Jumaat, 24 Oktober 2014

Maal Hijrah 1436 H : Perpaduan Nadi Transformasi Negara


ULASAN TEMA

“PERPADUAN NADI TRANSFORMASI NEGARA”

SAMBUTAN MAAL HIJRAH PERINGKAT KEBANGSAAN 1436H / 2014M



Perpaduan

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:

“Hendaklah kamu bersama jamaah dan janganlah kamu berpecah (keluar daripada jamaah)”
(Riwayat at-Tirmizi)

Kejayaan Rasulullah SAW mengukuhkan dua sisi perpaduan iaitu dimensi sesama umat Islam dan pelbagai kabilah, merupakan model perpaduan terbaik dalam kehidupan beragama, bermasyarakat dan bernegara. Bahkan menerusi peristiwa penghijrahan Rasulullah SAW dari Mekah ke Madinah telah membawa kepada satu transisi  peradaban  yang  memacu  transformasi  kegemilangan tamadun manusia. Terasnya adalah kejayaan mempromosi dan melaksana prinsip penerimaan, kenegaraan dan keadilan sosial sehingga berupaya menyusun serta mengatur landskap kehidupan masyarakat yang pelbagai dan mewujudkan konsep Unity in Diversity – perpaduan dalam kepelbagaian.

Prinsip Perpaduan - Penerimaan

Fitrah alam dicipta dalam pelbagai bentuk dan ragam. Namun dalam menjamin kelestarian dan keharmonian hidup, Islam yang tegas dengan prinsipnya turut meraikan kepelbagaian tersebut kerana ia adalah anugerah dari Maha Pencipta. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan suku puak, supaya kamu berta’aruf  dan berkenal-kenalan  (dan beramah  mesra  antara satu dengan yang lain)…”
(Surah al-Hujurat 49:13)

‘Bersatu   teguh,   bercerai   roboh’ - begitulah pepatah   yang   sinonim   dengan perpaduan. Menerusi  firman   Allah   SWT  di   atas   jelas   bahawa   Islam   amat menekankan persefahaman dan perpaduan antara kaum dan agama demi kepentingan bersama. Konsep ta’aruf dalam kemajmukan iaitu sentiasa mengikis prasangka dan salah faham serta saling menerima mampu mencerna masyarakat bernegara yang bersatu padu. Di samping itu, rakyat mestilah berusaha mencari persamaan dan mengecilkan perbezaan. Sekiranya sensitiviti itu berjaya diurus dengan pertimbangan toleransi, persefahaman dan penerimaan sepenuhnya, maka ia mampu memperkukuhkan perpaduan sedia ada sehingga mampu digembleng menjadi kekuatan dan nadi kepada transformasi sebuah Negara.

Prinsip Perpaduan - Kenegaraan

Piagam Madinah merupakan dokumen pertama yang menjadi asas kepada urus tadbir sebuah negara. Kejayaan Rasulullah SAW ini telah menghasilkan suasana kehidupan  rakyat  yang  menitikberatkan hal  persaudaraan  dan  bersatu  padu menjaga negara. Dalam konteks sebuah negara berdaulat yang memiliki komuniti majmuk dan berlatarbelakang rakyat pelbagai, Rukun Negara dan Perlembagaan Persekutuan merupakan punca kuasa dan rujukan terpenting dalam usaha menjamin hak-hak kepelbagaian tersebut. Selain itu, kestabilan politik dalam urus tadbir negara turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh kuasa tenaga penyatuan berteraskan persefahaman, kerjasama, perundingan dan persetujuan. Pendekatan eksklusif dan inklusif yang dijadikan mekanisme dalam meraikan kepelbagaian, telah berjaya menghasilkan suasana perpaduan, saling menghormati dan bertoleransi yang menghiasi kehidupan bermasyarakat seterusnya menjadi nadi kepada perubahan yang lebih baik. Natijahnya, kesejahteraan hidup  terpelihara, semangat patriotisme rakyat meningkat serta imej keselamatan dan keamanan negara dapat diperkasakan.

Prinsip Perpaduan - Keadilan Sosial

Islam adalah agama keadilan dan kesaksamaan. Peristiwa peletakkan ‘hajarul al- aswad’ membuktikan bahawa Islam membawa mesej keadilan yang menjamin kesejahteraan hidup. Pelaksanaannya juga merangkumi segenap aspek kehidupan yang meliputi ekonomi, politik, sosial dan pelbagai lagi serta merentasi segenap lapisan masyarakat tanpa diskriminasi. Di samping itu, kebertanggungjawaban, penzahiran dan ketelusan serta imbangan merupakan asas nilai dan etikanya. Dalam hal ini, komitmen individu dan pemerintah sangat penting sebagai penentu kejayaan dalam usaha  merealisasikan misi  tersebut. Sesungguhnya masyarakat yang mengerti mahalnya harga perpaduan tidak akan membuat tuntutan yang melampau sehingga mencetuskan riak-riak permusuhan. Sebaliknya, masyarakat yang cintakan perpaduan dan keamanan adalah masyarakat yang akan meletakkan kepentingan negara melebihi kepentingan kelompok dan kepartian. Natijahnya, nilai integriti jadi budaya, kejayaan yang dikecapi dapat dinikmati secara bersama dan kemakmuran dapat dikongsi dengan lebih meluas.

Perpaduan Nadi Transformasi Negara

Hakikatnya, keunikan negara Malaysia adalah kerana kemajmukannya. Kontrak sosial, latar belakang sejarah dan perlembagaan negara perlu menjadi kerangka perpaduan dalam membina 1Ummah yang hebat dan mampu memacu tranformasi negara. Dalam mendepani cabaran global, usaha untuk melaksanakan ketiga-tiga prinsip tersebut dalam menghasilkan kestabilan politik, kemantapan ekonomi dan pembangunan modal insan, seharusnya dijadikan agenda transformasi utama dan indikator kepada dimensi sebuah negara maju yang seimbang. Ia selari dengan kehendak maqasid al-syariah yang bersifat sejagat berteraskan maslahah, keadilan dan berhikmah serta mempunyai tujuan yang amat jelas.

Sesungguhnya kesejahteraan negara menuntut integrasi, keikhlasan dan komitmen semua pihak dalam memastikan semangat perpaduan dan kesefahaman terus segar. Bahkan ia dibina di atas landasan kesederhanaan, kesantunan dan kesatuan dengan satu matlamat ke arah kemajuan dan pembangunan seimbang yang menatijahkan ‘Baldatun Toyyibatun Warabbun Ghafur’.


0 analysis:

Catat Ulasan

Translate This Page