Isnin, 20 Februari 2012

A Di Nos (Aku, Dia dan Nostalgia) [Part 2]





   


©©©©©©© 17 & 14 (2009) ©©©©©©©

Umurku meningkat lagi setahun. Seperti tahun-tahun yang lepas aku masih menghuni asrama. Kali ini merupakan tahun kelima aku tinggal di asrama. Tahun ini juga merupakan tahun penting dalam kehidupan  pengajian aku. Aku akan menduduki SPM pada tahun ini. Aku perlu bersungguh-sungguh pada tahun ini. Aku tidak mahu abah dan mak kecewa lagi. Setelah Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menegah Rendah (PMR), aku tidak berjaya dengan cemerlang, aku perlu membayarnya semula pada tahun ini. Apa yang sudah berlalu biarlah terus berlalu. Usah dikenang lagi. Seperti lirik lagu P.Ramlee, ‘ barang yang lepas jangan dikenang, jika dikenang pasti menangis ’. Tapi aku perlukan peransang untuk belajar. Jadi aku jadikan Ayu sebagai pendorong aku. Surat pertama Ayulah yang menjadi pembakar semangat aku. Kerana aku akan gembira apabila membacanya semula. Setiap masa aku berdoa agar aku berjaya dalam SPM kali ini, berdoa agar Ayu juga berjaya dalam PMR dan berdoa agar hajat aku tercapai. Walaupun dia suka orang lain tapi aku tetap menanti walaupun penantian itu merupakan suatu penyeksaan. Doaku setiap hari ialah agar dia adalah jodoh aku kerana aku tak pernah jatuh cinta sampai begini, terus memburu walaupun diriku ditolak.

Sesuatu yang sering aku  ingat pada masa cuti telah muncul di depanku. Aku telah mendaftar untuk masuk ke asrama bagi kali yang kelima. Dia juga masih lagi tinggal di asrama untuk tahun itu. Aku kembali bersemangat kerana orang yang menjadi batu loncatanku masih boleh aku temui. Rinduku terubat juga setelah sebulan tidak mendapat khabar daripadanya. Aku berfirasat bahawa tahun ini merupakan tahun yang paling mencabar dan menguji kesabaran.

Entah kenapa setelah beberapa hari tinggal di asrama tanganku mencoret sesuatu lalu mengirimnya kepada seseorang. Tapi alangkah hancurnya hatiku setelah mengetahui warkah yang aku kirim dengan hati yang telus dikoyakkan di hadapan rakan-rakannya. Aku dapat mengetahuinya lebih kurang pada pukul 9 malam hari selepasnya, 5 Januari 2009. Hati dan fikiran aku hanya memikirkan peristiwa itu sejak hari itu. Tiga hari selepas itu, aku hampir tidak boleh berjalan. Lutut aku terhentak dengan lutut rakan sepermainan semasa bermain bola. Sejak hari itu juga aku mendapat berita bahawa dia tidak mahu lagi mendengar apa-apa lagi dariku. Kenapalah cubaan datang bertubi-tubi kepadaku? Aku hanya mampu memerhatinya dari jauh saja. Apabila dia menyedarinya, dia akan menggunakan haluan yang lain. Tapi entah kenapa dimana sahaja dia berada aku akan dapat merasainya. Aku bukanlah ada apa-apa kuasa istimewa pun untuk mengesan kedudukan seseorang. Sebulan sebelum Valentine, aku hampir terlanggarnya semasa di pintu dewan makan asrama. Aku dari dalam mahu keluar, dia pula mahu masuk ke dalam. Apakah ini satu kebetulan? Atau ketentuan? Atau satu cubaan?

Selepas hari itu, aku menerima satu lagi cubaan. Dia menghantar warkah buat aku. Insan lain mungkin gembira menerima warkah daripada gadis kegemarannya, tetapi aku tidak begitu. Pada mulanya aku hanya berpura-pura tidak gembira menerima warkah itu. Tapi selepas membacanya, memang patut pun aku berkelakuan begitu. Warkah itu merupakan warkah yang membuat aku sedih. Dia meminta aku tidak lagi memandangnya, melupakan dia, dan dia mengugut akan pindah sekolah kalau aku masih mengulanginya. Dia juga mahu aku menangis dan bersedih. Dia berkata, jika aku tidak sedih berlakonlah sedih. Kalau orang tanya dia suruh aku berbohong bahawa habuk masuk mataku. Sampai hatinya buat aku begini. Namun aku masih punya hati yang tabah untuk  menghadapinya. Aku tidak akan bersedih di khalayak ramai. Biarlah aku sengsara sendiri. Mungkinkah cintaku cukup sampai di sini?

Program tahunan asrama ialah orentasi, program yang dilakukan oleh penghuni senior kepada junior. Peserta orentasi tahun ini ialah penghuni asrama tingkatan 1 hingga tingkatan 3 dan penghuni baru. Dia juga termasuk sebagai peserta orentasi. Aku akan pastikan orentasi kali ini sebagai peluang untuk aku dekatinya semula. Orentasi kali ini berlangsung selama seminggu iaitu minggu pertama bulan Februari. Acara yang aku tunggu dalam orentasi kali ini ialah ‘Malam Si Buta dan Burung Hantu’ iaitu malam kedua terakhir program. Aku mencuba untuk bercakap dengannya walaupun aku masih ada sedikit rasa takut. Takut untuk bercakap dengan gadis kesukaan kita. Takut yang bercampur malu. Meskipun sudah berada di sebelahnya lidahku seakan-akan kelu untuk berkata-kata waima dulu aku sudah merancang banyak soalan, menyusun kata untuk diluahkan pada malam ini. Setelah aku beroleh kekuatan untuk berkata-kata, dia pula diam seribu bahasa biarpun aku dibantu oleh Fazy (bukan nama sebenar).

Dia merupakan seorang atlet sekolah. Aku percaya dia mampu menjaga dirinya kerana cubaan seorang atlet amatlah sukar. Seseorang atlet perlu menjaga disiplin, tingkah laku, pemakanan, kesihatan dan pemakaian di samping menjaga aurat bagi atlet Muslim. Lima hari selepas hari orentasi, dia menyertai acara lumba lari 800 meter perempuan. Aku cuba memberi sokongan kepadanya tapi secara tidak sengaja aku terlihat auratnya, tempat yang tidak sepatutnya aku lihat. Malam itu aku hanya dapat mengutus surat sebagai pengganti diri untuk menegur tentang penjagaan aurat dan meminta maaf sebab ternampak auratnya. Aku bukanlah baik sangat. Tapi entah kenapa aku rasa bersalah kalau tidak meminta maaf tentang hal itu. Pada keesokan harinya, alangkah terkejutnya aku apabila dikhabarkan surat aku semalam ditayang kepada penghuni-penghuni asrama yang lain. Memang salah aku juga kerana menghantar surat berupa begitu. Aku tak patut melukis apa yang aku nampak dalam surat semalam. Aku juga tak tahu apa motif dia hebohkan surat itu. Sedangkan surat itu ada gambaran apa yang aku nampak tentang dirinya.

Hari ini, 14 Februari 2009. Pasangan yang sedang berada di Alam Percintaan (dAP) pasti mengingati tarikh ini. Pelbagai hadiah diberi kepada kekasih masing-masing. Sedangkan sambutan ini haram di sisi Islam. Walaupun ramai yang menyambut dan menantikan tarikh ini, aku tidak suka dengan tarikh ini, atau dalam erti kata yang lain, aku membenci tarikh ini. Jika boleh aku tidak mahu langsung melalui tarikh ini. Tarikh ini merupakan satu tarikh yang akan aku ingat sepanjang hidupku. Tarikh aku menerima surat ‘sakit hati’ daripada Ayu. Walaupun aku membenci kehadiran surat itu, aku amat berterima kasih kepadanya kerana surat itu telah membuat aku benci sepenuhnya kepada hari Valentine. Dalam surat itu terdapat serangkap lagu.

“ Dihati ini hanya Tuhan yang tahu,
Dihati ini aku meluat padamu,
Tulus hatiku katakan,
Betapa aku rimas sekali...”

Pada akhir surat itu terdapat satu nota yang menambah luka dihatiku, dia menyuruh aku bersedih seperti surat yang lepas. Tapi kali ini dia tidak suruh berlakon, dia hanya menyuruh aku ‘tenyeh’ cili pada mataku, jika tiada cili disuruh minta pada dewan makan asrama. Saat itu, aku berkata betapa kejamnya hatimu. Aku ikhlas menegurmu, tapi ditolak terang-terangan. Emosi aku pada hari itu menjadi tidak stabil. Walaupun permulaannya aku tidak mahu membalas surat itu, akhirnya aku tetap membalasnya. Aku menulis pelbagai jawapan yang tidak sepatutnya aku tulis. Selepas mengirimnya, barulah aku tersedar bahawa aku tidak patut emosi dengannya. Tapi kini sudah terlambat. Alhamdulillah, dia membalas surat itu. Isi surat itu ialah, dia minta maaf sebab sakitkan hati aku, dan meminta aku tidak berharap kepadanya serta tidak mahu aku kecewa dengannya. Ayu juga tidak mahu kami berdendam, ini adalah untuk kepentingan kami juga. Dia juga mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih kerana menegur dia demi kebaikan dan meyatakan itu adalah surat yang terakhir. Dalam surat itu juga dia sempat memberi semangat kepadaku supaya aku skor dalam SPM. Surat itu membuat aku amat terharu dengan kebaikannya. Sememangnya aku tidak layak untuk bersamanya kerana dia jauh lebih baik daripadaku.

Di asrama aku juga bergiat dalam nasyid. Pada tahun ini, asrama tempat aku menghuni telah  dinobatkan sebagai ‘Juara Nasyid Gerkorama Peringkat Daerah Kubang Pasu 2009’ pada 28 Februari 2009. Walaupun aku tidak menghubunginya lagi, aku masih mendapat khabar tentang dia. Kali ini aku dapat satu lagi maklumat tentang dia. Kenapa dia digelar ‘Jelita’ dalam kalangan aspuri. Ini kerana fesyen rambutnya serupa dengan Agnes Monica dalam sinetron ‘Jelita’. Satu lagi peristiwa yang tidak dapat aku lupakan ialah peristiwa kilat. Pada suatu malam aku, Danny, dan Akmal (bukan nama sebenar) pergi ke belakang bilik dobi asrama untuk mengangkat tong hitam yang disuruh oleh Ketua Warden. Ketika itu hujan turun sangat lebat. Tapi kami tetap pergi juga. Sebaik sahaja kami mengubah tong tersebut, kilat terus memancar ke tempat itu. Jauhnya lebih kurang satu meter jaraknya dari kami. Sejurus kilat memancar lantas kami duduk dan pejamkan mata. Selang beberapa minit, kami cuba membuka mata untuk melihat keadaan sekeliling. Ya Allah, apa yang terjadi? Pandangan kami gelap, tiada apa yang kami nampak. Apakah kami sudah buta? Alhamdulillah, setelah memejam dan membuka semula mata, kami dapat melihat semula. Ketika pandangan kami gelap tadi, kami mencari sesama sendiri. Kami sangat bersyukur kerana masih diberi kesempatan untuk melihat. Kami tidak tahu apakah yang akan terjadi kepada kami jika kami ditakdirkan buta. 8 Mac 2009, itulah tarikh yang sangat memberi impak yang besar kepada kami.

Hari ini merupakan hari yang agak bahagia buat aku. Hari ini juga adalah hari mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolahku. Kebetulan pula tempat aku sedang lepak berhampiran dengan tempat Ayu berada. Jaraknya hanya beberapa meter sahaja. Mungkin dia sedang menunggu ayahnya atau ibunya. Aku menyuruh kawanku meminta nombor telefon bimbitnya dan jangan memberitahu bahawa aku yang memintanya, tetapi dia mengetahuinya juga. Aku masih ingat lagi tarikh hari tersebut. Hari itu adalah hari yang ke-26 dalam bulan ini. Lima hari selepas itu, aku tersentak lagi. Ayah yang kupanggil abah bertanya tentang Ayu. Bagaimanakah abah boleh tahu sedangkan aku tidak pernah bercerita tentang Ayu  di rumah. Abah cakap ada perempuan yang memberitahunya. Hati aku tertanya-tanya siapakah gerangan orang itu. Empat hari selepas itu pula aku mendapat panggilan daripada ayah yang dipanggil abah juga oleh Ayu pula. Aku kaget sebentar. Tapi, aku tenang kembali kerana cara abahnya cakap memang ‘sporting’. Dalam bulan ini jugalah kami selalu bertembung dan bertentang mata.

Pertengahan bulan April, kelas aku perlu mengendalikan Program ‘Science Exploring’ yang akan berlangsung selama dua hari iaitu pada 15 dan 16 April 2009. Dua hari sebelum tarikh itu, kami akan pulang lewat dari sekolah untuk membuat persediaan program tersebut. Enam hari selepas itu, aku mendapat pengalaman yang tidak pernah aku dapat. Pengalaman dapat melihat makhluk halus. Kejadian ini berlaku apabila aku dan penghuni aspura sedang menuju  ke asrama setelah selesai kelas malam. ‘Benda’ tersebut melintas betul-betul depan kami. Setelah diselidik barulah kami tahu, ‘benda’ itu lari setelah ada ustaz yang datang untuk merawat seorang aspuri yang dirasuk syaitan. Mungkin ‘pagar’ yang berusia lebih kurang lima tahun sudah bocor.

Aku tidak tahu apakah pada saat ini aku  masih kawan kepada Ayu. Selepas dua minggu kejadian hantu itu, aku menghantar satu warkah untuk bertanyakan status aku. Aku cuma ingin tahu sama ada aku masih lagi kawannya ataupun tidak. Bolehkah dia memaafkan aku atas kesalahan aku yang lepas. Aku juga mahu dia memberi sepuluh sebab mengapa dia membenci aku. Aku menerima balasan surat tersebut pada malam itu juga. Bukan satu tetapi dua warkah. Ayu kata kami masih lagi kawan dan dia juga memaafkan aku tetapi aku perlu berjanji tidak akan mengulanginya lagi. Tentang sepuluh sebab kenapa dia benci akan aku itu, dia tidak perlu menjawabnya kerana dia tidak pernah pun membenci aku. Hanya aku selalu salah sangka. Mungkin aku terlalu melayan perasaan aku. Dalam surat itu juga dia menyatakan bahawa dia terima aku sebagai kawan pun sebab dia tidak pernah ada perasaan kepadaku. Dia juga minta maaf banyak-banyak kerana sakitkan hati aku dan beritahu aku sejujur-jujurnya supaya aku tidak lagi mengharapkannya. Katanya, banyak lagi perempuan yang baik, cantik dan pandai daripadanya di dunia ini. Alangkah hancurnya hati aku setelah membaca surat itu walaupun lahir sedikit kegembiraan.

“Ayu, terima kasih kerana masih menerima saya sebagai kawan walaupun saya selalu mengganggumu dan kadangkala awak rasa terkongkong berkawan dengan saya. Terima kasih juga kerana tidak pernah ada perasaan terhadap saya walaupun dalam surat pertama awak bagi kepada saya, awak kata awak suka akan saya. Terima kasih juga kerana memaafkan saya dan tidak pernah membenci saya walaupun saya adalah ‘pengacau’ pembelajaranmu. Terima kasih juga kerana memberitahu saya bahawa ada perempuan yang lebih baik, cantik dan pandai daripada awak. Saya tahu maksud awak. Awak nak kata bunga bukan sekuntum kepada saya. Awak, ketahuilah, memang benar bunga bukan sekuntum, tapi yang sekuntum itulah yang menawan hati. Tapi, jika yang bunga itu sudah ada kumbangnya? Ya, selagi kumbang itu tidak lagi menghisap madunya, selagi itulah kumbang ini terus berjuang. Tahukah kamu siapakah bunga itu Ayu? Tahukah? Bunga itu adalah awak, Ayu. Awak. Tahukah awak, saya tidak boleh melupakan awak seperti yang awak minta. Setiap kali saya berusaha untuk melupakan awak, jantung saya akan terasa pedih sangat. Ah, biarlah, lupakanlah tentang itu. Biar sengsara manapun saya berusaha, awak bukanlah memahaminya. Biarlah aku sengsara sendiri. Mengapalah aku terlibat dalam tragedi ngeri ini?! Biarlah aku menghabiskan hidup aku dengan melalui liku-liku yang amat memedihkan ini seorang diri.”

Lima hari selepas aku menerima warkah yang bercampur baur kegembiraan dan kesedihan itu, aku ditimpa kemalangan ngeri yang hampir meragut nyawa jika terlambat. Pada hari itu, 11 Mei 2009, ketika aku sedang menjawab soalan peperiksaan pertengahan tahun, bahu dan belakang aku rasa begitu lenguh sekali. Pada sangkaan awal, mungkin sebab main bola kelmarin. Setelah pulang ke asrama aku membuka  baju sekolah, aku ingin berehat sebentar. Ketika hendak merebahkan badan ke atas katil, dada aku sakit secara mendadak. Kepedihannya tidak dapat digambarkan. Aku tidak dapat menahan kesakitan itu. Aku cuba bernafas tapi setiap kali aku menarik nafas, dada aku akan lebih sakit. Aku sempat melihat jam yang menunjukkan pukul 2 petang. Sampai bila aku harus bertahan? Lalu aku menyuruh entah siapa yang ada di situ supaya memanggil ketua asrama yang dikenali sebagai Lah (bukan nama sebenar). Setelah diketahui apa yang berlaku, dia melaporkan kepada warden. Lantas, warden membawaku dibantu Danny ke Klinik T. Aku diberi cecair putih sebagai pembuka puasa. Doktor di klinik itu memeriksa aku. Dia tidak dapat mengenal pasti apa punca aku jadi begitu. Doktor di klinik tersebut menyuruh kami ke Wad Kecemasan Hospital J pula. Dalam perjalanan ke sana aku teringat cerita Puaka Nyang Rapik. Ustaz Amirul juga pernah sakit dada gara-gara ‘buatan’ orang. Aku harap aku bukan seperti itu. Apabila tiba di Wad Kecemasan hospital tersebut, doktor di situ mengatakan aku hanya sakit biasa. Apakah ujian yang Dia berikan kepadaku? Aku terasa dadaku amat pedih terutamanya apabila bernafas tapi doktor kata hanya sakit biasa. Apabila ke ruang pesakit luar, aku perlu melalui dua ujian iaitu ujian darah dan sinar-X atau ‘X-Ray’. Keputusan kedua-dua ujian tersebut adalah normal. Maksudnya aku tidak ada apa-apa sakit. Doktor membuat kesimpulan bahawa badan aku masuk angin. Apakah hikmah disebalik kejadian ini? Aku terasa begitu pedih sedangkan keputusan doktor hanyalah sakit biasa. Aku bercuti selama tiga hari selepas kejadian itu.

Kejadian itu merupakan tragedi keempat aku berada diambang maut selepas dua kejadian yang berkaitan kereta. Kejadian pertama ialah aku berlari dengan laju, tetapi tersadung batu lalu terlanggar kereta. Kejadian itu meninggalkan parut tidak berjahit di kening mata kananku. Kejadian kedua ialah aku berlari secara mengundur dan kepalaku terhantuk dengan tiang di belakangku. Kejadian ini menyebabkan aku kehilangan darah yang banyak dan parut yang tidak berjahit itu masih ada lagi dibelakang kepalaku. Seumur hidup aku belum ada benang yang menembusi badanku. Kejadian terakhir sebelum kejadian baru-baru ini ialah kemalangan yang berlaku di depan Pasaraya Y. Sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan tersebut melambung tinggi dan berpusing-pusing menuju ke arah tempat di mana aku sedang berdiri. Entah kenapa aku tidak boleh berganjak sedikit pun walaupun aku tahu jika kereta itu menghempapku, aku boleh terbunuh. Tapi Tuhan masih sayangkan aku. Kereta tersebut tersangkut dalam longkang besar yang tidak bertutup beberapa meter di hadapanku. Itulah kali pertama aku lihat kejadian kemalangan seperti adegan dalam filem.

Aku tidak tahu bahawa Ayu menceritakan tentang aku kepada sepupunya. Hari ke-11 bulan berikutnya aku dapat tahu dia menceritakan tentang susuk tubuh aku kepada sepupunya. Aku bukanlah tegap seperti Hritik Roshan untuk diceritakan. Aku agak malu walaupun muncul kegembiraan. Kenapa perlu dia menceritakan semua itu? Tiada aspek lainkah yang boleh diceritakan?

Hari ke-20 bulan berikutnya, asrama melangsungkan acara sukaneka asrama. Hari ini juga merupakan hari yang agak gembira bagiku. Aku berpeluang melihatnya terus secara dekat. Tapi apakan daya biarpun dekat aku tidak mungkin dapat memperoleh kesempatan untuk berbicara dengannya. Tapi empat hari selepas itu, aku amat gembira kerana dapat juga berbicara dengannya walaupun sekadar SMS. Pada mulanya dia tidak mahu mengaku, dia menyamar sebagai Balqis Maisarah. Apabila dia mengetahui yang SMS dia adalah aku, barulah dia mengaku. Aku juga tidak memberitahu siapa aku pada awalnya tapi dia dapat menekanya dengan tepat.

Suatu petang, sehari sebelum tiba bulan kita semua menyambut kemerdekaan, kami iaitu aku dan beberapa orang lagi rakan sehaluanku terserempak dengan beberapa pasangan yang sedang berdating. Terkejut dengan kehadiran kami, mereka lari bertaburan. Ada yang sembunyi dibawah meja. Mereka adalah aspura dan aspuri. Salah seorang aspuri itu memang cukup aku kenal. Dialah orang yang aku cuba dekati selama ini. Ketika dia melewati aku, aku kaku seperti pokok tidak dapat bergerak. Dia juga kaku sebentar, mungkin kerana ‘kantoi’ dengan aku sendiri. Tapi, aku memang sudah lama tahu bahawa dia ‘couple’ dengan siapa. Hati aku ketika itu bercampur baur antara marah dan gembira.

Kini tiba musim cuti penggal kedua tahun ini iaitu sebelas hari sebelum tiba hari kemerdekaan Malaysia yang ke-52. Bulan Ramadhan juga hampir tiba. Bulan dimana semua umat Islam akan melaksanakan Rukun Islam yang ketiga iaitu berpuasa. Semua penghuni asrama boleh pulang ke rumah masing-masing pada  hari itu. Aku seperti biasa akan pulang lambat walaupun boleh pulang pada tengah hari. Aku perlu menunggu pulang bersama adik aku yang bersekolah di sesi petang. Biasanya Ayu akan pulang agak awal daripadaku setiap kali minggu balik. Tapi pada petang itu, ketika aku mahu pulang, aku lihat dia masih belum pulang. Mungkin warisnya belum datang lagi. Entah kenapa aku rasa aneh sangat hati aku ketika memandangnya petang itu. Ketika malam menjelma aku cuba menghubunginya melalui mesej. Mula-mula sekali aku tanya betul atau tidak dia balik lambat petang tadi untuk kepastian takut aku tersilap orang. Nasib baik betul. Sebelum aku melanjutkan pertanyaan aku tentang dirinya, aku tanya terlebih dahulu sama ada dia tengah mesej dengan orang lain atau tidak. Iya lah, takut aku dianggap sebagai penggangu pula. Malam itu merupakan malam yang paling indah bagiku. Aku dapat tahu macam-macam tentang dirinya dan keluarganya. Aku bertanya sebab aku nak kenal rapat dengan dia dan keluarganya bak kata pepatah ‘tak kenal maka tak cinta’. Dia juga meminati drama yang aku minati iaitu drama ‘BIO-NIK’ yang ditayangkan setiap Isnin pukul 9 malam di TV3. Malam itu jugalah aku dapat tahu bahawa dia sudah membaca dan menyukai cerpen aku yang pertama iaitu ‘Khayalan Semata-mata’. Ayu juga meminta agar aku bagi dia baca jika aku menulis lagi. Malam itu jugalah aku dapat ucapan sweet dream yang pertama daripada seorang gadis yang hatiku sudah tertarik padanya. Mimpi indah aku malam itu.

Keesokan harinya, aku bangun tidur dengan penuh semangat. Badanku penuh dengan tenaga pagi itu. Rasa mengantuk langsung tiada ketika berada di tempat  tuisyen. Selepas tuisyen aku singgah sebentar di Bandar J. Tiba-tiba, telefon bimbitku aku bergegar. Alangkah gembiranya hatiku, kerana ada mesej dari Ayu. Rupa-rupanya dia juga ada di Bandar J ketika itu. Melalui mesej itu, tahulah aku bahawa dia telah terjumpa aku kerana dia tahu warna pakaian aku ketika itu. Tapi apabila aku bertanya di mana dia berada, dia cuba mengelak. Aku tidak kisah sangat sebab ketika itu aku bersama dengan keluarga. Lagipun waktu Zohor hampir tiba dan aku perlu pulang cepat untuk bersiap-siap untuk ke masjid menunaikan solat Jumaat. Keesokan harinya pula dia mendapat tahu bahawa aku pernah berkomunikasi kepada abah dan kakaknya.

Translate This Page