Ahad, 19 Februari 2012

A Di Nos (Aku, Dia dan Nostalgia) [Part 1]



 

Langit kelihatan tenang petang itu. Angin sepoi-sepoi bahasa menyapa pipiku yang agak berjerawat. Sungguh nyaman petang itu. Sebatang pensel terselit dijari dan sebuah skecth book turut berada hampir denganku di atas sebuah meja  kayu usang yang diwarisi daripada datukku. Hampir selesai saja aku melakarkan suasana pada petang itu, angin kencang tiba-tiba merintang tanganku. Langit yang tadinya cerah tiba-tiba bertukar gelap. Hembusan angin dingin mulai menampar-nampar mukaku. Aku terus meninggalkan kerusi panjang yang kubuat khas untuk melakar ketenangan alam di bawah pohon yang merimbun di hadapan teratakku. Tatkala itu tanpa kusedari, sedikit demi sedikit perasaan bosan menguasai diriku. Aku mulai memikirkan sesuatu yang dapat menghilangkan terus rasa kebosananku. Aku menuju ke suatu  ruang dalam  rumahku yang menempatkan sebuah meja kecil untuk kutulis karya terbaru. Mata pena mula mengeluarkan dakwat mengikut ayunan tangan di atas buku yang kertasnya agak kekuningan. Di sini tersuratlah kisah seorang pemuda yang hidupnya yang agak mencabar.

©©©©©©© 16 & 13 (2008) ©©©©©©©

Setelah keputusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) diketahui pada tahun lepas, aku ditempatkan di kelas 4 A iaitu kelas Sains Tulen. Aku terpaksa mengambil mata pelajaran elektif Biologi, Kimia, dan Fizik tanpa adanya minat mendalam terhadap mata pelajaran tersebut. Pada fikiranku mungkin dah tersurat rezekiku berada di aliran sains.  Beberapa bulan selepas itu aku menerima satu tawaran ke Sekolah Menengah Teknik L dalam jurusan Kejuruteraan Mekanikal. Walaupun dalam surat tawaran tertera namaku ditempatkan di  asrama,  namun aku tetap menolaknya kerana bagiku sekolah yang kutimba ilmu selama tiga tahun lamanya, rasa sayang untuk kutinggalkan. Entah kenapa aku pun tak tahu. Keputusan nekad yang kuambil ialah terus menimba ilmu di  sekolah lamaku.

            Di sekolahku ini, aku berkawan rapat dengan seseorang yang mesra dipanggil Akid(bukan nama sebenar). Kami sama-sama tinggal di asrama sekolah itu. Suatu hari, sedang kami menikmati makan pagi di dewan makan, terpandang kelibat seorang gadis yang agak manis rupa parasnya.. Aku nampak mata Akid melirik kepadanya.

            “Ehem...” dehemku.
            “Awat?” tanya Akid.
            “Usha ker?”
            “Mana ada...”
            “Kalau nak, aku tolong,” aku mengusik Akid.

            Aku bukan nak bangga diri, tapi aku ini jenis yang suka menolong orang. Setelah mendapat tahu nama gadis itu, kerjaku menjadi semakin senang. Keesokan harinya kami dapat melihatnya lagi. Daripada risikanku, rupa-rupanya gadis itu belajar di sesi petang. Pada tanggapanku amat mudah untuk melihatnya, kerana apabila pelajar sesi petang pulang dari sekolah, kami pula pada ketika itu kebiasaannya berada di bawah pokok asam yang menjadi laluan utama ke asrama puteri. Akid tidak sabar-sabar ingin tahu nombor telefon gadis yang bernama Ayu(bukan nama sebenar)itu. Malam itu, semasa supper, aku meminta kawan setingkatanku mendapatkan nombor telefon Ayu. Hasilnya berjaya setelah Anis (bukan nama sebenar) dapat menunaikan hajat Akid dan secara tidak langsung juga dapat menunaikan hajatku.

            “Akid, aku dah dapat nombor dia,” kataku dengan gembira.
            “Wei, hang buat macam mana?”
            “Tengok orang la, ini Adam la.”

            Aku berikan nombor telefon Ayu kepada Akid. Sebelum Akid menerimanya, aku sendiri sudah menghafal nombor itu. Pada hujung minggu itu semua pelajar yang tinggal di asrama dibenarkan balik ke rumah masing-masing. Cuma aku dan Danny(bukan nama sebenar) saja yang tak dapat  balik kerana keesokan harinya ada latihan Marhaban. Aku juga aktif dalam Kebudayaan Islam. Aku ambil bahagian dalam nasyid, marhaban dan sebagainya. Aku teringatkan Akid yang tidak bersamaku ketika itu. Lalu aku mengeluarkan telefon bimbitku dari kocek seluar dan terus menghubungi Akid menerusi khidmat pesanan ringkas. Soalanku yang pertama... sudahkah dia menghubungi Ayu? Daripada balasan pesanan ringkas yang kuterima daripada Akid, aku dikhabarkan bahawa dia sudah menghubungi Ayu. Akid turut  menyatakan bahawa Ayu seorang yang sombong. Aku terkejut. Mana mungkin orang cantik sepertinya bersikap sombong. Pada kali pertama aku melihat Ayu dulu pun aku merasakan bahawa dia bukan seorang yang sombong. Hati kecilku turut berbisik mengatakan Ayu adalah seorang gadis  yang baik. Untuk mengiakan pendapatku, akhirnya kuringankan tanganku menulis pesanan ringkas dan menghantarnya kepada Ayu. Aku merahsiakan namaku. Aku memulakan mesejku dengan pantun dahulu. Aku mula membaca sikap Ayu menerusi caranya menulis mesej. Gaya penulisan mesejnya menampakkan dia agak sombong. Dia bertanya siapa aku. Aku memberi nasihat kepadanya terlebih dahulu dan memintanya berjanji supaya tak sombong lagi. Setelah dia bersetuju barulah aku memberitahu namaku. Entah kenapa dengan tiba-tiba muncul rasa suka aku pula kepadanya. Aku mula membayangkan mungkin inilah hikmah aku tak menyambung pelajaranku ke SM Teknik. Kalau aku ke sana, mungkin aku tak dapat kenal dengan Ayu. Hatiku berbisik supaya berlaku jujur kepada Ayu tentang bagaimana dan daripada siapa aku memperoleh nombor telefonnya. Aku ini dari jenis yang suka ikut kata dan gerak hati. Jadi aku pun beritahulah apa yang sebenarnya. Masa itu aku ingat lagi tempat aku menghantar  mesej kepadanya, iaitu  di pondok jaga asrama. Kebetulan Pengawal Keselamatan di pintu pagar asrama tiada di situ. Keesokan harinya barulah aku dan Danny  balik rumah. Hanya semalam sahaja aku dapat bermalam di rumahku.

            Apabila pulang semula ke asrama, aku menghantar surat kepada Ayu. Sebenarnya bukanlah seperti surat pun kerana aku menulisnya ala-ala borang soal selidik. Dia membalasnya kembali. Hatiku semakin tertarik kepadanya. Kuajukan lima belas soalan kepadanya. Kukira sudah banyak maklumat yang bakal dapat kutahu tentang Ayu. Dia menjawab semua pertanyaan aku  walaupun tak semua jawapan yang diberikan aku berpuas hati. Rupa-rupanya kami ada persamaan dari segi tokoh idola iaitu Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor Al-Masrie. Cita-citanya pula dirahsiakan.

            Setelah beberapa bulan aku mengenali Ayu, kelas aku telah dipindahkan untuk sementara dengan kelas tingkatan 5R sepanjang Peperiksaan Percubaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2008 .Kelas 5R dikongsi dengan kelas Ayu . Kebetulan lagi tempat dudukku semeja dengan Ayu. Pada mulanya aku tidak tahu, tapi selepas melihat buku di dalam laci meja yang ditinggalkan, barulah aku tahu siapa empunya tempat itu. Oleh kerana minatku sangat menebal dengan seni, jadi masa luangku semasa peralihan guru kugunakan untuk melakar apa yang aku lihat  dari tempat mejaku itu sehinggalah menerawang ke blok asrama puteri. Entah bagaimana aku dengan sengaja telah meninggalkan lukisan yang kulakarkan itu di dalam laci meja.

Keesokan harinya aku mendapati lukisan yang kutinggalkan  itu telah tiada. Pada suatu hari, aku menulis sebuah cerpen dalam buku kecilku. Apabila tiba masa pulang aku cepat-cepat berkemas kerana pelajar sesi petang akan menggunakan kelas itu pula. Tanpa kusedar apabila sampai di asrama aku dapati buku kecilku tertinggal di dalam laci meja di kelas. Antara kandungan buku kecil itu ialah cerpenku berkisar tentang dirinya. Keesokan hari apabila sampai di kelas, aku mendapatkan buku kecilku yang tertinggal itu dahulu. Setelah kubuka helaian coretan cerpen untuk aku menyambung penulisannya semula, aku amat terkejut. Ada satu coretan asing dalam buku itu. Aku memang agak marah jika buku itu ‘dikotori’. Siapa yang tidak marah apabila melihat barang yang disayanginya ‘dikotori’ oleh  orang. Tapi aku tak marah atau rasa sedikit geram pun pada hari itu. Lagipun  bagaimana aku nak marah, kalau isi coretan itu ditulis oleh orang yang kita suka. Coretan itu ialah surat pertama daripadanya. Tarikh pada hari itu ialah 15 September 2008 iaitu hari Isnin.

“ Nie sye yg duduk kt meja nie... Sye sbnarnya suka kat awk tpi sye anggap awk mcm kwn je. Coz sye bljr dlu ps2 form 3 lps dpt kptsn elk sye nk pindah skolah lain yg lbh elk mcm abg2 sye... sye x nk kecewakan mk ngan ayh sye... sye x mhu awk fikirkn prkra nie nnti awk x fokus pelajrn. Sye doakn awk dpt kptsn yg elk dalam SPM nanti dan berusaha taw. Key, doakn sye brjye dlm PMR taw... key bye... DON’T MALAS-MALAS “.

            Aku berasa sungguh gembira pada hari itu. Inilah kali pertama aku bertemu dengan orang yang menyukai aku. Lebih-lebih lagi dia seorang perempuan. Mulai saat itu aku berkata pada diri aku, aku tak akan tinggalkan dia. Aku takut juga pada masa itu. Takut itu hanyalah satu sandiwara atau satu perangkap. Hati aku yang satu lagi berkata mana mungkin aku disukai oleh seorang gadis yang cantik dan baik. Apabila mendengar itu aku menjadi sayu. Tapi aku abaikan perasaan itu. Aku membalas surat itu dan bertanya beberapa soalan lagi bagi mengetahui secara dekat dirinya. Aku minta biodatanya pula. Jawapan yang kuterima ialah dia tak suka memberi biodatanya kepada orang lain dan permintaanku ini akan difikirkannya dulu. Akhirnya aku dapat juga biodata tentang dirinya. Dia meminta agar aku merahsiakan biodatanya. Aku simpan baik-baik biodata tersebut. Mulai saat itu aku sentiasa ceria. Aku tidak lagi moyok. Aku mulai semangat untuk belajar semula. Aku mulai nampak hikmah disebalik aku ditempatkan ke kelas 4 A. Aku memang tidak mula bersemangat dan tidak suka dengan aliran sains tapi sains tulen adalah hasrat ibu bapaku. Aku meminati seni dan multimedia. Aku sangat bersyukur kepada Tuhan. Mana mungkin aku dapat mengenali Ayu dengan lebih dekat jika berada di kelas lain dan di sekolah yang lain pula.

Suatu hari Ayu menyatakan kepada aku melalui sepucuk surat, bahawa  aku cuma dianggap seperti seorang abang saja dan meminta aku supaya  tidak mengharapkan apa-apa pun daripada dirinya. Hatiku amat tersentuh sekali apabila terbaca sebaris ayat yang menyatakan bahawa dirinya sudah berpunya dan dia tak dapat menerima aku lagi. Betullah kata hati aku yang satu lagi hari tu. Mana mungkin aku disukai oleh seorang gadis yang cantik dan baik. Kini semuanya telah menjadi kenyataan. Aku berusaha tabahkan hati. Aku membalas semula surat itu. Aku mahu tahu siapa orang yang disukainya dan kenapa dirinya tak boleh menerima aku lagi. Aku mengharapkan dia membalasnya. Aku tak dapat menahan diriku daripada menunggu surat itu pada keesokan hari. Pada malam itu juga aku naik ke kelas untuk mencari surat itu. Aku menjadi lebih berani daripada biasa. Aku pergi seorang diri ke kelas walaupun kelas itu berada di tingkat atas sekali di bangunan tiga tingkat. Aku hanya berbekalkan lampu LED kecil saja kerana tidak mahu orang lain tahu. Aku mengambil risiko yang bahaya ada pada malam itu. Pertama, jika aku mati, orang tak tahu. Kedua, jika aku hilang atau disembunyikan, orang tak tahu. Tapi, alangkah kecewanya hatiku apabila surat yang dinanti – nantikan tiada ditempat biasa. Aku cuba mencari dalam laci meja yang lain pula. Yang aku jumpa hanyalah cebisan-cebisan kertas kecil dalam meja rakan sebelahnya. Hatiku tergerak untuk kumpul semua cebisan-cebisan itu. Setelah pulang ke tempat study, aku cuba menyusun dan menyambung cebisan-cebisan itu. Alangkah terkejutnya aku apabila melihat hasil sambungan surat tersebut. Rupa-rupanya surat daripada Ayu. Aku tak tahu sama ada surat itu sengaja dikoyakkan atau ada pengkhianatan. Daripada apa yang aku faham, surat itu menyatakan dia tersilap tulis yang dia tak boleh menerima aku lagi. Bulan Ramadhan hampir sampai ke penghujungnya. Dalam surat yang musnah itu ada gurauan daripada Ayu supaya datang ke rumahnya pada hari raya nanti. Alangkah bagusnya kalau gurauan itu menjadi kenyataan. Pada tarikh 22 September 2008 itulah merupakan hari terakhir aku menerima surat daripadanya. Tarikh itu juga adalah hari Isnin, sama dengan hari pertama aku menerima surat daripadanya. Tapi, aku berjanji akan sampai juga ke rumahnya pada suatu hari nanti. Sejak hari itu aku tidak lagi menerima apa-apa surat daripada Ayu. Biarpun aku menghantarnya berulang-ulang kali. Aku mengambil keputusan tidak akan lagi menghantar atau mengirim apa-apa surat kepadanya  walaupun aku sedar akan hadir kekecewaan dalam diriku.

Apabila Peperiksaan Percubaan SPM berakhir, kelas dipindahkan seperti sedia kala semula. Kini kelasku  tidak lagi berkongsi kelas dengan kelas Ayu. Maka aku tidak lagi berkongsi meja dengan Ayu. Jika ingin mengutus surat, tidak boleh lagi bagi secara direct. Terpaksalah mencari orang tengah jika mahu berutus surat. Tapi apakan daya. Jika berutus surat pun bukannya dibalas. Lebih baik tidak, daripada hanya menyiksa jiwa. Lagi pun tahun 2008 sudah hampir sampai ke penghujungnya. Mulai saat itu aku tahu siapa orang yang disukainya. Mungkin dia lebih baik daripadaku. Memanglah, jika tidak mana mungkin Ayu yang baik dan cantik itu boleh jatuh hati kepadanya. Apabila tiba masa pulang ke rumah, semua penghuni asrama mulai mengosongkan asrama. Tahun inilah yang banyak memberi kenangan kepadaku. Tahun ini juga memberi aku impak yang besar. Kenangan dengan Ayu akan aku ingat buat selama-lamanya. Akan aku pahat dalam hati ini kenangan itu. Selamat tinggal tahun 2008.

Translate This Page