Isnin, 2 Julai 2012

Sepanyol Juara EURO 2012 Cantas Itali 4 - 0

SEPANYOL JUARA EURO 2012

Perlawanan akhir Euro 2012 yang baru sahaja selesai sebentar tadi menyaksikan Sepanyol menjulang trofi kejuaraan buat kali kedua berturut-turut selepas menewaskan Itali 4-0 di final.

Sepanyol yang turun dengan status juara bertahan masih mengekalkan corak permainan seperti sebelumnya dengan hantaran-hantaran pendek yang menarik.

Sepanyol mengasak kubu Itali seawal minit pertama lagi menerusi gandingan Xavi, Iniesta, David Silva dan Fabregas yang diletakkan sebagai penyerang dibahagian atas.

Sepanyol tidak menunggu lama untuk meledak gol selepas gandingan David Silva dan Fabregas berjaya menembusi pertahanan Itali. David Silva menanduk masuk bola hantaran Cesc Fabregas pada minit ke 13 untuk memberikan gol pendahuluan buat Sepanyol.
GOL PERTAMA TANDUKAN DAVID SILVA
Tersentak dengan jaringan itu, Itali cuba untuk melancarkan serangan dengan melakukan hantaran jauh. Pada minit ke 23, Antonio Cassano hampir menyamakan kedudukan namun bola rembatannya berjaya ditangkap kemas oleh penjaga gol Sepanyol, Iker Casillas.

Itali selepas itu terus melancarkan serangan,dengan penguasaan bola dilihat berpihak kepada mereka sehinggalah pada minit ke 41, menerusi satu serangan balas pantas, Sepanyol berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Jordi Alba.

Xavi Hernandes dengan bijak melorongkan bola ‘through ball’ kepada Jordi Alba yang meluru pantas ke dalam kotak penalti sebelum melepaskan sepakan menewaskan Gianlugi Buffon pada minit ke 41 meletakkan Sepanyol selesa 2-0 di hadapan sehingga tamat separuh masa pertama.
JORDI ALBA MERAIKAN GOL JARINGANNYA PADA MINIT KE 41
Memasuki babak kedua, Itali membuat pertukaran memasukkan Di Natalie dan mengeluarkan Cassano. Di Natale hampir menyamakan kedudukan pada awal babak kedua, namun tandukannya melewati palang gol.

Selang 2 minit kemudian, pada minit ke 48, Fabregas berjaya mengelecek 3 pertahanan Itali dan melorongkan bola ke arah David Silva betul-betul dihadapan Buffon, namun Abate muncul untuk mengeluarkan bola sebelum sempat David Silva untuk menolak masuk bola tersebut.

Sepanyol hampir memperolehi sepakan penalti pada minit ke 52,bola tandukan Sergio Ramos terkena tangan pemain Itali, Bonucci, namun pengadil tidak memberikan sebarang sepakan penalti biarpun dibantah oleh pemain Sepanyol.
THIAGO MOTTA DIUSUNG KELUAR AKIBAT KECEDERAAN
Thiago Motta yang masuk menggantikan Montolivo mengalami kecederaan hamstring pada minit ke 61 dan diberikan rawatan. Namun beliau terpaksa bermain sehingga tamat perlawanan kerana Itali telah pun menggunakan kesemua 3 pertukaran mereka.

Andrea Pirlo kelihatan tenggelam di separuh masa kedua ini. Dengan kecederaan yang dialami Motta, Mario Balotelli terpaksa turun sedikit ke bahagian midfield untuk membantu bahagian tengah, dan membiarkan Di Natale keseorangan di hadapan. Sepanyol menggunakan kesempatan ini dengan sebaiknya.

Fernando Torres masuk menggantikan Fabregas pada minit ke 76 berjaya meledak gol ketiga Sepanyol hasil gerakan menarik bersama Xavi pada minit ke 84.

Itali dilihat seakan terus berputus asa dengan gol ketiga Sepanyol itu, dan Juan Mata yang masuk menggantikan Iniesta pada minit ke 86 berjaya menjaringkan gol keempat Sepanyol biarpun berada tidak sampai 1 minit di atas padang.
PEMAIN SEPANYOL MERAIKAN KEJAYAAN 4-0 KE ATAS ITALI
Penguasaan bola yang ditunjukkan Sepanyol jelas gagal dibendung oleh pemain Itali. Sukar untuk bermain apabila bola sentiasa berada di kaki pihak lawan.

Keputusan 4-0 berpihak Sepanyol kekal sehingga tamat perlawanan. Sepanyol akhirnya menjulang sekaligus mempertahankan trofi Kejuaraan Euro buat kali kedua berturut-turut selepas melakukannya pada 2008.
KEKECEWAAN PEMAIN ITALI SELEPAS TAMAT PERLAWANAN AKHIR

1 ulasan:

  1. JOIN yuk! Ajak geng-2 sekali... :) http://sujuelfarahin.blogspot.com/2012/07/1st-segmen-by-elfarahin.html

    BalasPadam

Translate This Page