Home »
ARKIB
» [CORETAN + REVIEW] Teater Atas Pokok Buat Aku Terkilan
Teater Atas Pokok (TAP). Pasti mereka yang belum mengetahuinya akan tertanya - "Apakah teater ini dilakukan di atas pokok atau ia hanyalah tajuk semata". Pada mulanya aku juga berfikiran seperti itu. Sebelum aku menulis dengan lebih lanjut, aku mahu ceritakan sedikit bagaimana aku mula dapat tahu
tentang TAP ini.
|
Inilah aku |
Pada tahun lepas sekitar bulan 11, aku mendapat pelawaan untuk bersama-sama dalam produksi ini. Ketika itu aku dalam dilema untuk dua teater. Selepas tahu produksi ini menunda tarikhnya, aku rasa lega kerana mungkin aku dapat sertai keduanya. Dalam bulan 2 aku pergi casting untuk TAP. Ketika itu casting diadakan di Gombak. Aku mula melihat pokok yang akan dipanjat. Memang tinggi. Sudah lama kitanya aku tak memanjat pokok. Jadi aku pun panjat atau dalam loghat Kedah - 'ghabat'. Tidaklah sesukar mana. Pak Dinsman pun dah tengok kemampuan memanjat aku. Kemudian dalam bulan 3 diadakan sekali casting di Shah Alam. Ketika itu aku tak dapat hadir sebab ada shooting WHI. Akhirnya aku dapat tahu bahawa latihan diadakan pada waktu siang di Shah Alam. Jadi aku tak dapat bersama atas faktor kerja. Cukup dengan cerita pasal aku.
TAP. Selepas magrib (16 April 2016) aku dan dua lagi kawan aku bergerak ke lokasi TAP - Di hadapan Kedai Kopi 2, Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, Shah Alam. Kami tiba dalam 8:30 malam. Dalam masa menunggu itu aku berjumpa dengan beberapa lagi rakan aktivis teater yang hadir untuk menonton. Sepanjang menunggu itu, kepala aku tak lekang dengan perasaan terkilan kerana tak dapat bersama dalam TAP. Semakin lama semakin kuat rasa itu.
TAP dimulakan dengan paluan kompang disambung dengan Tarian Kuda Kepang dan Barongan. Aku mengambil ini sebagai simbolik kepada tradisional kita sebagai rakyat Malaysia di sesebuah penempatan.
Pelakon-pelakon mula masuk dengan iringan lagu 'Mari Panjat Pokok'. Lagu ni ibarat memanggil-manggil aku untuk turut panjat pokok tersebut. Kalau ada penonton yang mula panjat pokok itu aku memang akan turut serta.
Naskah TAP ini mengangkat isu sebuah kampung warisan di ibu kota iaitu Kampung Banda Dalam yang berdepan ancaman kemusnahan akibat kesan pembangunan. TAP menceritakan bagaimana penduduk kampung tersebut mempertahankan kampung mereka dengan berjuang berhabis-habisan supaya tidak jatuh ke tangan Datuk Bandar yang mahu membangunkan bangunan pencakar langit tetapi memusnahkan warisan kampung tersebut. Warisan dan kemanusiaan yang semakin hilang dek sifat manusia itu sendiri yang terlalu banyak memakan dedak yang ditabur oleh badut-badut kapitalis. Suara rakyat marhaen yang tidak didengari juga menjadi isunya.
Antara dialog yang digunakan dalam TAP ada puisi dari karya Allahyarham Sasterawan Negara, Usman Awang yang bertajuk - 'Terbunuhnya Beringin Tua di Pinggir Sebuah Bandaraya' dan 'Surat Dari Masyarakat Burung kepada Datuk Bandar'.
|
Inilah salah seorang pelakon yang menjayakan TAP - Nizam Yamin |
Apa yang membuatkan aku bertambah terkilan tidak dapat berada dalam produksi ini ialah ketika mereka tergantung, bergantung, bergayut pada tali yang terikat pada pokok tersebut ditambah lagi dengan pelakon yang turun dari dahan yang tinggi ke tanah dengan menggunakan tali. Selain itu, suara Pegawai Jentolak yang diberi kesan khas ibarat suara robot jahat membuatkan aku rasa seronok.
Lebih kurang tiga kali berlalu masalah bekalan elektrik sepanjang teater ini akibat over power. Namun, masalah teknikal ini tidak melunturkan semangat ahli produksi untuk meneruskan persembahan. Penonton juga turut memberi tepukan semangat untuk persembahan ini supaya terus berlangsung. Aku cadangkan supaya menggunakan generator yang sesuai dengan kuasanya untuk penambahbaikan TAP. Suara yang dilontarkan oleh pelakon ketika berlaku masalah teknikal boleh dikatakan bagus.
|
Bersama Pak Dinsman - Pengarah dan Penulis Skrip (tulang belakang) TAP |
Tahniah buat ahli produksi TAP. Kalian telah memberi aku satu lagi pengalaman yang baru dalam teater. Tahniah buat Pak Dinsman kerana berjaya menampilkan TAP. Tahniah juga atas kejayaan dalam buku Malaysian Book of Record's.
Terima kasih kerana memberi satu aura yang unik melalui TAP. Sampaikan ke dalam mimpi aku masih terngiang TAP.
TAP punya satu keunikan yang tak dapat aku ungkapkan. Tak tahu nak diceritakan bagaimana. Jadi jika kalian membaca coretan ini sebelum atau pada 17 April 2016 sebelum jam 8:45 malam, kalian masih sempat untuk menonton TAP pada 17 April 2016 di hadapan Kedai Kopi 2, Dataran Kemerdekaan, Seksyen 14, Shah Alam pada jam 9 malam. Masuk percuma. Pergilah menonton. Usah mencari hiburan murah yang mahal tetapi ambil peluang ini untuk menonton persembahan yang mahal nilai estetikanya tetapi percuma. #TeaterAtasPokok
0 analysis:
Catat Ulasan