan atau badan-badan profesional di Malaysia; dan
vii. sedang mengikuti pengajian di bawah program kerjasama dan mendaftar di bawah anak syarikat IPT berkenaan.

2. Adakah pelajar di peringkat sijil layak untuk menerima baucar buku?
Pelajar di peringkat sijil adalah tidak layak untuk menerima BB1M.

3. Apakah maksud “badan-badan professional”?
Badan-badan professional yang dimaksudkan adalah seperti Malaysian Institute Of Accountants (MIA), The Malaysian Institute Of Certified Public Accountants (MICPA), The Institution Of Engineers Malaysia, Lembaga Jurutera Malaysia, Lembaga Arkitek Malaysia, Pertubuhan Arkitek Malaysia, Lembaga Juruukur Bahan Malaysia, Lembaga Juruukur Tanah Malaysia, Lembaga Penilai, Penaksir dan Agen Hartanah dan The Institution Of Surveyors Malaysia.

4. Berapakan nilai baucar buku yang akan diterima oleh setiap pelajar?
Sebanyak 5 keping baucar buku (RM50 sekeping) yang berjumlah RM250.

5. Bagaimana saya boleh memohon untuk mendapatkan baucar?
Pelajar aktif di IPT/sekolah adalah didaftarkan secara langsung sebagai penerima BB1M. Namun untuk tujuan pengesahan pelajar boleh menyemak dengan IPT/sekolah masing-masing.

6. Bilakah saya boleh mula menuntut baucar buku?
Jadual pemberian baucar kepada pelajar akan diaturkan oleh IPT/sekolah masing-masing dan akan dimaklumkan kepada pelajar.

7. Apakah yang perlu saya buat ketika menuntut baucar buku di institusi saya?
Pelajar perlu mengisi nama (seperti dalam kad pengenalan) dan nombor kad pengenalan pada setiap baucar dengan jelas dan betul. Pihak IPT/sekolah akan menurunkan cop IPT/sekolah pada setiap baucar tersebut setelah maklumat diisi dengan lengkap.

8. Apakah yang perlu saya buat sekiranya saya tersilap tulis pada baucar?
Pelajar perlu mendapatkan pengesahan semula dengan cop rasmi IPT/sekolah setelah pembetulan dibuat.

9. Apakah yang perlu saya buat sekiranya berlaku kerosakan pada baucar?
Pelajar perlu membuat permohonan kepada IPT/sekolah masing-masing untuk penggantian.

10.Bolehkah saya menghantar wakil untuk menuntut baucar tersebut?
Waris atau wakil adalah tidak dibenarkan untuk membuat tuntutan bagi pihak pelajar yang layak. Baucar buku akan dianggap luput sekiranya pelajar tersebut tidak berada di dalam negara sepanjang tempoh sah laku baucar (1 Januari hingga 31 Mei 2013)

11.Bilakan tempoh sah laku/ penggunaan baucar buku?
1 Januari hingga 31 Mei 2013

12.Di manakah saya boleh mengguna pakai baucar buku ini ?
Pelajar boleh menggunakan baucar ini dengan mengemukakan kad pengenalan asal di mana-mana kedai buku yang menyertai pelaksanaan inisiatif ini.

13.Apakah jenis pembelian yang boleh menggunakpakai baucar buku?
Buku-buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah sahaja. Pembelian peralatan pembelajaran hanya dibenarkan sekiranya masih terdapat baki sedikit daripada amaun baucar buku yang tidak dapat dibelanjakan.

14.Apakah yang boleh saya buat sekiranya amaun pembelian saya kurang daripada RM250?
Baki baucar boleh digunakan untuk membeli alat tulis atau peralatan pembelajaran yang berkaitan. Baki baucar yang tidak habis digunakan adalah dianggap luput dan tidak boleh dituntut.

15.Apakah yang boleh saya buat sekiranya amaun pembelian saya melebihi RM250?
Pelajar perlu membayar sendiri dan tidak boleh membuat tuntutan tambahan kepada Kerajaan.

16.Bolehkah saya pindah milik baucar buku saya?
Baucar buku yang diterima tidak boleh dipindah milik, ditukarkan dalam bentuk wang tunai atau dijualkan kepada pihak ketiga. Mana-mana pihak yang didapati bersubahat dalam penyalahgunaan baucar ini boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan harta dengan curang.

17.Apakah yang perlu saya buat sekiranya saya mendapati kawan-kawan yang menyalahgunakan baucar?
Pelajar perlu melaporkan kepada pihak IPT/sekolah atau Kementerian Pengajian Tinggi dengan segera.



Soalan Lazim (untuk penjual buku) 

Umum

1. Siapa yang boleh menyertai inisiatif BB1M ini?
Penyertaan adalah terbuka kepada semua penjual buku yang berminat.

2. Bagaimana saya boleh menyertai BB1M?
Langkah 1: Membuka akaun korporat di Bank Simpanan Nasional (BSN) dengan deposit sebanyak RM500 untuk tujuan penunaian baucar. Deposit tersebut akan dikembalikan kepada pihak syarikat apabila akaun ditutup.
Langkah 2: Memaparkan notis penerimaan Baucar Buku 1Malaysia di premis jualan.
Langkah 3: Menerima baucar buku dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Mei 2013 sahaja.

3. Perlukah saya mendaftar penyertaan di Kementerian pengajian Tinggi?
Tidak perlu.

4. Bilakan tempoh sah laku baucar dan tempoh penunaian baucar buku?
Tempoh sah laku baucar : 1 Januari hingga 31 Mei 2013
Tempoh penunaian baucar di BSN : 1 Januari hingga 30 Jun 2013

5. Siapakah yang layak menerima baucar buku?
Warganegara Malaysia yang sedang melanjutkan pengajian di agensi/ Institusi tempatan sahaja. Pelajar luar negara adalah tidak layak untuk menerima baucar buku ini.

6. Apakah jenis pembelian yang boleh menggunakpakai baucar buku?
Buku-buku akademik, jurnal dan majalah ilmiah sahaja. Pembelian peralatan pembelajaran hanya dibenarkan sekiranya masih terdapat baki sedikit daripada amaun baucar buku yang tidak dapat dibelanjakan.

7. Bagaimanakah caranya boleh saya menunaikan baucar buku yang diterima?
Baucar buku boleh ditunaikan dengan BSN mengikut tatacara yang ditetapkan selewat-lewatnya pada 30 Jun 2013. Rujuk tajuk Penunaian Baucar di BSN.

Pembukaan Akaun di BSN

1. Apakah tatacara pembukaan akaun di BSN?
Langkah 1: Menyediakan surat ringkas kepada BSN untuk menyatakan niat syarikat untuk menyertai program BB1M.
Langkah 2: Menyediakan dokumen-dokumen sokongan lain (seperti yang dinyatakan di bawah).
Langkah 3: Mendapatkan borang permohonan daripada mana-mana cawangan BSN yang terdekat dengan menyatakan tujuan akaun korporat dibuka iaitu untuk menyertai program BB1M.
Langkah 4: Menyerahkan surat niat, borang permohonan yang lengkap serta dokumen-dokumen yang diperlukan kepada BSN.
Langkah 5: Membuka akaun korporat di dengan deposit sebanyak RM500.

2. Apakah dokumen-dokumen sokongan yang diperlukan?
Pihak kedai buku perlu mengemukakan nama penuh, nombor kad pengenalan, salinan fotostat kad pengenalan dan contoh tandatangan pengelola akaun kepada BSN. Selain itu,
i. Syarikat Sendirian Berhad perlu mengemukakan borang pendaftaran syarikat (borang 24/49);
ii. Syarikat enterprise perlu mengemukakan Sijil Pendaftaran dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM); dan
iii. Syarikat koperasi perlu mengemukakan sijil pendaftaran koperasi.

3. Perlukah saya mendaftar semula dengan BSN jika akaun korporat yang digunapakai dalam BB1M Tahun 2012 masih aktif?
Tidak perlu.

Penerimaan Baucar Semasa Urusniaga

1. Apakah yang perlu disemak semasa penerimaan baucar di kedai-kedai buku?
1. Memastikan baucar buku adalah lengkap dengan nama pelajar, nombor kad pengenalan dan cop rasmi IPT/sekolah;
2. Sekiranya terdapat kesilapan pada baucar, pindaan tersebut perlu disahkan semula dengan cop rasmi IPT/sekolah;
3. Mengenalpasti pembeli adalah pemegang baucar tersebut dengan menyemak kad pengenalan asal pembeli; dan
4. Menyemak ketulenan baucar buku dengan ciri-ciri keselamatan baucar seperti di Lampiran B.

2. Bolehkah saya menolak baucar yang tidak lengkap?
Boleh. Pihak penjual buku boleh merujuk atau melaporkan sebarang penyalahgunaan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

3. Perlukah saya menggunakan filem perverifikasian baucar seperti BB1M Tahun 2012 untuk mengenalpasti ketulenan baucar yang diterima?
Tidak perlu. Pihak penjual buku sendiri boleh menyemak ketulenan baucar buku dengan ciri-ciri keselamatan baucar seperti di Lampiran B.

Penunaian Baucar di BSN

1. Apakah tatacara penunaian baucar di BSN?
Langkah 1: Melengkapkan Lampiran A mengikut format yang ditetapkan.
Langkah 2: Memastikan setiap baucar dikepilkan bersama dengan resit pembelian buku.
Langkah 3: Mengemukakan Lampiran A, baucar dan surat arahan pindahan ke akaun bank lain (sekiranya ada) kepada BSN untuk penunaian. Surat arahan pindahan perlu ditandatangani oleh pengelola akaun yang sama semasa pembukaan akaun korporat tersebut.
** Penjual buku dinasihati untuk membuat penunaian secara berperingkat untuk
mengelakkan kelewatan dalam pemprosesan bayaran.

2. Siapakah pegawai di BSN yang boleh saya hubungi?
Pertanyaan boleh disampaikan kepada En.Zulkarnain bin Ismail di talian 019-2152673 atau mana-mana cawangan BSN yang berhampiran.



Untuk makluman lanjut, sila layari laman web Kementerian Pengajian Tinggi di www.mohe.gov.my/bb1m atau mengajukan pertanyaan melalui talian 03-88705339/4361 dan emel portalfeedback@mohe.gov.my.
 

Translate This Page