Jumaat, 4 Disember 2015

[BERITA] Tambo Keramat: Angkat superhero Melayu

[Sumber : Sinar Harian | MARINA SAHABUDIN 1 DISEMBER 2015]

TAMBO Keramat bukanlah sebuah mitos, sebaliknya kisah realiti sebuah masyarakat yang mewarisi semangat warisan Minangkabau dari Pagar Ruyong daerah keramat.

Menariknya, kisah ini menjadi tarikan semangat kepada penduduk Naning dalam era pra kemerdekaan. Di atas rasa tanggungjawab menyambung kecintaan masyarakat Naning terhadap warisan ini, Twinzone Sdn Bhd telah mengangkat kisah perjuangan Tambo Keramat ke pentas teater.

Sedikit mengenai karya hebat ini, ia berkisarkan Dol Said yang merupakan seorang pahlawan Naning berjuang menentang British demi mempertahankan maruah bangsanya.

Mengulas mengenai teater sentuhan Syahmi Hassan ini, sebenarnya bukan mudah hendak menarik perhatian penonton menyaksikan karya ini sementelah segelintir peminat teater lebih tertumpu kepada karya-karya yang lebih ringan atau pun muzikal.

Bagaimanapun, di sebalik keistimewaan karya ini, siapa sangka ia mendapat respons cukup baik daripada penonton.

Malah, pementasan yang berlangsung selama tiga malam bermula 20 hingga 22 November lalu itu, dimanfaatkan sebaiknya oleh peminat seni teater.

Sehinggakan kerana kehebatan Tambo Keramat, ada di antara penonton yang sanggup menontonnya berulang kali. Lebih-lebih lagi teater ini didukung oleh teraju utama yang bukan calang-calang pelakonnya seperti Mubarak Majid, Zaidi Omar dan Vanidah Imran.

Menyentuh mengenai pelakon-pelakonnya, sama ada Mubarak Majid (Dol Said), Zaidi Omar (Said Saaban) dan Vanidah Imran (Srikandi Desa), berjaya menyampaikan lakonan mereka dengan baik pada malam berkenaan.

Nyata ketiga-tiga mereka telah menghidupkan perananyang diberikan dengan penuh jiwa. Bukan kerana pengalaman di pentas teater, namun mereka sememangnya mempunyai bakat serta semangat yang besar terhadap seni lakonan dan mampu merealisasikan watak dengan baik.

Kreativiti pengarah dalam menyampaikan kisah 'superhero Melayu' ini juga wajar diberi pujian kerana setiap naratif penceritaan disampaikan menerusi persembahan tarian yang direka khusus sebagai simbolik peperangan yang berlaku di tanah Naning.

Secara keseluruhan, pementasan teater ini dilihat cukup menarik untuk dipaparkan kepada masyarakat kini. Ini kerana setiap perincian kisah perjuangan Dol Said yang mahu membela nasib bangsa boleh dijadikan panduan kepada masyarakat kini.


Bukan naskhah biasa

Bercakap mengenai pemilihan karya berkenaan, kata Syahmi pihak penerbit mahu mementaskan karya tersebut kerana mereka juga berdarah Naning.

“Saya sendiri apabila diberikan kepercayaan mengarah teater ini, memang rasa terkejut dan teruja. Bayangkan ini kali pertama saya mengarah teater yang besar dan bukan sebuah naskhah biasa.

“Jika tidak diolah dengan baik skrip dan plotnya, boleh membuatkan orang tertanya-tanya dan mesej yang hendak disampaikan pasti tidak menjadi,” katanya.

Tambah Syahmi, dia sangat berbangga kerana karya itu dapat disampaikan kepada penonton.

“Dol Said adalah salah seorang super hero kita, jika orang putih ada superman, kita ada pahlawan Melayu yang luar biasa. Jadi kenapa tidak kita ketengahkan mereka sebagai tanda penghargaan dan mengenang perjuangan yang telah dilakukan,” katanya.

Jelasnya, ia juga adalah satu tanggungjawab berat dan cabaran besar kepadanya.

“Lebih-lebih lagi saya berpeluang bekerja dengan nama-nama besar. Pada awalnya bimbang juga, tetapi mereka sebenarnya sangat profesional dan banyak membantu saya,” katanya.

Bercerita mengenai pemilihan pelakon, kata Syahmi, semuanya diserahkan kepada pihak penerbit.

“Tetapi kerana pelakonnya hebat-hebat, jadi saya tidak menolak sebaliknya gembira kerana dapat pengalaman hebat bersama mereka,” katanya.

Akuinya, jika tidak kerana pelakon-pelakon berkenaan mungkin naskhah itu tidak sampai kepada penonton.

“Karya ini amat mendalam, kita memerlukan pelakon yang benar-benar hebat dan mampu menjiwai watak dengan baik untuk menyampaikannya,” katanya yang sedia untuk kembali dengan kesinambungan teater tersebut.


Pelakon realisasikan watak

Beralih mengenai pelakonnya pula, boleh dikatakan teraju utamanya berjaya merealisasikan setiap watak dengan baik. Sama ada watak Dol Said, Said Saaban mahu pun Srikandi, semuanya dilihat benar-benar serasi dengan pelakon yang dipilih.

Watak Dol Said misalnya, ia kelihatan benar-benar menyerlah dalam diri Mubarak Majid. Pun begitu, akui Mubarak Majid, dia sebenarnya masih belum berpuas hati dengan persembahannya malam itu.

“Mungkin penonton sudah berpuas hati dengan lakonan saya, tetapi tidak bagi diri saya sendiri. Walaupun sudah banyak menjalankan kajian mengenai Dol Said, tetapi ia belum cukup bagi saya.

“Untuk melakonkan karakter watak orang hidup bukan mudah, jika tersilap boleh menyebabkan sensitiviti kepada segelintir pihak,” katanya.

Jelasnya, dia berharap pada masa akan datang, dia mampu memberikan lebih kepada watak tersebut.

“Banyak yang perlu diperbaiki. Mungkin jika ada pementasan kedua nanti dan watak saya dikekalkan, saya akan melakukan lebih baik daripada sekarang,” katanya.

Bagi Vanidah pula, kesempatan melakonkan karakter Srikandi amat dihargainya.

“Saya perlu bersilat dalam pementasan ini. Boleh dikatakan ia agak sukar, namun kerjasama pengarah dan krew terbabit memudahkan kerja saya. Sebagai Srikandi, saya perlu melihatkan kehebatan saya bersilat dengan baik meski pun saya seorang wanita,” katanya.

Dalam pada itu, Zaidi Omar juga wajar mendapat pujian sementelah berjaya menginterpretasikan wataknya sebagai Said Saaban dengan baik.

“Menjadi Said Saaban memerlukan saya menjadi dua orang berbeza pada masa sama. Ini kerana dalam baik saya mengkhianati Dol Said.

“Jadi agak berat tanggungjawab saya kerana perlukan dua personaliti iaitu baik dan jahat dalam satu karakter,” katanya.

0 analysis:

Catat Ulasan

Translate This Page