Jumaat, 19 Disember 2014

[BERITA] Jadi penyiasat 'halimunan' dalam 'Perempuan Politikus Melayu'

Kisah Datuk Zuri dalam teater Perempuan Politikus Melayu menjadi tarikan dalam jalan cerita. - Foto Astro AWANI/HAMZAH HAMID

Sumber : ASTRO AWANI - 19 Disember 2014

KUALA LUMPUR: Sebaik sahaja anda melangkah melepasi pekarangan banglo yang menjadi lokasi pementasan teater Perempuan Politikus Melayu (PPM), tinggalkan identiti anda di luar perimeter.

Putuskan hubungan anda dengan dunia realiti dan bersedialah untuk menjadi sebahagian daripada helaian skrip dan plot cerita ini.

Dalam durasi pementasan lebih kurang dua jam, kisah yang diangkat daripada novel Faisal Tehrani dengan judul sama itu tidak sama sekali memberikan anda peluang untuk sekadar menonton secara pasif atau terlalu relaks.

Sebanyak 18 adegan berlaku serentak di lapan buah lokasi – dari pintu pagar ke sudut halaman, dari sebuah warung ke kawasan pentas acara, dan dari kamar ke kamar yang lainnya di dalam banglo.

Terlebih dahulu, fahamkan bahawa setiap lokasi berkenaan merupakan terjemahan suasana di tempat-tempat tertentu berdasarkan jalan cerita - seperti hotel, pejabat, makmal bedah, bilik bukti, kedai kopi dan persekitaran kampung.

Di setiap lokasi itu, perca-perca drama dilakonkan berulang kali mengikut sela masa tertentu dan penonton secara bebas boleh mengikuti seberapa banyak adegan tanpa mengikut turutan.
Lakonan di ruang terbuka: Bantulah watak Irfan (tengah) yang berusaha membuka helaian cerita dalam misi pembongkarannya. - Foto Astro AWANI/HAMZAH HAMID
Dengan sesiapa sahaja yang anda temui di sekitar banglo itu, jangan cepat membuat andaian bahawa mereka ialah penonton yang sama-sama datang menyaksikan teater seperti anda.

Mungkin individu atau kumpulan yang duduk atau berdiri di sebelah anda nanti, sebenarnya sedang dalam sifat watak tertentu. Barangkali tanpa anda sedari, mereka tiba-tiba beraksi atau mengatakan sesuatu yang 'menyuapkan' pembayang atau klu ke dalam fikiran anda.

Anda hanya perlu diam, amati dan dengar, kecuali sekiranya anda secara tidak langsung ‘ditarik’ ke dalam sesebuah adegan oleh watak-watak tertentu yang meminta anda berinteraksi bersama.

Jika anda rasa tertanya-tanya dan keliru pada awalnya, tidak mengapa, kerana itu sebenarnya penting untuk mencetus semangat ingin tahu. Cetusan semangat itulah yang mahu dibentuk oleh pengarah teater ini demi mencantumkan rentetan peristiwa.
Warung Pak Ajis dan Mak Kiah menjadi magnet penduduk Kampung Jentayu berkumpul untuk mendengar gosip. - Foto Astro AWANI/HAMZAH HAMID
DARI LOKASI KE LOKASI

Ini merupakan sebuah journey theatre yang memerlukan para penonton bergerak sendiri dari satu lokasi ke lokasi yang lain. Idea luar kotak ini dicetuskan pengarah artistiknya iaitu Dr Rosdeen Suboh dan dibantu oleh tiga pengarah persembahan iaitu Amar Asyraf, Mardiana Ismail dan Megat Shahrizal.

Dijayakan barisan pelajar berbakat dari jurusan teater Pusat Kebudayaan Universiti Malaya (UM), setiap adegan menjadi ‘hidup’ di segenap sudut kawasan banglo tersebut dari luar hingga ke bilik-bilik kecil di dalamnya.
Salah satu adegan penting melibatkan watak Jenny yang berlangsung dalam sebuah kamar di tingkat dua banglo. - Foto Astro AWANI/HAMZAH HAMID
Jalan cerita teater ini bergerak berlatarkan kelompok masyarakat Kampung Jentayu yang berdepan dengan permasalahan yang muncul bersama kedatangan seorang tokoh politik.

Penonton juga dibawa berkenalan dengan Irfan iaitu seorang wartawan yang mahu membongkar skandal ahli-ahli politik yang korup dari segi kuasa dan pengaruh memanipulasi manusia.

Maka, anda sebagai penonton, selain terikat dengan plot-plot dalam lingkungan watak-watak utama, akan turut hanyut dalam keriuhan masyarakat kampung yang kuat bergosip dalam cemas dan berekspresi dalam tekanan.

Dari situ semakin dekatlah penonton dengan watak Datuk Zuri dan segala skandal yang terpalit kepadanya seperti isu rampasan tanah, konflik keluarga dan juga pembunuhan.

Selain Irfan dan Datuk Zuri, dekati juga permainan emosi yang disampaikan oleh watak-watak teras seperti Chai Yin, Datin Engku Malini, Haji Chenon dan juga si pelacur kelas atasan bernama Jenny.

Seumpama permainan papan 'Cluedo' yang meminta para pemainnya meleraikan misteri pembunuhan, begitulah juga fungsi penonton teater PPM ini.

Keterujaan tercetus apabila kes pembunuhan dibiarkan berlaku dalam motif yang kabur, maka di situlah peranan penonton teater untuk membantu merungkai segalanya pada akhir pementasan.

Penonton sebenarnya bertindak sebagai penyiasat 'halimunan' dalam teater PPM. Pementasan diakhiri dengan pihak produksi teater PPM mempelawa penonton menyertai forum bagi mengumpulkan pendapat dan pandangan terhadap kemungkinan kesudahan jalan cerita.

Penonton yang mampu ‘menangkap’ seberapa banyak pembayang dalam setiap adegan teater ini, mungkin boleh meneka siapa pembunuh misteri tersebut. Adakah anda bersedia?
Dedikasi dan kesungguhan para pelakon serta tenaga produksi teater Perempuan Politikus Melayu ternyata diuji dari pelbagai aspek. - Foto Astro AWANI/HAMZAH HAMID
TIP MENONTON:

1) Memandangkan durasi pementasan selama dua jam, seseorang penonton tidak akan dapat menyaksikan kesemua 18 adegan. Maka, jika datang bersama teman-teman, elakkan bergerak bersama-sama sebaliknya bertindak bijak dengan berpecah dan membahagikan lokasi adegan. Kemudian, berkongsilah pengalaman sesama sendiri pada penghujung pementasan.

2) Padam atau senyapkan telefon bimbit anda! Ingat, apabila pementasan dimulakan sekitar jam 8.30 malam, gangguan yang tidak sepatutnya daripada deringan telefon bimbit anda sangat merosakkan suasana. Hormati tumpuan orang lain yang mahu memahami jalan cerita.

3) Banyak adegan menarik berlaku di warung Pak Ajis dan Mak Kiah. Selain dapat berinteraksi dengan watak-watak tertentu, anda juga berkemungkinan diajak bergosip dan menikmati hidangan!

4) Walaupun pada kebanyakan masa anda menyaksikan adegan dengan senyap, jadilah penonton yang 'sporting' terutamanya apabila watak-watak tertentu mengajak anda berinteraksi bersama mereka. Ada ketikany,a anda mungkin menjadi pelakon tambahan sebagai penduduk Kampung Jentayu!

***Teater Perempuan Politikus Melayu membuka tirainya malam ini dan akan dipentaskan sehingga 21 Disember 2014. Tiket masuk sudah habis dijual.

0 analysis:

Catat Ulasan

Translate This Page