Isnin, 20 Februari 2012

A Di Nos (Aku, Dia dan Nostalgia) [Part 3]




 


Lima hari selepas peristiwa di Bandar J, aku perlu menghadiri tuisyen yang ditaja oleh Yayasan Al-Bukhari. Subjek pada petang itu ialah Biologi. Kelas pada petang itu diisi dengan teknik menjawab yang disampaikan oleh penceramah luar. Aku datang agak awal. Aku tidak dapat fokus kepada ceramah hari itu. Mana mungkin aku dapat fokus jika hati sedang resah, akal melayang memikirkan mesej tengah hari tadi. Aku berperang mesej dengan Ayu. Memang aku yang bersalah, aku terus-menerus bertanya tentang dirinya sampai dia rasa tertekan. Aku memang tak patut buat seperti itu. Puas aku meminta maaf barulah dia memaafkan aku. Itu pun selepas aku berpantun dan hampir tiba waktu berbuka puasa.

Aku masih lagi rasa bersalah walaupun dia telah memaafkan aku semalam. Hari ini kami sama-sama mengambil keputusan untuk berlakon seperti kawan yang tidak pernah jumpa dan kenal. Aku tidak pernah jumpa dan kenal Ayu, Ayu tidak pernah jumpa dan kenal aku. Kami akan sama-sama mendoakan kejayaan kami. Aku mendoakan dia, dia mendoakan aku. Aku yang mulakan dulu biarpun hati kecil ini tidak merelakan. Tapi apakan daya tangan sudah menekan punat-punat telefon bimbit dan menu ‘hantar’ telah pun ditekan. Mungkin mesej itu yang dinanti-nantikannya selama ini. Tatkala mesej daripada Ayu tiba, air mata yang berlinangan tidak dapat ditahan lagi lalu mengalir deras dipipiku. Mungkinkah itu mesej yang terakhir daripadanya?

“Hilangnya cintamu menusuk hatiku,
Perginya dirimu merobek jantungku,
Hinggaku terjatuh dalam harapan...”

Cuti sempena Hari Raya Aidilfitri kini menjelang tiba. Semua umat Islam berasa gembira terutamanya bagi mereka yang tidak tinggal bersama ibu bapa di kampung. Begitu jugalah budak-budak asrama. Kami juga berasa gembira. Dua hari sebelum raya aku cuba mesej kepada  Ayu. Asalnya aku cuma ingin ucap Selamat Hari Raya saja, tapi dia pula menyamar sebagai orang lain. Seperti mesej yang lepas. Kali ini dia menyamar sebagai Refa Dania pula. Walaupun dia tak mengaku, aku boleh tahu itu adalah Ayu kerana gaya mesejnya. ‘Refa Dania’ tanya apa hubungan aku dengan Ayu. Soalan yang amat sukar dijawab. Hanya dia saja yang tahu apa hubungan sebenar kami. Jadi tidak perlulah aku menjawab soalan itu. Dari situ juga aku dapat tahu bahawa dia jenis yang macam mana. Kalau dia setia dengan seseorang lelaki, dia akan setia sesungguh-sungguhnya. Tapi kalau seseorang lelaki itu tak setia dengannya, dia akan kenakan lelaki itu sepuluh kali ganda perbuatan lelaki itu.

Hari ini adalah hari yang telah aku rancangkan. Tapi tak tahulah sama ada akan berhasil atau tidak kerana aku hanya merancang tapi Dia yang menentukan. Sedang aku menulis mesej ucapan hari lahir untuk dihantar kepada Ayu pada masa yang ditetapkan, aku tertekan punat ‘hantar’. Jadi, mesej itu pun terhantar awal dari masanya. Mesej itu sepatutnya dihantar pada jam 0000, 19 Oktober 2009 tapi terhantar pada jam 1940, 18 Oktober 2009. Seminit kemudian, dia mengucapkan terima kasih sebab wish kepadanya. Keesokan malam, setelah pulang ke asrama, aku mengirimkan kad hari jadi kepada Ayu. Kad tersebut telah lama aku hasilkan terutamanya gambar pemandangan kampung yang disukainya. Aku melukisnya sendiri dengan tunjuk ajar temanku, Fiq (bukan nama sebenar). Fiq merupakan sifu aku dalam seni lukis. Alangkah gembiranya apabila aku dapat mengetahui bahawa Ayu memuji lukisan itu. Dia berkata lukisan itu sungguh cantik. Aku dapat tahu pun melalui kawan sebayaku, Mai (bukan nama sebenar). Dia beritahu aku, Ayu kata “eee... cantiknya...” apabila melihat lukisan itu.

Tiga hari selepas hari jadinya, sekolah mengadakan Hari Kokurikulum yang menjadi antara program besar sekolah. Pada hari tersebut semua pelajar hanya memakai pakaian sukan sahaja kecuali yang terlibat dengan Majlis Hari Anugerah Kokurikulum. Terdapat juga gerai jualan yang kebanyakannya diselia oleh pelajar. Aku terlibat dalam kedua-dua acara tersebut. Aku perlu membaca doa untuk Majlis Hari Anugerah Kokurikulum lalu terus ke gerai jualan kerana aku dan beberapa orang kawan lagi perlu mengendalikan gerai ‘Islamic Corner’ yang dicipta oleh Kelab Kebudayaan Islam. Antara jualan kami ialah bebola ayam, bebola ketam, daging burger dan hotdog. Pada hari itu jugalah aku dapat tahu jenis darah aku. Itu pun melalui menderma darah. Kumpulan darah aku adalah kumpulan O+, kumpulan darah yang boleh menderma kepada semua kumpulan darah. Hari itu juga aku dapat lihat Ayu, pelajar perempuan yang cantik berbeg merah jambu berkali-kali. Aku lihat matanya seperti melirik ke arah tempat aku berada. Aku melihat keliling, takut dia melirik kepada orang lain. Ialah takut aku yang gila bayang. Tapi tiada siapa pun yang terlibat dalam peristiwa itu. Apabila aku merenung matanya, dia tidak beralih sedikit pun. Apakah aku sedang bermimpi? Rakaman peristiwa itu tidak akan aku padam daripada memori ingatanku. Tiada mana-mana kamera pun yang dapat merakam peristiwa itu dengan baik sepertimana mataku sendiri dan tiada mana-mana memori pun yang dapat menyimpan peristiwa ini dengan baik melainkan otak aku sendiri.

Hari terakhir bulan ini, asrama kami mengadakan jamuan akhir tahun di Hotel H V di Bandaraya A S. Jamuan ini mungkin merupakan jamuan yang terakhir untuk aku bersama warga asrama. Ada antara penghuni asrama yang membuat persembahan termasuklah aku. Aku dapat lihat dia dari dekat hari itu. Aku berada betul-betul belakang dia satu ketika dalam majlis itu. Sungguh ayu wajahnya apabila ditatap dekat. Semalam, sepupunya hantar mesej. Ayu juga ada di sebelah sepupunya. Pada akhir mesej aku meminta sepupunya menyampaikan salam aku kepada Ayu dan beritahu akan jumpa lagi di hotel esok. Mesej itu dibalas oleh Ayu seperti ini, “Ok…kta jmpe kt hotl eck taw..”. Aku berfikir perlukah aku berjumpa dengan dia atau itu mesej yang biasa saja?

Hari ini merupakan hari keluar ke pekan atau lebih dikenali dengan perkataan outing yang terakhir untuk penghuni asrama lelaki. Tapi sebelum dibenarkan outing semua wisma atau dorm perlulah dalam keadaan kemas dan bersih terlebih dahulu. Hari operasi pemeriksaan kebersihan dilakukan secara silang. Pengawas aspura akan memeriksa blok aspuri manakala pengawas aspuri akan memeriksa blok aspura. Semasa sedang menjalankan pemeriksaan, seorang rakan pengawas memanggil aku. Rupanya dia jumpa gambar gadis yang aku sukai tidak memakai tudung. Hati aku ketika itu bercampur baur. Gembira? Marah? Kenapa dia tidak menutup aurat ketika bergambar?

18 November 2009. Tarikh yang agak menakutkan. Hari ini bermulah peperiksaan SPM dan STPM. Selain daripada kami, penghuni yang tidak terlibat dengan peperiksaan telah  dibenarkan pulang ke rumah. Subjek pada hari itu agak senang kerana aku boleh menjawabnya dengan mudah. Petang itu, aku dengan Ayu berkomunikasi melalui mesej kerana dia sudah pun pulang ke rumah. Aku beritahu dia tentang peristiwa empat hari yang lepas, semasa pemeriksaan aspuri, tentang gambarnya yang tak pakai tudung. Dia malu mendengar cerita aku tentang perkara itu.

Tiga minggu berturut-turut pada hari Rabu, aku bermimpi tentang Ayu. Mungkin disebabkan aku terlalu memikirkan dirinya. Mimpi Rabu pertama berlaku dalam wisma E. Ketika aku sedang bersiap-siap untuk ke sekolah dalam bilik itu, dia datang bersendirian meletakkan surat dalam loker aku yang berada di depanku. Dia memandang aku dengan senyuman terukir manis di bibirnya. Mimpi Rabu kedua pula berlaku di suatu tempat yang tidak diketahui aku. Aku ialah seorang kesatria. Ayu ialah puteri. Aku perlu bertarung untuk menyelamatkan dia daripada seekor naga yang besar dan aku berjaya menyelamatkannya. Mimpi Rabu yang ketiga pula berlaku dalam dua suasana iaitu suasana Hari Anugerah Cemerlang dan Hari Raya Korban. Ketika Hari Anugerah Cemerlang aku datang lewat ke dewan, lampu dewan belum dibuka. Apabila tiba saja di dewan aku terus ke bilik P.A System untuk buka lampu dewan. Ketika itu aku lihat Ayu sedang memerhatiku bersama sekuntum senyuman. Dalam suasana Hari Raya Korban pula aku menjadi salah seorang penyembelih lembu. Ketika sedang menyembelih, aku rasa ada seseorang tengah memerhatikan aku. Setelah selesai urusan itu, aku berpaling ke belakang dan apa yang aku rasai itu memang betul kerana Ayu sedang memerhatiku. Aku tidak tahu apa maksud mimpi-mimpi yang muncul pada tiga hari Rabu yang berturut-turut. Mungkin ada maksudnya, mungkin hanya mainan tidur. Hanya Dia Yang Maha Mengetahui dan Dialah saja yang tahu apa maksudnya.

Aku tidak pasti sama ada tahun depan aku dapat berjumpa dengan dia atau tidak. Tahun ni aku sudah tingkatan lima. Mungkin tahun ini merupakan tahun terakhir aku tinggal di asrama. Banyak juga gelaran yang aku terima sepanjang aku tinggal di asrama. Antaranya ialah, Shinichi, Conan, Bionik atau robot. Banyak kenangan yang tak dapat aku lupakan pada tahun ini. Adakah ianya akan jadi kenangan selama-lamanya atau ianya mempunyai sambungannya lagi?

©©©                         ©©©
©               ©             ©              ©
©                  ©    ©                  ©
©                 ©                 ©
©                          ©
©              ©
©     ©
©

Selama ini pemuda tersebut tidak pernah segembira itu. Dia sering tertekan dengan keluarganya. Tidurnya, makannya, mandinya serba serbi salah. Makan terpaksa, tidur terpaksa malah main pun terpaksa. Apabila tiba waktu petang, dia akan mengayuh basikal buruknya meronda ke mana saja basikal itu membawanya seperti orang gila. Jika tidak keluar, dia akan terpuruk di dalam bilik sahaja. Dia hanya ada kawan di asrama dan sekolah. Apabila pulang ke rumah dia keseorangan, tiada teman, tiada kawan. Tapi, semenjak kehadiran seorang gadis dalam hatinya, hidupnya telah berubah. Dia penuh bersemangat, tidak mudah putus asa dan berani tanpa kenal erti takut. Dia tidak lagi berkelakuan seperti orang gila. Disangkakan panas sampai ke petang, rupanya hujan ditengah hari. Dia kembali seperti dulu setelah gadis itu pergi. Malah lebih teruk daripada sebelumnya. Walaupun dia sudah berusaha untuk melupakan gadis tersebut, dia tetap gagal. Gagal untuk melupakan gadis tersebut. Hendak diceritakan kepada keluarga, dia dengan keluarganya sendiri memang tidak rapat daripada dulu lagi. Hendak diceritakan kepada teman-temannya, dia tahu pasti sindiran akan diterimanya. Lalu, dia terus simpan masalah itu kepadanya. Dia tidak tahu bagaimana dia nak mulakan hidup baru. Dia cuba cari orang yang boleh dipercayai untuk diluahkan segala masalah tetapi tiada. Kata orang masalah yang dipendam, lama kelamaan akan meletus jua seperti gunung berapi. Apabila meletus, tidak tahu apa yang akan terjadi padanya. Kini, dia mengalami ketidakseimbangan kimia dalam otaknya. Dia nampak perkara-perkara yang tidak pernah dia nampak. Apabila dia memejamkan matanya, dia berada di tempat yang lain. Walupun hanya sebentar dia memejam. Dia juga suka berada dalam kegelapan. Semakin gelap semakin bagus baginya. Dia juga selalu membisu. Terutamanya di rumah. Dia juga semakin jauh daripada Tuhannya, semakin membenci dirinya dan orang kelilingnya. Sikapnya berubah menjadi panas baran. Tidurnya juga menjadi terbalik. Dia lebih suka tidur di siang hari. Itupun, hanya sebentar. Di sebelah malamnya pula dia akan berjaga. Dia juga akan bermimpi setiap kali tidup walaupun tidur hanya sebentar. Entah sampai bila dia akan begini. Dia juga sering bertanya sendirian kenapa dia tidak pindah ke SM Teknik pada tahun 2008. Kalau dia berpindah, sudah tentu semua masalah tidak akan timbul. Sampai bila dia akan memendam masalah ini? Sampai bila dia akan menyimpannya di dalam lubuk hati yang paling dalam? Kadang kala dia rasa mahu tinggal di dalam hutan saja. Berkawan dengan haiwan-haiwan. Dia terfikir satu cara yang mungkin berkesan untuk lupakan gadis tersebut. Caranya ialah hilang ingatan. Dia berharap ada orang akan memukul kepalanya sehingga dia hilang ingatan sekaligus memadam memori tentang gadis tersebut.

©©©©©©© ©©© ©©©©©©©




Tanpa aku sedari, jam sudah pun menunjukkan pukul 12 tengah malam. Hujan pun sudah lama berhenti. Aku terus menutup buku yang kucoretkan kisah pemuda tadi dan terus menuju ke bilik air untuk membasuh kaki dan berwuduk lalu merebahkan badanku di atas katil kayu usangku. Sebelum tidur, hatiku berbisik, “cerita ini belum selesai...
Lukisan pemandangan kampung yang dilukis oleh pemuda itu kepada Ayu sempena hari lahir gadis itu
 

Translate This Page