Home »
BERITA
» [BERITA] Amar bosan dengan watak sama
|
AMAR (kanan) ketika dalam latihan teater Perempuan Politikus Melayu di Pusat Kebudayaan Universiti Malaya baru-baru ini. |
Sumber : KOSMO - 23 Disember 2014
NAMA jejaka ini mula mewarnai industri hiburan tanah air sejak wajahnya menghiasi kaca televisyen menerusi drama romantis Setia Hujung Nyawa sekitar awal tahun lalu.
Lakonannya sebagai seorang lelaki kaya bernama Zain dan mempunyai karisma diri yang tinggi, benar-benar memberi impak kepada nama Amar Asyraf sehingga dikenali ramai dalam masa yang cukup singkat.
Namun, ketika namanya naik sebagai salah seorang pelakon baharu yang berbakat, jejaka berusia 28 tahun itu tidak mementingkan soal populariti sebaliknya memilih untuk meneruskan hidupnya seperti insan biasa.
Fasa popular yang dikecapnya hanya dalam tempoh yang sebentar cuma. Selepas mendirikan rumah tangga bersama insan tersayang, Arna Salleh, 31, pada 7 Jun 2013, namanya tiba-tiba seakan tenggelam daripada radar dunia hiburan tanah air.
Kelibatnya yang tenggelam timbul dalam kaca televisyen menimbulkan persoalan. Ke mana perginya pemilik nama sebenar Amar Asyraf Zailuddin? Berkesempatan bertemu jejaka kelahiran Masjid Tanah, Melaka itu dalam satu sesi temu bual baru-baru ini, Kosmo! berkesempatan menyelidik serba sedikit perkembangan diri Amar.
Kosmo!: Jika dibilang secara kasar, sudah agak lama penangan fenomena drama Setia Hujung Nyawa meledak dalam radar industri hiburan tanah air. Pastinya peminat tidak akan melupakan watak yang dipegang oleh Amar dalam drama itu. Namun, selepas mendirikan rumah tangga, nama Amar semakin suram. Ke mana menghilangnya anda selama ini?
Amar Asyraf: (Senyum). Saya tidak ke mana-mana. Masih ada berdiri di sini dan masih bernafas sebagai seorang anak seni. Saya tidak pernah senyap daripada radar dunia hiburan. Mungkin, kelibat saya sudah jarang dilihat di layar kaca televisyen menerusi mana-mana drama. Namun penglibatan saya kini lebih menjurus ke arah drama atau filem hasil garapan saya sendiri. Maksudnya di sini, saya kurang mengambil tawaran berlakon daripada produksi lain sebaliknya lebih cenderung untuk menghasilkan sendiri karya saya. Itu dinamakan sebagai naskhah indie. Saya melakukan kerja menulis skrip, pengarahan, pemilihan pelakon dan set lokasi penggambaran semuanya saya uruskan sendiri bersama rakan-rakan seperjuangan ketika menuntut dahulu.
Apakah sebab anda memilih untuk bergerak sendiri dan kurang menerima tawaran daripada produksi lain?
Saya tidak mempunyai apa-apa masalah dengan sesiapa pun pihak dalam industri ini. Setakat ini Alhamdulillah semuanya baik-baik sahaja. Cuma, buat masa sekarang saya lebih selesa memilih untuk bergerak sendiri. Saya kurang untuk menerima tawaran drama daripada pihak lain disebabkan watak yang diberikan kepada saya semuanya sama sahaja. Lelaki kaya, kaki perempuan, lelaki berkarisma dan macam-macam lagi watak yang sudah banyak kali saya pegang dalam drama sebelum ini. Jujur saya katakan, saya sudah bosan dengan semua watak itu. Tiada kelainan.
Saya menceburkan diri dalam dunia hiburan untuk mencari kepuasan. Kalau semua watak saya sama sahaja, jadi di mana kepuasan saya sebagai seorang pelakon? Namun itu bukan bermaksud saya memilih atau sudah pandai demand. Sebaliknya, apa sahaja tawaran yang datang kepada saya, saya tidak kisah tetapi saya nilai melalui watak yang diberi kepada saya.
Boleh ceritakan sedikit apakah hasil buah tangan anda yang terkini?
Walaupun sudah jarang muncul di layar perak, tetapi susunan jadual saya tidak pernah kosong dengan aktiviti lakonan. Saya kini sedang sibuk menjalani penggambaran projek filem sendiri. Penulis skripnya adalah junior saya ketika di Aswara, manakala pengarahnya pula adalah rakan baik saya sendiri, Alif Ihsan yang juga merupakan senior saya. Malah, pada tahun hadapan saya bakal muncul dengan sebuah teater musikal bertajuk Arghh!. Teater ini tidaklah sebesar mana tetapi sekurang-kurangnya saya lakukan perkara yang saya suka.
Adakah itu bermakna anda kini tidak berminat lagi untuk berlakon dengan mana-mana produksi selepas ini?
Bukan begitu. Saya cuma perlahankan sedikit rentak perjalanan lakonan saya menerusi drama, itu sahaja. Bukan bererti saya ingin terus meninggalkan dunia lakonan drama. Sehingga kini pun, saya masih menerima banyak tawaran lakonan. Untuk filem pun saya ada terima tawaran. Cuma, masanya tidak bersesuaian malah banyak lagi perkara lain yang mengekang saya untuk terlibat dengan mana-mana filem setakat ini.
Jikalau mahu kata saya sudah tidak mahu berlakon, itu tidak betul. Buktinya, sekarang pun saya sedang sibuk menjalani penggambaran bagi sebuah drama baharu berjudul Pergilah Airmata. Dalam drama sebanyak 26 episod itu sekali lagi saya akan bergandingan dengan pelakon Nelydia Senrose. Ia bakal disiarkan di stesen TV1.
Beralih kepada kisah peribadi. Bagaimana kehidupan berumah tangga anda sekarang? Ahamdulillah, kehidupan saya seperti biasa. Bahagia bersama isteri dan anak yang kini sudah pun berusia enam bulan. Hidup saya sama seperti orang lain. Walaupun sibuk dengan kerja, tetapi keluarga tetap nombor satu bagi saya. Kehidupan berumah tangga benar-benar buat saya rasa bahagia. Apa yang tambah membahagiakan, sekarang anak saya sudah kenal siapa bapanya (senyum). Selain sibuk dengan kerja produksi, saya dan isteri juga merancang untuk menjalankan perniagaan rekaan lampu tidur bayi dalam masa yang terdekat.
0 analysis:
Catat Ulasan