Selasa, 20 Januari 2015

[BERITA] Perempuan Politikus Melayu : Amar perkenal benda asing


Sumber : Harian Metro

Jiwa seni Amar Asyraf, 29, yang sentiasa membara terutama dalam bidang teater membuatnya terpanggil untuk mendidik anak muda mengenali dan seterusnya meminati seni persembahan itu.

Lantas Amar yang memiliki diploma dalam jurusan teater pengkhususan pengarahan dari Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) berazam untuk melanjutkan pengajian dalam bidang berkenaan.

Sebagai pendedahan awal, Amar mendapat tawaran menjadi pensyarah sambilan mengajar teater di Jabatan Drama Universiti Malaya (UM) selama empat bulan dan dalam jangka masa itu, dia menggunakan setiap ruang yang ada untuk mencurahkan ilmunya kepada pelajar di fakulti berkenaan.

Baru-baru ini, Amar bersama dua lagi penggiat teater, Mardiana Ismail dan Megat Sharizal berganding bahu mengarahkan teater berjudul Perempuan Politikus Melayu berkonsepkan 'site specific theatre' yang dulunya dikenali sebagai 'environmental theatre' di Rumah Kakitangan, UM, Petaling Jaya.

Menjelaskan konsep teater yang agak asing itu, kata Amar, ia diperkenalkan aktivis teater dari Amerika Latin bernama Arthuro Boal itu asalnya dibuat di luar dan sebab itu ia dinamakan 'environmental theatre'.

"Bagaimanapun sekarang pementasan seperti itu ada juga yang dibuat dalam premis perniagaan seperti di kedai buku, dalam pejabat dan rumah. Lantas dengan perubahan itu, ia dinamakan 'site specific theatre'. Teater ini tidak perlu dipentaskan dalam dewan atau panggung khas.

"Kewujudan konsep teater ini sudah lama namun ia tiada dalam silibus pengajian teater di pusat pengajian tinggi. Teater sebegini mendekatkan pelakon dengan penonton kerana orang ramai boleh berlegar-legar di sekitar tempat pementasan dan turut dapat merasai kemeriahan teater itu.

"Ia juga menjimatkan kos sewaan pentas dan sinografi kerana ia boleh dipentaskan di mana saja seperti teater Perempuan Politikus Melayu ini hanya dibuat di sekitar Rumah Kakitangan UM," katanya.

Menurut Amar lagi, teater sepatutnya dikomersialkan dalam kalangan masyarakat sebagaimana di negara maju di mana penduduk di sana sudah menganggap teater sebahagian daripada budaya mereka.

"Sebagaimana peminat filem yang memenuhi pawagam, begitulah panggung teater di luar negara yang sentiasa padat dengan penonton. Sebetulnya teater sudah wujud pada era 70-an dan 80-an yang dulunya dikenali sebagai pentas bangsawan. Generasi baru sekarang ada yang tidak tahu apa itu teater dan ini amat merugikan," katanya.

Dek kerana minat yang mendalam terhadap dunia teater, pada 2012, Amar bersama isterinya, Arna Salleh, menubuhkan grup teater Projek Ronggeng yang aktif mementaskan teater di pusat pengajian tinggi termasuk di UM dan Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR).

"Sudah 12 teater dipentaskan dan semuanya menggunakan wang saya sendiri. Alhamdulillah, tidak pernah rugi. Setiap kali dipentaskan, penuh dewan. Saya bercita-cita untuk mementaskan teater di Istana Budaya dan sedang mencari naskhah yang hebat," katanya.

Selain itu, Amar bersama rakan-rakannya menubuh satu lagi produksi iaitu Projek Layar yang memfokuskan kepada 'independent film'. Kini mereka sedang menyiapkan filem berjudul Memo Realiti yang mengisahkan satu pembunuhan.

"Filem itu tidak akan ke pawagam sebaliknya kami akan terbitkan dalam bentuk DVD yang berdurasi sejam setengah. Saya mempunyai banyak lagi perancangan lain dan InsyaAllah saya akan berusaha untuk mencapainya sedikit demi sedikit," katanya yang kini sibuk di lokasi penggambaran drama, Syurga Nur.

Translate This Page