Jumaat, 2 Januari 2015

[BERITA] Pementasan Teater Perempuan Politikus Melayu


Sumber : Sinar Harian

PEMENTASAN teater Perempuan Politikus Melayu (PPM) anjuran Jabatan Drama, Pusat Kebudayaan Universiti Malaya (PKUM) berjaya memberi pengalaman baharu kepada penonton yang hadir menyaksikan teater tersebut pada minggu lalu.

Pengarah Artistik PPM, Dr Rosdeen Suboh berkata, mengangkat konsep journey theater sudah pastinya pementasan tersebut memberikan lebih kepuasan kepada mereka.

"Bagi segelintir penonton, journey theater adalah perkara baru dalam seni teater yang dipersembahkan.

"Menerusi PPM misalnya, setiap penonton diberi peluang memilih adegan yang dipentaskan selama 10 minit di tujuh lokasi berbeza," jelasnya mengenai teater yang diadaptasi daripada novel hasil penulisan Faisal Tehrani itu.

Pementasan ini mengambil lokasi di sebuah rumah banglo yang merupakan Rumah Kediaman Universiti (RKU). Menariknya, penonton dapat lebih merasai seperti berada di dalam suasana tersebut kerana jarak penonton dengan pelakon lebih dekat.

Malah di akhir pementasan, terdapat forum di antara penonton dan pelakon di mana penonton boleh menyuarakan pendapat dan juga motif berserta bukti siapa yang terlibat dalam konflik karya ini.

"Teater ini turut menyelitkan 18 adegan yang mempunyai keunikan sendiri. Selain menggunakan lebih 100 tenaga kerja, kami turut mengundang tiga pengarah persembahan dari fakulti ini iaitu Amar Asyraf Zailuddin, Mardiana Ismail dan Megat Shahrizal," katanya.

Mengulas lanjut mengenai naskhah PPM, kata Rosdeen, ia berkisarkan mengenai konflik-konflik di dalam dunia politik.

"Antara konflik yang terdapat di dalam teater ini ialah konflik perampasan tanah, konflik keluarga, pembunuhan dan beberapa konflik lain.

"Saya harap menerusi pementasan tersebut ia berjaya menonjolkan simbol dan mesej tersendiri selain konflik politik universal,” katanya.

"Penonton turut dibawa berkenalan dengan watak Irfan iaitu seorang wartawan yang mahu membongkar skandal ahli politik yang korup dari segi kuasa dan pengaruh memanipulasikan manusia," katanya.

PPM mengisahkan Irfan, seorang wartawan akhbar yang mahu menulis sebuah buku yang berkisar tentang ahli-ahli politik yang korup dari segi kuasa dan manipulasi manusia.

Dia meminta bantuan sahabat baiknya, Chai Yin bagi memujuk Jenny, seorang pelacur kelas atasan para politikus untuk menjadi model dan ilham kepada karyanya.

Konflik tercetus apabila Jenny mati dibunuh dan Chai Yin menghilangkan diri secara tiba-tiba.

0 analysis:

Catat Ulasan

Translate This Page